Jumaat, 11 Mei 2012

Cikgu Yati, Semoga Hati Spesiesmu Berkembang!



Senyum Asmayati: Kepuasan Tidak Terucap

Pada mulanya Asmayati berniat menghabiskan waktu persaraan di kampung kelahiran, sambil menikmati masa tuanya. Namun prihatin dengan keadaan  masyarakat sekitar yang kebanyakannya buta huruf, beliau memutuskan untuk berbuat sesuatu.

Asmayati, atau mesra dengan panggilan Yati, kemudian mengubah rumahnya menjadi tempat kegiatan belajar membaca dan mengira bagi penduduk sekitar. Rumah itu kemudiannya dikenali sebagai Pusat Kegiatan Belajar Masyarakat (PKBM) An Nur.

Waktu baru kembali dari ibu negara tahun 2007, semua penduduk kampung mengganggapnya  orang kaya hanya kerana membawa beg yang cantik!

Kekangan ekonomi membuat penghuni kampungnya tidak mampu beroleh pendidikan.Peratusan warga yang buta huruf masih tinggi. Banyak warga yang sudah berusia di atas 15 tahun yang belum boleh membaca, menulis dan mengira.

Yati kemudian menjadikan seluruh kawasan rumahnya, bermula dari halaman depan sampai  ke belakang, kecuali satu bilik tidur, sebagai tempat belajar puluhan orang.

PKBM An Nur kemudian berkembang pesat. Selain mengajar membaca, menulis dan mengira kepada masyarakat berusia15 tahun ke atas, ia juga menyelenggarakan kelas untuk peringkat umur lebih rendah serta kelas kemahiran dan keusahawanan. PKBM An Nur turut menyediakan koperasi untuk menyimpan dan meminjam tanpa faedah, khusus kepada setiap pelajarnya.

Pada peringkat awal, setiap warga akan diajar 3M. Kemudian, mereka akan dimasukkan ke kelas keusahawanan.

Di situ, setiap warga diajarkan pelbagai kemahiran membuat aneka makanan yang dapat dijual untuk menambah pendapatan mereka seperti telur masin dan kerepek.

Mulanya usaha itu pernah ditentang oleh suaminya, seorang doktor di ibu kota.  Apalagi kerana ketiadaan ruang pribadi di rumah itu, si suami terpaksa menginap di hotel setiap kali berkunjung ke kampung.

Setiap kali keluarganya berkumpul, mereka menggunakan bilik tidur sebagai tempat makan. Ruang tamu  semua diubahsuai  menjadi tempat belajar.

Namun, akhirnya suaminya mulai terbiasa dengan keadaan rumah yang seperti itu. Kegiatan di PKBM terus berjalan bahkan terus mengalami peningkatan baik dari jumlah pelajarnya mahupun peralatan pengajaran dan pembelajarannya.

"Apa lagi yang mahu kita cari pada usia yang sudah tidak muda lagi?" Demikian ungkapan Cikgu Yati.

Saya tidak tahu apakah pekerjaannya sebelum bersara. Sengaja saya panggil cikgu, kerana dia mengasaskan dan mengajar  di sekolah istimewa itu di kampungnya.

Di manakah kampungnya?

Jauh. Terlalu jauh. Bagi kitalah. Bagi anak gadis yang telah diserang panah arjuna warga tempat Cikgu Yati, tiada istilah jauh itu.

Kampung Cikgu Yati bernama Desa Lembar, Kecamatan Lembar, Kabupaten Lombok Barat, Nusa Tenggara Barat. Negaranya? Orang buta geografi pun tahu menjawabnya!

Cuba tanya kenalan kita atau kenalan kepada kenalan kita yang berkahwin dengan orang Lombok, kenalkah dengan Cikgu Yati? Ataukah mungkin yang selalu melarikan anak gadis kita bukan dari Lombok Barat - sebaliknya dari Lombok Timur, Lombok Tenggara, Lombok Utara, Lombok Selatan atau Lombok Barat Daya......

Namun berdasarkan kekaguman penduduk kepada beg Cikgu Yati, seperti ceritanya tadi, rasanya pasti ramai anak-anak perempuan sahabat senegara kita telah bermertuakan orang kawasan itu dan sekitar pulau tersebut........

Empat perkara yang melintas di benak:

[Tmn Negara G. Rinjani Terletak di Lombok. Jauh tu..]
      a] Semoga anak gadis kita, betapa pun diurat oleh pemuda Lombok, beringatlah. Itu tempat antara termundur di negara jiran itu. Jangan terpesona dengan ayat-ayat cinta mereka. Kasihan nanti kepada Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim - tak putus didatangi ibu bapa yang terpaksa berbesankan orang Lombok. Ketika membaca catatan ini, buka satu tingkap: minta tolong Google tunjukkan peta Lombok. Terlalu jauh, nak!

     b] Betapa indahnya jika sikap Cikgu Yati diteladani oleh sebahagian kita yang berpendapat pencen bermakna menunggu dan menghitung hari kembali, dengan mengehadkan hanya satu jalan untuk mendapat reda [redha] Allah..........

     c] Membayangkan manfaat dari keberhasilan sekolah Cikgu Yati - mencelikkan masyarakatnya dan membuka jalan untuk mereka menjana ekonomi bukan ke[alang tinggi nilainya - terasa betapa amat kecilnya nilai sumbangan saya [dan sekutu-sekutu saya] kepada masyarakat (kalau pun ada).........

    d] Sama ada dengan bibir menguntum senyum atau menjuih panjang, terimalah hakikat keberuntungan menjadi rakyat Malaysia.........


Untuk Cikgu Yati: Selamat Hari Guru.

Eh, Hari Guru di sana kapan, ya?

 [Disesuaikan dari sumbernya:   Menghabiskan Masa Pensiun dengan Mengajar - Kompas.com]
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails