Selasa, 8 Mei 2012

Ogy, Awat Jadi Lagu 'Tu?


 

Enam.

Dari sepatutnya 20, 6 ertinya 30%.

Itulah markah yang mampu diraih oleh Fauziah Dato' Ahmad Daud  a.k.a Ogy dan anak didiknya, Zatul, dalam siri ketiga kumpulan B rancangan Mentor.

Kenapa terlalu sedikit, sedangkan dua artis sanjungan orang kita dari Indonesia telah memilih persembahan Zatul sebagai terbaik untuk malam itu?

Saya berada menonton bersama hampir sedozen juri amat amateur di sebuah gerai mi mamak yang tukang masaknya bukan pula bergelar mamak.

Sebelum pengumuman markah dibuat, sepanjang siaran berlangsung, ada getar gelisah atau entah apa [ saya tercari-cari perkataan yang sesuai bagi menggambarkannya] di kalangan para juri tersebut, setiap kali muncul wajah Ogy di skrin.

Para juri  menilai penampilan dan gaya serta keramahan terlajak Ogy setiap kali berada dalam bingkai kamera dengan ditambah peranan entah apa [sekali lagi, saya tercari-cari perkataan yang sesuai bagi menggambarkannya] yang dimainkan oleh Nas Ahmad.

'Kalau macam ni, Zatul tak boleh pi.....,' kata seorang yang bolehlah saya anggap sebagai ketua juri, memandangkan dia paling banyak memberi komen yang kebanyakannya disokong oleh anggukan juri-juri yang lain. 'Asyik  merapu saja mentor dia....sapa nak undi?'

Kenapa Ogy terlalu mahu menonjol dalam kamera ketika di belakang pentas?  Itukah strategi pihak tv3 untuk naikkan rating tontonan? Maka dipilih seorang mentor yang  peramah seperti dengan jayanya dilakukan oleh Mas Idayu dahulu? Tak mungkin riuh di belakang pentas itu kalau semua mentor seperti Ramlah Ram dan Ella ....

Hanya pihak berkenaan yang boleh menjawabnya sebagaimana mereka memiliki jawaban kenapa Ogy yang lebih berjaya sebagai pelakon, dipilih untuk menjadi mentor kepada penyanyi.

Benar dia pernah menjadi juri [bukan pengajar] untuk Akademi Fantasia, sebuah program import untuk mencari penyanyi segera. Tetapi diakuinya dia lebih menjurus kepada menilai persembahan. Lihat catatan Ogy di sini.

Dari awal lagi, ramai yang mempertikaikan pemilihannya sebagai mentor nyanyian. Apapun, seperti juri di gerai itu, kita  hanya mampu pertikai..... dan dibawa angin lalu......

{Musim depan tv3 bolehlah mengundang salah seorang lagi Fauziah sebagai mentor - yang mempunyai CV seperti Ogy:

Uji Rashid
                a] Fauziah Harun Al Rashid - penyanyi popular pada eranya dan terkenal juga sebagai pelakon. Bagi yang sememangnya tak tahu, beliau lebih diingati dengan nama komersil Uji Rashid.

                b] Fauziah Nawi - pelakon berkebolehan dan jangan tak tahu beliau adalah juga penyanyi terkenal era 70-an [ salah satu lagu popularnya ialah MALU]

Fauziah Nawi

Kedua-dua seniwati ini rasanya mampu melahirkan penyanyi yang mantap pula persembahannya. Namun susahlah sedikit Nas Ahmad untuk entah apa [sekali lagi, saya tercari-cari perkataan yang sesuai bagi menggambarkannya], melainkan termaktub dalam kontrak mesti buat kecoh di depan kamera, terutama di belakang pentas, agar rating naik.....}

Berbalik kepada cerita di gerai tadi. Semasa keputusan diumumkan, sambil menyedut baki teh o ais, saya tidak melihat skrin - sebaliknya lebih tertumpu kepada para juri, terutama ketuanya. Mereka ternyata amat profesiaonal. Walaupun Zatul itu anak negeri mereka, Kedah, mereka tidak bias. Lebih setengah dozen secara bergilir-gilir berkata, 'padanla.......' apabila kombinasi Ogy dan Zatul hanya mampu meraih 30% undian sms. Untuk makluman tiada seorang pun di dalam gerai itu menghabiskan nilai kredit dengan menghantar sms untuk mengundi....

Saya bangun berlalu. Dari jauh masih terdengar suara Nas Ahmad menemubual mentor dan protege. Dari jauh saya melihat ketua juri bangun. Benarlah dia ketua, kerana hanya dia mengeluarkan duit untuk membayar harga makanan dan minuman juri lain yang duduk semeja dengannya sepanjang siaran tadi.

Saya tertanya-tanya, kenapa Ogy terlalu banyak bercakap malam itu? Lupakah dia pada kenyataannya kepada akhbar - Let my work speaks? Sepenuhnya di sini.


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails