Ahad, 6 Mei 2012

Datuk Fickry Yaacub: Satu Pemergian


Takziah untuk keluarga Datuk Fickry Yaacub, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, yang meninggal pada malam Sabtu lalu, akibat serangan jantung.

Banyak tulisan tentang beliau, baik di blog serta mStar Online dan akhbar Sinar Harian, saya teliti.

Saya sempat membaca tulisan Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang begitu menyentuh, tentang kematian,di sini

Sempat juga menjengah laman Syahril Kadir, di sini.

Juga catatan Zabidi Saidi, bekas editor Mingguan Watan, akbar terbitan Kumpulan Karangkraf,di sini


Datuk Fickry merupakan pengasas Kumpulan Karangkraf bersama adiknya, Datuk Hishamuddin  dan abangnya, Allahyarham Fahim serta  sepupu mereka, Nasir Hj Hamzah.

Saya adalah antara anak Melayu yang berbangga dengan keupayaan keluarga dari Kelantan ini. Mereka meneroka alam penerbitan hingga berada pada keadaan yang teguh kini. Menjadi gergasi dalam bidang penerbitan majalah, akhbar dan novel Melayu. Menjadi gergasi juga di bidang percetakan.

Kejayaan mereka menjadi lebih manis kerana pendakian tanpa bantuan mana-mana pihak.

Bermula dengan penerbitan buku kecil 'Kajian Sejarah Melayu', pada tahun 1977, mereka menubuhkan Karangkraf Sdn Bhd pada tahun berikutnya. Saya masih ingat buku kecil tersebut yang ditulis oleh Johan Jaafar (Kini Datuk - Pengerusi Media Prima) bagi pelajar-pelajar yang bakal menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan. Buku itu masih saya simpan hingga tahun 2010 sebelum hilang, mungkin dalam timbunan majalah dan akhbar yang dikutip oleh apek pencinta kitar semula.......

Sejak mula, saya tertarik dengan pemilihan nama syarikat itu - Karangkraf. Pada waktu tersebut, Kulitkraf adalah satu jenama dan perniagaan yang agak terkenal - berkaitan barangan buatan dari kulit.  Maka karangkraf ertinya pertukangan mengaranglah...... Sungguh, saya tersenyum ketika pertama kali mendengar nama tersebut!

Saya melihat kejayaan mereka dari jauh, beriring doa. Menyokong juga dari jauh dengan membeli produk mereka, mengikut kesesuaian poket.[ Dalam semua bahan yang mereka terbitkan, cuma majalah Remaja yang paling saya tidak suka sampai kini. Walaupun saya pernah remaja, bahasa , cerita dan gambar dalam majalah tersebut tidak mampu mengelakkan rasa mual di jiwa. Kalau saya boleh membuat keputusan untuk kumpulan Karangkraf, itulah majalah yang mesti dihentikan penerbitannya - apa lagi acara pemilihan hero/heroinnya. - amat tidak sesuai dengan karektor pemilik syarikat yang berpaksikan Islam]

Pemergian Datuk Fickry, pasti dirasai oleh warga Karangkraf, terutamanya. Al Fatihah untuk beliau.

Sekali lagi, banyak tulisan tentang beliau, baik di blog serta mStar Online dan akhbar Sinar Harian, saya teliti.

Menyebut tentang Sinar Harian, penggunaan bahasa dalam akhbar terbitan syarikat arwah ini, masih banyak yang perlu dibaiki. Banyak. Tapi bab itu biarlah di kesempatan lain.

Cuma agak terkilan dalam berita kematian Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, di akhbar berkenaan pada hari Sabtu, 5 Mei, di muka dua, terdapat ayat: Jenazah akan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa TTDI pada jam 10 pagi untuk dikafankan.

Dulu. Kini slogannya Telus & Tulus
Bagi orang Islam, ternyata kraf pada karangan ini tersasar.......
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails