Memaparkan catatan dengan label opss. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label opss. Papar semua catatan

Jumaat, 27 September 2013

Apabila Lailatul Qadar Bertukar Tarikh....

Sudah penghujung bulan Zulkaedah. Tidak lama lagi akan muncul ZulHijjah. Datanglah pula Hari Raya Iduladha, raya haji.

TV pun akan siarkan drama yang cukup menyentuh hati, penuh iktibar, menginsafkan....... Biasalah.

Cuma untuk raya ini, kalau sempat menonton, saya mahukan drama yang skripnya tidak menunjukkan kekurangan semua pihak yang terbabit, terutama penulis skripnya.

Cukuplah dengan dua drama yang sempat ditonton pada musim raya Idulfitri dahulu. Kalau boleh janganlah dinampakkan kemalasan penulis serta kemudiannya pengarah dan pelakon melakukan kerja rumah.

Dalam satu drama yang saya terlupa tajuknya, lakonan watak sampingan oleh Den Wahab, saya teresak-esak menangis, kerana kasihankan semua anggota produksi.....


Bayangkan, di dalam satu babak, seorang pakcik , sedang di meja makan bersama anak-anak saudara yang dijaganya dengan baik, meminta mereka mendoakan agar dapat bertemu emak yang telah lama hilang, kerana sebab-sebab tertentu. "Malam ini 17 Ramadan, "kata pakcik itu, lebih kurang," berdoalah sempena Lailatul Qadar supaya kamu boleh berjumpa dengan emak kamu....."

Lailatul Qadar pada malam 17 Ramadan? Setahu saya tarikh itu adalah malam turunnya Al Quran - sesetengah negeri mengambil cuti sempena itu. Menurut ustaz, Lailatul Qadar berada dalam 10 terakhir Ramadan - terutama pada malam-malam yang ganjil: 21,23, 25, 27 dan 29..... Tak tahulah samada ustaz silap atau saya yang silap dengar semasa mengadap ustaz....

Dalam satu drama yang saya ingat tajuknya, Pengawal Hatiku, ada seorang perempuan bermisai berjambang - lakonan Noorkhiriah -  yang menjadi pengawal keselamatan. Lupakan sebab tumbuhnya bulu di muka kaum Hawa itu. Lupakan juga liku-liku perjalanan hidup semua watak yang sesekali rasanya memaksa saya untuk menangis juga walaupun kata anak buah, itu drama semi-komedi.


Di hujung cerita, bos kepada pengawal itu tidak mengecam wajah pekerjanya yang tidak lagi banyak bulu diwajahnya. Apabila ditimbulkan hal itu, maka secara tenang si pekerja menjawab [sekali lagi, lebih kurang] "Bulan puasa dulu saya tidak cukur. Takut berdarah. Takut batal Puasa....."

Benarkah berdarah di muka akan menyebabkan puasa kita batal?

Sekali lagi saya bimbang kalau silap dengar dari ustaz dahulu.....

Hmmm!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 25 Jun 2013

Dafi, Anuar Zain dan Usia Remaja




Gadaffi Ismail Sabri atau nama pentasnya Dafi mengaku gelisah dengan situasi yang dihadapinya. Dalam usia 25 tahun, dengan wajah yang tidak perlu diawetmudakan, dia tidak dianggap dewasa. Penyanyi yang dikesan bakatnya dari salah satu siri Akademi Fantasia ini masih dikatakan artis remaja.

Dua puluh lima tahun bukan lagi usia remaja? Pada usia berapakah yang dikatakan remaja itu?

Seorang rakan memberikan julat dari usia mula mempunyai kad pengenalan -12 tahun - hingga 21 tahun. Jika benar, patut sangatlah Dafi menggelisah..... Dan saya pula segera insaf, lamanya telah saya tinggalkan umur maksima seorang remaja......


Tiba-tiba saya teringat kepada Shahrul Anuar Zain, penyanyi yang semasa pra-remajanya merakamkan album bersama Elina, popular dengan lagu Kain Pelikat dan Suasana Di Hari Raya. (Saya yang sempat menonton mereka mendendangkan lagu tersebut di dalam satu rancangan tv RTM dengan hosnya Dato'Ahmad Daud)

Beberapa tahun dahulu - dalam alaf ketiga ini, di kulit belakang majalah Mangga terdapat beberapa foto lelaki yang bertulis tajuk umumnya REMAJA CUN. Salah satu foto itu adalah wajah Shahrul, lelaki yang lahir pada tahun 1970. Ertinya ketika itu usianya telah melebihi 30 tahun.

Lebih tiga puluh tahun juga termasuk dalam usia remaja? Sekali lagi, pada usia berapakah yang dikatakan remaja itu?

Lalu dirujuk Kamus Dewan edisi remaja saya - 1989 Cetakan Pertama(Edisi Baru) - [ketika saya berusia bawah 30 tahun]. Remaja diberikan makna
  1. mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin
  2. ~~ puteri/ ~~ putera gadis/pemuda yang sudah mulai dewasa [mulai timbul rasa cinta berahi]....
Oooooooo. Baru pakcik tahu!

Saya menjadi keliru.

Saya mencari di alam terbuka. Terjumpa catatan pengertian remaja di laman saudara dari seberang.

Ternyata, rakan saya tadi betul. Dafi juga betul. Kamus Dewan pun demikian pula walau tanpa angka tertentu.

Tetapi bagaimana tentang Shahrul di kulit belakang Mangga itu?

Tafsirkan saja makna remaja secara bebas, saran rakan saya. Lebih untuk menyedapkan hati ini.

Maka, saya tafsirkan diri ini juga masih remaja pada usia melepasi separuh abad!



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails