Isnin, 7 November 2011

Ayat-ayat dicintai---Ismail Hashim



Hari ini Aidiladha 1432. Bersendirian, dan apabila terdengar bacaan alQuran di Youtube/hajjlive tiba-tiba saya teringat kepada beliau. Lantas mencapai naskah al Quran dan menyemak juz pertama. Terbayang wajahnya, dengan songkok hitam tinggi, mengalunkan bacaan. Terkenang rumah-rumah kenduri yang menyewa pembesar suara (loud speaker) dan seperti satu kemestian memulakan hari itu dengan suaranya, "Bacaan al Quran disampaikan oleh Tuan Haji Ismail Hashim" dan bermulalah semangat kenduri itu!

Tuan Hj Ismail Hashim
adalah qari Malaysia kelahiran Yan, Kedah.Tiada duanya. Bacaannya cukup mengasyikkan. Pernah saya terbaca wawancara bersamanya di akhbar Utusan Melayu (kini sudah tiada) bahawa beliau pernah dibawa ke tempat persembunyian penyamun dan diminta diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci!

Saya antara pengagumnya. Pernah berjumpa beberapa kali, itupun setelah beliau tidak lagi menyertai musabaqah (kini tilawah) al Quran. Beberapa kali itu adalah kebanyakannya ketika beliau datang mengajar nasyid (satu lagi kebolehannya) di SMA Al Falah, Kangkong pada tahun 1983.
Kali terakhir berjumpa adalah pada tahun 1995, malam menjelang pilihanraya umum ke-9. Ketika itu beliau bersama anak lelakinya berdiri bersama orang ramai mendengar ceramah terakhir Dr Mahathir di perkarangan rumah dan kilang Mudim Zakaria , Tobiar (pengeluar kicap jenama Mudim), ketika membantu calon BN Fazil Hanafi menentang Fadzil Noor(PAS) [DUN Bukit Raya] dan Dato Othman Abdul menentang Hj Taulan Rasul [Parlimen Pendang]. Ketika majlis bersurai, saya masih ingat, ketika kami berbaris sepanjang jalan keluar menunggu PM berangkat pulang, beliau mengangkat anak kecilnya dan menunjukkan ke arah Dr M.

Ketika itu juga saya terfikir. Alangkah kecilnya beliau! Seorang qari yang terkenal di peringkat antarabangsa, hanya berdiri dari jauh untuk melihat pemimpin negara! Kalau ikut keadaan sekarang, beliau tentulah sekurang-kurangnya menjadi Dato' bergelar. Yalah, sekarang ini orang yang tidak kita kenal dan tahu sumbangannya pun mudah bergelar Dato', Datuk, atau Dato' Seri! {Beliau mendapat gelaran Datuk selepas kematiannya - 7 Ogos 1996}
Antara bacaan beliau yang paling 'lazat' dan membekas, seingat saya, ialah dari surah al Baqarah. Lagunya saya tak tahu tetapi ayat itu pernah cuba dibaca oleh beberapa qari kampung mengikut lenggok beliau. Hasilnya, 'bolehlah'. Itulah pertama kali saya cuba mencari terjemahan ayat 30 hingga 34 untuk mengetahui maknanya dan kenapa beliau membaca dengan lagu begitu. Sesiapa yang pernah mendengar tentu bersetuju bagaimana cantiknya beliau melagukan qaa luu ataj `a lufi haaaa man yuf si du fi haaaa.......[ayat 31] dan ....usjudu li aadama fasajadu illa ibliis...[ayat 34] di mana beliau berhenti pada fasajadu dan memulakan semula dari perkataan itu. Rupanya itulah cara penegasan tentang kepatuhan untuk sujud kepada Nabi Adam tetapi diingkari oleh iblis. Membaca(kemudian mengerti) terjemahan sambil mendengar bacaan beliau cukup mengesankan. Inilah indahnya tarannum.

Tiba-tiba rindu itu datang.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kerana mengingati keluarga kami ini....

Tanpa Nama berkata...

Asalamualaikum....tiba2 dalam minggu awal ramadhan saya teringat dengan alunan lagu2 bacaan alquran oleh Allahyarham. Memang tiada dua....di awal setiap subuh ketika di usia sekolah rendah dgn penuh minat saya menikmati alunan bacaan ayat alquran oleh allahyarham tanpa mengenali wajah sehingga hafal bait2 taranum yang didendangkan dan menjadi inspirasi saya ketika cuba membaca alquran.
Tanpa berguru dgn guru taranum, tp dgn keasyikan mendengar dgn kekesanan suara dan lagu Allayarham saya mampu mewakili sekolah dlm pertandingan tilawah..
Subhanallah.....diusia 40 an sekarang saya masih antara penyanjung nya dan Allahyarham adalah antara insan yang saya ingin sekali berjumpa di dalam dunia.
Tiga tokoh Malaysia yg tiada tolok gantinya ialah Tun Mahadir, Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Dato Ismail Hasyim. Moga dicucuri rahmat dan terdiri dr penghuni syurga

Unknown berkata...

Bacaan dan suara tidak jemu didengar. Tiada qori yang seumpamanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails