Lebih tiga puluh tahun lalu, tepatnya pada tahun 1981. Manila menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali pertama. Meriahnya acara pembukaan yang dirasmikan oleh Presiden Ferdinand Marcos. Kalau tidak silap pengerusi temasya itu adalah sanak saudaranya. Biarlah.
Filipina ketika itu mempunyai bintang olahraga, Lydia de Vega. Pun biarlah. Kita ada Mumtaz Jaafar.
Pasukan bolasepak Malaysia turun untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Jakarta dua tahun sebelumnya. Sekali gus mencipta hatrik selepas turut memenangi ibu segala pingat itu di Kuala Lumpur pada tahun 1977 - ketika kali pertama pula Sukan SEA menggantikan Sukan SEAP. [Bagi yang tak tahu, SEAP bermaksud South East Asia Peninsular, jadi Sukan SEAP bermakna Sukan Semenanjung Asia Tenggara. Apabila disertai oleh Indonesia, Filifina dan Brunei ditukarlah kepada Sukan SEA. SEA maksudnya South East Asia - Asia Tenggara.]
Saya tidak begitu mengingati senarai penuh pemain ketika itu, kecuali S Sujendran, dari Johor. Dia muncul di Manila dan tenggelam juga di Manila. Saya lupa pula gelaran untuknya yang diberikan oleh akhbar.
Ketika itu Berita Harian menjadi rujukan. Wartawannya ke Manila, kalau tak salah, Zian Johari dan Johari Mohamad.
Salah satu laporan yang cukup diingati ialah tentang kurangnya minat penduduk Manila terhadap bola sepak Mereka jemu menunggu gol yang sedikit atau tiada langsung - tidak serancak bola keranjang yang mereka minati. (Tidak hairanlah ketika muncul pertama kali di Sukan SEA 1977, penjaga gol mereka memakai jersi bernombor 0!)
Demikianlah.
Apabila kedudukan mereka di dunia ini lebih tinggi dari Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh FIFA, saya terkejut. Apa yang kita telah lakukan dan apa pula yang mereka buat dalam masa 30 tahun ini? Mestikah kita berguru dengan mereka tatkala kita semakin jauh ditinggalkan oleh Jepun dan Korea Selatan?
Seperti biasa, kita akan berkata tak apa.....tidak seteruk mana .... kata Setia Usaha Agung FAM
Malaysia, tanah tumpahnya darahku.... oh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan