Mak jarang menonton tv. Lebih-lebih lagilah rancangan hiburan. Entah kenapa malam itu, satu malam minggu, mak boleh pula berada di depan tv hingga habis satu rancangan yang dihoskan oleh Raja Ismail bin Raja Saat, suami penyanyi lagu asli Aspalela Abdullah.
Raja Ismail yang merupakan adik kepada pelakon Raja Hamidah (isteri pelakon dan pengarah Salleh Ghani) pernah popular sebagai Kutuk, mengambil sempena nama wataknya sebagai pelakon utama drama Si Kutuk yang disiarkan di TV Malaysia -- baca RTM(masa itu TV3 masih tak terjangkau dalam fikiran rakyat Malaysia).
Bagi yang tak kenal lagi, Raja Ismail adalah pemegang watak kaki judi yang kalah teruk ketika berjudi di kelab beca dalam filem Keluarga 69. Ingat bagaimana marahnya watak itu ketika Osman Bakar (lakonan P Ramlee) dua kali tersilap menyebut angka selepas menggoncang macam buah dadu dalam balang. 66 dikata 99, 69 dikatanya 96, hingga terpaksa tauke kelab memberi isyarat, dan akhirnya mencetuskan pergaduhan.
TV Malaysia selalunya menyiarkan rancangan berbentuk hiburan pada malam Ahad. Hiburan Malam Minggu (HMM) dan Hiburan Minggu Ini(HMI) antara slot yang diingati. Selalunya seorang penyanyi menjadi hos. Yang agak popular pernah mengendalikan hingga 13 minggu. Antaranya Dhalan Zainuddin dan (Datuk) D J Dave. Dalam rancangan itu dijemput beberapa penyanyi dari kaum lain (kira ala 1Malaysia) dan tidak ketinggalan beberapa pelawak, juga 1Malaysia. Penyanyi misalnya Albert Phang, Andre Goh, Mary Sia Ling Ling, V Sarangavani (serta adiknya V Jayanti), Roxana Islam dan Chandra Rakesh. Pelawak pula antaranya Lim Goh Poh, A R Ayappan, V I Stanley, P Paramasivam (Param), Tan Ting selain (Dato) Yahya Sulong, A R Badul, R Jaafar, Yusni Jaafar, A K Jailani dan Rohani Kassim. Turut serta adalah kumpulan penari latar yang dinamakan mengikut koreografernya seperti Normadiah, Farah Sulaiman dan Fauzi Abdullah.
Jadi, malam di mana Raja Ismail menjadi hos, saya menonton bersama mak.Tak pasti siapa artis undangan atau lagu apa yang didendangkan. Namun paling saya ingat, di hujung rancangan, berbaju melayu, bersongkok dan sambil menutup sebahagian mukanya dengan kain samping yang mulanya diselepangkan, Raja Ismail menyebut (lebih kurang) “Secantik-cantik wanita, kentutnya berbau busuk juga!”. Rancangan tamat. Saya berpaling ke arah mak kerana terdengar gelak kecilnya dan saya nampak senyum manis yang berbekas hingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan