Sengaja bermain-main dengan Mr Google pagi ini.
Sengaja menyuruhnya mencari Indera Joned.
Pada peringkat Indera, dia masih menyarankan sama ada sesuatu tentang Indera atau Indira atau Indra . Setelah ditambah menjadi Indera J, Mr Google mencadangkan sesuatu tentang Indira. Sebaik ditambah menjadi Indera Jo, begitu juga keputusannya. Tetapi apabila ditaipkan Indera Jon, kawan kita itu terus mengusulkan Indiana Jones. Barangkali dia menyangka saya tersilap eja...... Sahlah Mr Google mengagak saya sedang mencari-cari sesuatu yang berkaitan dengan watak filem yang dibawa oleh Harrison Ford itu.
Sahlah juga, Mr Google yang dikhabarkan serba tahu itu, tidak menyangka Indera Joned telah muncul menggegarkan Malaysia!
Mr Google, di negara saya, stesen tv swasta banyak. Masyarakat kami pula, kalau bab menonton drama tv, jika diadakan kajiselidik, antara lima terbaik pastilah ada nama kami. Sogoklah cerita apa pun. Rating mesti tinggi. Selain drama tempatan, kami menerima drama Mexico, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan, Filifina, Indonesia dan semestinyalah yang dihasilkan di negara Pakcik Sam. Tidak lama lagi mungkin akan ada drama dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
[Saya bercakap tentang stesen tidak berbayar saja.]
Kerana tuntutan yang besar, pihak produksi cukup seronok. Buatlah drama macam mana pun, kerana percuma pula, tiada komen yang mampu menukarkan sikap penerbit yang bersikap ambil mudah itu. Layan saja.......
Melihat poster Indera Joned saja, Mr Google pasti dapat membayangkan cerita dan corak aksi dalam drama ini. Lihatlah kreativiti kami. Kami ubah watak terkenal barat ke acuan Melayu. Senang.
[Untuk pengetahuan Mr Google, selepas filem Hindi Kabhi Khushi Kabhie Gham - K3G - meletup, ada produser kami keluarkan filem berjodol Qabil Khushry Qabil Igam. Kreatif sungguh kami, 'kan?]
Setakat pengembaraan, kami pun ada cerita yang jauh lebih menarik. Tapi siapa mahu tengok Malim Deman atau Inderaputera atau Panglima Awang. Mereka menempuh lagi banyak cabaran yang hebat Tapi cukuplah ia setakat kajian untuk anak-anak muda kami mendapat sehelai kertas tanda layak untuk bergelar pegawai di mana-mana jabatan....
Untuk tontonan seisi rumah, kami kutiplah sana-sini cerita dari perahan idea orang barat. Ubah suai mana yang patut. Kalau ada bab Red Indian, kami ubah jadi pendekar yang mahir bersilat, contohnya. Kalau ada pula bab profesor dan pelajarnya, lagilah mudah. Selit saja. Janji ada seorang yang agak gempal atau sekurang-kurangnya seorang yang lurus bendul....Jadi bahan lawak.....
Pelakonnya pula, stesen ada senarai sendiri. Watak utama mesti orang ini, bukan orang itu.
Sekarang di Malaysia tengah panas sedikit dengan Aiman Hakim Redza. Bermula dengan drama Vanilla Coklat dulu, [eleh yang budak IPT 19 dan 20 tahun yang boleh ada kereta mewah dan duduk rumah agam 'tu...he he he], hampir setiap malam kami boleh tengok mukanya. Dalam slot Samarinda ada, dalam drama lain lagi.
Ini juga budaya kami. Kalau Fasha Sandha ....errr... maaf, dia ni infiniti buat masa ini..... tidak ada musim....Kalau musim Aaron Aziz, siang malam ada mukanya, kerana drama ulangan pun akan diambil yang dilakoninya.Begitu juga dengan Johan As'ari. Sejak berjaya dengan watak Botak dalam Juvana, wajahnya makin kerap di tv.
[Seronok lagi, tengah muncul dalam drama rantaian, disiarkan pula cerekarama yang serupa barisan pelakonnya. Watak saja bertukar. Lebih-lebih kalau lokasinya di luar negara. Jimat bajet..... Ini pernah terjadi sekali dua. Terbaru berkaitan Dingin Lavenda. Watak protagonisnya, dalam cerekarama ditukar kepada antoganis. Vice versa. Alang-alang berada di luar negara....]
Mr Google, jangan hairan dengan keadan kami di Malaysia ini. Rakyat marhaen hanya penonton. Sogoklah apa-apa pun. Kami terima. Janganlah terkejut jika selepas ini akan ada cerita bertajuk Hairi Pot dengan posternya gambar seorang budak berkacamata bulat........[Baru teringat kami baru selesai menonton slot aksi SuperMak - kini sedang diulang di TV3 - cerita tentang emak yang ada kuasa boleh terbang woooo...}
Sesungguhnya kami tiada pilihan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan