Sabtu, 12 Mei 2012

Tut...Tut...Tut!

Dinosaur Jenis Sauropods

 


Apabila membaca Cerita Kaki dalam UM pada pagi Jumaat, saya tersenyum sendiri. Makin lama, kerana makin banyak yang melintasi memori, senyum pun makin panjang.

Ceritanya tentang saintis British yang membuat kesimpulan bahawa kentut dinosaur herbivor mungkin menjadi punca awal pemanasan global 150 tahun lalu. Katanya, haiwan bersaiz super itu akan bersendawa dan kentut selepas memakan daun tumbuhan. Kalau lembu menghasilkan gas metana ketika mencernakan makanannya, dinosaur juga lagilah sakan - disebutkan mampu menghasilkan 520 juta tan metana setahun - sama dengan penghasilan oleh semua haiwan dan aktiviti industri pada zaman ini! 


Berita sepenuhnya dalam 
Christian Science Monitor  di sini 

 

Pakar Perubatan Greek, Hippocrates pernah menyifatkan kentut adalah proses penting untuk kesihatan. Justeru, jangan malu kerana kentut. Setiap orang kentut. Tanpa kentut, anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, kentut yang berbau dan ‘dilepaskan’ dengan bunyi yang kuat memang memalukan. Bau dan daya kekuatan kentut dilepaskan bergantung pada makanan yang kita ambil,berapa lama kentut itu ‘disimpan’ dan daya kepantasannya dikeluarkan dari anus.

Dalam definisi perubatan, kentut adalah sebahagian daripada lebihan gas dalam perut atau usus. Ada kala lebihan gas ini menyebabkan anda berasa tidak selesa seperti perut kembung, sendawa atau kentut. Kebanyakan orang melepaskan gas berlebihan ini 14 kali sehari, tidak kiralah sama ada sebagai kentut atau sendawa. [Baca rencana BH sepenuhnya di sini

Dahsyat betul kesan kentut ini.

Saya tersenyum pada pagi Jumaat ini apabila mengenangkan beberapa kes yang melibatkan kentut. Yang pernah didengari dan dialami. Tapi tidak melibatkan kentut sendiri...... cerita tentang orang lain.

i] Pemandu kereta sapu bengang kerana ada gas metana terlepas dalam keretanya yang ditumpangi oleh 4 orang. Mereka naik di satu pekan kecil dengan destinasi yang sama - ibu negeri. Tiada siapa pun yang mengaku, semuanya saling menuduh dan menafikan- memanglah, kalau anda sendiri, mahu mengaku? Akhirnya semua diam sendiri.Masing-masing menekup hidung, dalam hati.....@*^#\|

Sampai di ibu negeri, semua turun setempat di hadapan sebuah restoran makanan segera. Keempat-empat mereka membayar berasingan. Lama juga masa diambil untuk menukar duit kecil antara setiap seorang dengan si pemandu.

Setelah selesai, si pemandu menyakat, "Yang kentut tadi belum bayar lagi!"

"Cakap baik-baik sikit. Yang bayar paling  awal  'tu, siapa?" kata penumpang yang tadinya duduk di tengah di bahagian belakang kereta.....................

ii] Seorang YB sedang menikmati pek nga bersama hampir sedozen orang kuatnya di sebuah gerai di hujung kampung. Sambil mengunyah, ditunda pula dengan kopi pekat, mereka berbual bab ceramah dan masalah setempat. Sambil pula menunggu beberapa pek nga edisi baru yang masih dalam belanga tuan gerai.

Ketika rancak mengunyah dan bercakap itu, tiba-tiba semua terhidu bau yang tarafnya kurang 0.001% sahaja dari bau telur tembelang. Masing-masing terdiam dan berpandangan. Salah seorang yang tangannya baru saja membenamkan pek nga ke dalam gulai ikan kembung, membiarkannya di situ. Halkumnya bergerak-gerak.

Seminit dua kemudian, orang paling kanan yang duduk di kiri YB dalam tersipu, sambil menggosok kedua-dua tapak tangannya, mengangguk-angguk yang ditujukan kepada semua, dan berkata, "Saya minta maaf, saya minta maaf!" Diulangnya ayat itu lebih dari jumlah orang kuat kampung yang sedang makan itu.

Barulah semuanya mula bersuara selepas masing-masing memberikan komen dan markah terhadap bau tadi. Ada yang bertanya apa makanan orang kanan itu semalam. Yang bergerak-gerak halkumnya tadi bertanya, "berapa hari hang tak masuk jamban 'ni?"

Selepas makan, masing-masing bersalam dengan YB lalu berpecah dengan janji akan berjumpa semula di dewan malam nanti. Ketika memasuki kereta, YB menggamit orang paling kanan tadi. Dari poket bajunya YB mengeluarkan sebuah sampul yang mempunyai logo besar parti. Dihulurkannya kepada orang paling kanan yang mengacah-acah menolak.

"Ambillah," kata YB," abang telah menyelamatkan saya tadi!"

Orang paling kanan menggenggam sampul itu erat-erat dan tersengih, "YB makan apa semalam?"

"Melawat kawasan, bang," jawab YB, juga tersengih,"macam-macam ada. Nak tolak takut orang kecil hati, last-last tolak ke mulut.....Itulah pasal...."

iii] Pelajar di kelas sebelah bising. Bunyinya macam ada pergaduhan. Ketika guru muda mula bergerak untuk melihat, tiba-tiba bunyi bising itu terpancung sendiri.

"Ada apa 'ni? Tak tahukah ada orang belajar di sebelah' tu? Cikgu kamu tinggal sekejap saja,'dah riuh!" rupanya Pengetua lebih dulu sampai. Patutlah semua terdiam tadi.

"Ada orang lepas kentut, cikgu! Busuk!" seorang pelajar perempuan bersuara.

"Dah 'tu buat apa riuh-rendah?" balas Pengetua, "Tak usah berebut! Pakat hidu sorang sikit!!"

Kelas tadi terus diam tetapi kelas guru muda pula yang bergegar!

iv] Dulu, setiap kali melihat kertas litmus, saya bayangkan kalau ada alat yang boleh pula mengukur tahap kepekatan kentutan seseorang berdasarkan bau dan bunyinya. Lebih cantik kalau gas yang dibebaskan itu berwarna......

Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Tahu.


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails