Tahniah untuk Shahabudeen Jalil. Dia benar-benar glokal. Setelah menerawang ke China atau Vietnam membawa rombongan pemborong kita, berjaya pula dia membawa masuk Olga Vadimovna Vasilevskaya ke agama kita lalu menyuntingnya. Alhamdulillah.
Hujung Mac 2012, sempena hari lahir kedua puluh empat mempelai perempuan, mereka dinikahkan di Ampang. Azizah nama yang dipilih. Gadis Russia itu memang istimewa. Dalam usia belasan telah mahir menguasai bahasa ibunda kita. Saya pernah menyaksikan Azizah berpidato lima tahun lalu dan menjuarai Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri.
Ketika ingat-ingat lupa tentangnya, saya menonton satu siaran Malaysia Hari Ini, di mana Abby Fana menemubual Ustaz Mohamad Abdullah, beberapa bulan lalu. Bakal pemegang PhD itu santai bercerita tentang ramai orang Russia yang belajar bahasa dan budaya Melayu. Malah ada di antaranya senang dipanggil dengan nama Melayu masing-masing.(sini)
Lalu berkatalah hati saya, kalaulah mereka juga menerima hidayah, alangkah baiknya.....
Marilah kita mendoakan kebahagiaan mereka.