Isnin, 9 Julai 2012

Dr Haron Din dan Mat Bohong



Dato' Dr Haron Din



Saya amat mengagumi dan cemburu kepada sahabat-sahabat yang beroleh ilmu dengan mendengar ceramah-ceramah yang penuh dengan lawak jenaka.

Rasa kagum itu timbul kerana hingga kini, saya masih tidak mampu menyimpan secara kekal ilmu-ilmu yang dihidangkan oleh ustaz-ustaz dalam ceramah yang sentiasa bersulam cerita humor. Cemburu pula muncul kerana dengan hanya mendengar kaset [dululah] dan ceramah live, oleh ustaz-ustaz, dalam ketawa hingga katanya hingga kadangkala terpancut airmata dan kencing, mereka dapat menghadam ilmu yang diberikan.

Mungkin di segi ini saya agak konservatif - tepatnya kolot. Bagi saya, ilmu agama hanya tersimpan kukuh dalam minda apabila menghadap guru-guru, bersama kitab atau buku tertentu di hadapan - dengan rasa rendah diri dan takut - mendengar setiap permasalahan, huraian, dalil dan sebagainya. Tiada ketawa berdekah-dekah, cuma sesekali diukir senyum yang tipis. Suasana hening dan setiap butir bicara guru meresap dan hadam dalam diri, ada masa dicatat sesuatu yang perlu pada hujung paragraf yang dihuraikan olehnya. Sebaik tamat sesi, bersalam dengan guru berkenaan dengan rasa kasih dan rindu pada ilmunya.

Alangkah kolotnya saya!

Zaman banyak berubah. Kata para sahabat saya, kalau dikutkan seperti itu, rasa mengantuk akan cepat datang. Sebab itulah mereka memilih untuk mendengar ceramah yang penuh jenaka. Hilang mengantuk. Boleh pula sambil bergoyang-goyang kaki. Maka pada setiap mereka ada guru kesayangan masing-masing kerana kebolehan guru itu menghurai sesuatu bab dengan diiring peratusan jenaka yang tinggi. Misalnya, seorang sahabat saya, Firdaus [nama sebenar] menggemari ceramah Ustaz Ibrahimovic [bukan nama sebenar] kerana katanya ustaz itu sangat pandai berlawak!


Alangkah ketinggalannya saya! Maka makin kagum dan cemburulah saya terhadap sahabat tadi.

Pernah sekali, PIBG Sekolah Kebangsaan Kangkong mengundang Dato' Dr Haron Din mengadakan ceramah. Malam itu, padang sekolah dibanjiri ribuan penduduk sekitar. Saya bersama ramai juga budak AlFalah yang tinggal di asrama ikut serta. Yang tidak tinggal di asrama pula tentulah berkali ganda ramainya berhimpun bagi mendengar ceramah Dr Haron yang cukup terkenal ketika itu menerusi program Forum Perdana Ehwal Islam di TV1.

Sebaik sampai, kami tidak lagi berpeluang berada dekat dengan pentas yang didirikan di hadapan salah satu tiang gol di padang itu. Suasana sesak namun pandangan tidak terhalang kerana semua yang hadir duduk bersila beralas kertas atau selipar sendiri atau rumput nan asli. Di atas pentas, di hadapan sebaris kerusi bersofa, bersusun ratusan botol berisi air kerana dikhabarkan, selepas berceramah nanti, Dr Haron [semasa itu belum bergelar Dato', belum juga bersara dari jawatan pensyarah UKM, belum aktif dalam siasah] akan membaca ayat penerang hati atau seumpamanya. Kami kesal kerana tidak dimaklumkan atau memang tidak maklum tentang itu. Ketika era air sejuk belum lagi terjual di kedai, di manakah akan kami ambil botol berisi air pada malam itu? Maka telan liurlah kami dari jauh......

Ceramah bermula.

Di sinilah terserlahnya kelemahan atau kekolotan saya.

Dr Haron faham kehendak masyarakat. Kalau benar hendakkan ilmu, tentulah dicarinya kepada guru-guru yang berserakan di tanah air. Ini mereka hanya sekadar ingin mendengar. Maka dalam ceramah itu dibalutinya dengan banyak jenaka. Puaslah agaknya audiens. Amat berbeza sekali dengan cara beliau berhujah atau menghurai sesuatu seperti yang sering kami tonton di tv. Saya teringat emak yang sering dengan bukunya mencatat sesuatu setiap kali tersiarnya Ehwal Islam, lebih-lebih lagi jika ada panel seperti Ustaz Ismail Kamus, Dr Amran Kasimin, Dr Abdul Haie  dan Dr Haron Din.

Kini, saya tidak ingat sangat apa yang dikupas oleh Dr Haron pada malam itu. Begitulah. Mungkin ribuan orang yang hadir boleh mengingat isi ceramahnya. Tetapi tidak saya. Maka fahmilah kenapa saya kagum dan cemburu dengan sahabat tadi.

Yang saya ingat kini adalah kisah Mat [maaf kepada sahabat yang dipanggil Mat di seluruh dunia. Kata orang kita, orang bernama Matlah yang paling banyak mendapat gelar....] Bohong.

Dr Haron berkisah [dalam bahasa saya pula]:

Di kampungnya [biasalah bagi mana-mana penceramah: kalau tidak kampungnya, pasti bukan di kampung tempat berceramah itu!] ada seorang yang terkenal dengan perangai paling amat terlalu suka berbohong. Digelarlah Mat Bohong. Dia tidak marah dengan gelaran itu. Malah berbangga. "Alang-alang bohong, orang tak dapat gelaran 'tu,"katanya.

Kata orang, dalam sepuluh cakapnya, payah satu pun yang betulnya.

Satu hari, jam 10 pagi, ketika Pak Imam sedang minum bersendirian di kedai kopi di pekan, dia ternampak kelibat Mat Bohong  memasuki kedai runcit bersebelahan. Kelihatan terkocoh-kocoh ketika turun dari basikalnya. Kalut.

Sebentar kemudian dia keluar. Pak Imam menggamitnya. "Mat, mai minum dulu!"

Mat datang menghampiri Pak Imam. Bersalam dalam tergesa-gesa. "Mai minum dulu. Sambil 'tu bolehla bohong apa yang patut...."pelawa Pak Imam.

"Minta maaf, Imam," kata Mat, serius dan serabut wajahnya, "hari 'ni tak boleh bersembang banyak. Saya kalut sikit 'ni. Nak keliling kampung.  Hj Awang nak buat kenduri cukur rambut cucu dia. Dia suruh saya pangge orang kampung. Kebetulan jumpa Imam tang 'ni, kira selesai tang 'ni la no....."

"Selesai apa?"

Mat menghulurkan tangannya sekali lagi kepada Pak Imam."Saya terima wakil dari Hj Awang jemput Pak Imam ke rumah dia pukul dua belas sat gi. Dia 'nak buat sebelum zohor. 'Ni kira jadi la no. Tak payahla saya pi rumah Imam 'dah.... Assalamu'alaikum!"

Mat pantas melompat basikalnya, menghala ke jalan. Laju kayuhannya.

Balik dari pekan, sekitar jam 11.50, Pak Imam terus singgah di rumah Hj Awang. Suasana lengang. Awal sangatkah aku 'ni, katanya dalam hati.

Dia memberi salam. Muncul Hj Awang bersama isterinya.

"Kata ada kenduri. Tak mai lagi ka......"

"Sapa kata?" tanya Hj Awang yang sedang kehairanan di atas tangga.

"Mat bagi tau tadi....."

"Mat mana?"

"Mat Bohong...."

"Laa, Imam percaya?"

Laaa, dalam serius Mat, Pak Imam pun kena bohong!

Audiens tertawa.

Demikianlah.

Berdasarkan cerita tersebut, mungkin tajuk kupasan Dr Haron malam itu adalah bercakap benar atau jangan menipu dan berdusta. Mungkin.

Sementara itu, rasanya saya tetap kena belajar secara 'kolot'.......dalam hening, tanpa tawa.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails