Selasa, 10 April 2012

Ismail Haron: Pulang Yang Abadi


Saya mengenalinya sejak kecil lagi. Ada bapa saudara yang meminati lalu kadang kala melagukan nyanyiannya, walaupun jarang habis. Antaranya lagu Tunggulah Puan, Delailah, Kehilangan Cinta, Tolonglah Damaikan, Dendamku Kerana Maria dan Ku Tak Minta Lahir Ke Dunia. Saya tahu juga dia diberi jolokan Tom Jones Singapura, tetapi saya tak kisah sebab Tom Jones sebenar pun saya tak tahu....

[Rupanya selain menyanyikan saduran lagu, bersama kumpulan The Vigilantes, dia juga memiliki suara a la penyanyi barat itu.]


Sekitar 70-an pula dia bergandingan dengan Anita Sarawak. Lalu terhasillah album yang memuatkan lagu-lagu seperti Ikan Kikik, Pinang Sireh Pinang,Keluarga Bahagia, Lenggang Kangkong Baru,  Mustafa, La Au Be, Ai ya Cik Siti,  dan tidak ketinggalan Menunggu Nasi Minyak yang popular itu.
[Bagi pengantin, dia juga terkenal dengan lagu Joget Mak Andam dan Ucapan Pengantin].



Mereka  merupakan pasangan duet yang ideal bagi saya. Dalam lagu solo Anita, Pemain Piano (tentang suami pertamanya,Samad) ada lirik berbunyi:

 kutanya pada Ismail Haron
 siapakah pemain piano yang tekun

saya seakan dapat membayangkan intimnya hubungan mereka seharian.

Beliau juga pernah merakan semula, dengan gaya tersendiri pula, lagu Persembahanku (lagu asalnya Gubahanku - asalnya nyanyian Broery Marantika dan Anna Mantovani)),dan Getaran Jiwa (nyanyian asal P Ramlee)  selain mencipta lagu Ilham Pujangga.

Tidak pernah melihat persembahannya di TV atau pentas, namun masih lagi basah di ingatan bagaimana dia menyanyi dengan sut biru gemerlap seperti tersiar di majalah URTV ketika kegemilangannya. Ada beberapa foto beliau dalam konsert tersebut, kalau tidak silap di Stadium Negara.

Kemudian dia hilang dari pengetahuan saya. Khabarnya ke Australia. Hanya awal tahun lepas saya melihatnya muncul dalam satu rancangan tv , ditemubual.

Mujurlah ada youtube bagi melihat persembahan/nyanyiannya

Semalam saya diberitahu tentang kematiannya.Seorang lagi penyanyi yang saya gemari lagu-lagunya telah pergi. Sebak rasanya mendengar hingga hujung hidup, beliau sebatang kara, tidak pernah berkahwin.


Semoga rohnya dirahmati. Amin.




Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails