Musim cuti sekolah.
Jemputan telah berada di ruang depan rumah. Makanan telah terhidang malah telah diletakkan ke dalam beberapa talam, bersedia untuk diangkat kepada tetamu.
Memang kali ini makanan tidaklah banyak kerana jemputan pun sekadar jiran-jiran yang tinggal dua tiga pelaung sahaja jaraknya dari rumah. Emak sengaja mengadakan jamuan itu sebagai mengingati arwah ayah pada hujung pagi Jumaat itu. Empat lima hari sebelumnya pun telah ada kenduri tahlil sempena 14 hari ayah meninggal. Ketika itu hampir seluruh lelaki kampung kami dijemput. Seluruh ahli keluarga termasuk adik-adik dan abang ayah turut datang. Meriah juga.
Kini, saya bersama Paktam saja yang tinggal. Ketika saya menghampiri untuk mengangkat talam yang pertama, emak memegang hujung talam itu.
"Tak baca doa dulu?" tanya emak
"Jamuan sikit saja. Lagi pula tak jemput ustaz pun......." jawab saya perlahan sambil mata terarah kepada dua tiga jiran yang duduk paling hampir dengan pembahagi antara ruang depan dan dapur.
"Kena baca doa dulu. Suruhla sapa-sapa yang boleh!" tegas emak pula.
Saya berpatah balik ke ruang depan. Dari semua wajah yang direnung sepintas lalu, saya tahu semua jiran itu termasuk dalam spesies saya - sekadar tukang mengaminkan doa saja. Tidak pernah saya dengar atau lihat salah seorang dari mereka mengemudikan majlis tahlil.
"Takdak sapa yang boleh aih!" kata saya sebaik balik semula ke ruang memasuki dapur, melihat emak masih memegang hujung talam tadi.
"Kalau tak baca doa, jangan angkat talam 'ni!" demikian kata putus emak. Saya pula hampir putus kepala! Jemputan telah duduk di dalam rumah dan emak pula berkeras tidak mengizinkan talam berisi empat jenis lauk itu diangkat. Kacau!
"Dah takdak orang boleh baca, nak buat macam mana?" celah Paktam yang turut tertekan dengan suasana itu.
"Hangpa la baca!!" sekali lagi emak memutuskan.
Saya?
Paktam melangkah ke bilik berdekatan. Saya menurut. Di dalamnya kami berdua menepuk dahi masing-masing. Kenapalah emak buat kami begini? Paktam menyuruh saya membaca doa, saya menyuruh balik Paktam yang melakukannya. Terjadi pertengkaran sedikit tapi cukup terkawal nada suara agar tidak kedengaran jemputan di luar. Saya berhujah, Paktam lebih layak kerana mengaji di pondok Hj Talib [Tuan Guru Haji Mutalib sebenarnya - pengasas Madrasah (kini SMA) Ihya ul Ulum Diniah, Simpang Empat]. Paktam membalas, saya juga layak kerana mengajar di sekolah agama [walaupun dia tahu saya mengajar di bahagian akademik]. Lama juga kami bertolakan sebelum Paktam buat keputusan: "Hang yang kena baca pasai awat hang tak panggil ustaz tadi?" Saya terkedu. Manalah saya tahu emak akan bertegas begitu kerana berdasarkan sedikitnya kuantiti lauk, tentulah itu jamuan biasa sahaja...
Saya dan Paktam keluar untuk sekali lagi menghadap emak yang menunggu, dan masih memegang talam. Walaupun wajahnya mencuka, saya ingin meminta jasa baiknya untuk 'melepaskan' saya kali ini. Belum sempat saya bersuara, emak terlebih dahulu bersuara, "Kalau aku lelaki, aku baca sendiri doa 'tu. Bukannya payah sangat!"
Paktam mendengus. Saya macam hendak menangis! Tahulah saya, emak tidak akan berkendur....
Akhirnya, memandangkan jemputan sudah lama tercangak-cangak hairan, saya terpaksa memberanikan diri. Duduk bersandar di dinding berhampiran bilik, saya benar-benar bercakap kepada diri: "Hang jangan buat malu!" Lalu, selepas Bismillah, salawat, Al Fatihah, Surah Ikhlas 3 kali, Al Alaq dan An Nas serba sekali, saya terus membaca doa yang saya tahu. Tangan dan dada bergetar. Sah, bukan doa arwah yang selalu dibaca para ustaz dalam majlis tahlil. Janji ada permintaan untuk kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di akhirat serta dipelihara dari azab neraka, sudah, detik hati saya.
Peluh memercik sebaik kedua-dua telapak tangan meraup muka. Bala aku sudah habis.....
Ketika talam mula diangkat saya melihat muka emak. Emak merenung balas. Tidak bersuara tapi dari riaknya saya rasa seolah emak berkata, "Tengok-tengok apa?"
Lama, pada malamnya, saya berfikir.
Selama ini, kalau ada bacaan tahlil Ustaz Man yang akan menjadi khalifahnya. Kalau tiada Ustaz asal Pattani itu, pelajar-pelajar peringkat atas AlFalah akan mengemudikannya. Basri atau Pak Mid dari Gajah Mati antara contoh yang saya ingat. Kalau tiada mereka, selalunya terpaksa dipanggil Paktih Saad atau Tuklang Lah, orang kampung kami. Tetapi Paktih Saad bukannya sihat sangat. Tuklanglah, walaupun sihat, sentiasa sibuk sebagai pengurus jenazah pula. Maka Ustaz Man dan budak Falahlah yang biasanya diletak harap. Orang kampung lain? Adalah lagi seorang dua yang boleh tapi terpendam bakatnya mungkin kerana tidak digilap sebab biasa sudah tekong untuk tahlil orang yang sama. Yang lain lagi? Seperti saya, kalau dalam koir, bolehlah dianggap kami sebagai penyanyi latar.......
Emak menyedari hal ini sejak lama. "Kalau tak dak Falah, sapa yang nak berdoa. Depa mai belajaq; boleh, depa bawak balik tempat masing-masing. Kita ada apa?" Pernah emak berkata begitu ketika saya yang mulanya bangga bila memberitahunya Pak Mid yang mengendalikan majlis tahlil di rumah jiran. Saya terdiam.
Apa kesudahannya keadaan ini?
Mulai malam itu, secara berdikit saya mula menghafal doa. Susun atur bacaan dari mula hingga zikir
Laa ilaha illallah tidak menjadi masalah kerana sebagai penyanyi latar, saya telah lama mengikutnya.
Cuma perlukan penambahbaikan dan keberanian kerana kali ini mesti dilontarkan secara lantang.
Bab bacaan doa yang memberi masalah. Mesti dihafal dan sebutan mesti tepat. Memang Allah Maha Mengetahui. Dalam bahasa apa juga doa kita difahami-Nya. Tapi tidaklah saya sanggup dikatakan menongkah arus, dengan para pengamin semua memandang dan kemudiannya mengumpat saya kerana berdoa dalam bahasa ibunda! Dalam hal ini, saya mesti mengikut tradisi....
Dalam beberapa hari, saya yakin bacaan doa 99.9% lengkap dihafal. Cuma dalam satu versi sahaja - merujuk kepada terbitan Majlis Agama Islam Kedah [MAIK]. Cukuplah. Tidaklah nanti bermasalah seperti ketika didera emak di hadapan jiran itu. Secara berdikit, dapatlah ditambah akan doa itu berdasarkan dapatan dari pengajian, bacaan dan dengaran. Disertakan dengan memahami maknanya. Akan tetapi, jika terkejut-tergempar, versi yang diterbitkan MAIK itulah yang digunakan kerana sudah terpeta di dalam minda. Alhamdulillah.
Akan Paktam pula, selang dua minggu kemudian, petang Rabu, ditakdirkan Allah mengalami kemalangan jalan raya ketika bersama-sama anak saudaranya, Zul Majdi, ketika dalam perjalanan ke pasar malam di Kuala Sala. Selang dua tiga hari kemudian, kami kehilangan bapa saudara yang antara paling akrab itu....AlFatihah untuk Paktam.....
Malam tadi, saya diundang ke majlis jamuan di sebuah rumah kenalan di pinggir Alor Setar. Hujan mencurah lebat sepanjang perjalanan. Tapi pesanan 'jangan tak mai' yang diulang berkali-kali kenalan itu memangkinkan saya berada di rumahnya sekitar jam 9.30. Ada sekitar dua setengah dozen tetamu lelaki di dalam rumah itu. Sehingga pukul 9.45, tuan rumah memaklumkan ustaz yang diundang tidak dapat datang kerana keadaan cuaca dan merasa sudah terlewat untuk sampai. Dipelawalah sesiapa yang boleh untuk memulakan bacaan tahlil. Rupanya semua yang datang itu hanya bersedia untuk menjadi pengamin atau malu untuk menonjolkan diri. Maklumlah, kerana datang dari beberapa latar tempat yang berbeza, semua merasakan akan ada yang lebih boleh dan layak. Saya pun merasakan demikian. Lagi pula saya hanya berseluar panjang, berbaju t, berkepala telanjang! Berbeza dengan mereka yang sekali pandang semuanya layak memberikan tazkirah kepada semua. Maka, saling berpandanganlah kami dan berkata dalam hati, "hanglah yang mulakan!"
Tuan rumah memanggil beberapa nama. Ada seorang yang paling berani, bersuara, "Tak sihat," sambil berdehem dua kali serta menunjukkan arah kerongkongnya. Trick yang cukup difahami. Tuan punya nama yang selebihnya sekadar menggoyangkan kedua-dua tapak tangan - nampak seperti anak muda menggoyangkan tangan di depan pentas konsert pula!
Saya memerhatikan wajah tuan rumah. Seakan ingin diberitahu: Aku pun pernah mengalami suasana itu!
Wallahi, dengan seikhlas mungkin saya berdehem sekali, menolak bakal kahak jauh ke dalam. Sambil memperkukuhkan sila dan memperkukuhkan hati, saya pun memulakan dengan berastaghfar tiga kali. Yang lain mengikut. Seterusnya saya memimpin majlis. Saya tidak melihat wajah tuan rumah tapi saya yakin waktu itu dia mungkin sedang bercadang untuk memeluk saya kalaupun bukan mencium.....
Selesai ratib, saya cuba meniru tekong-tekong tahlil sejak zaman dahulu kala dengan menadah tangan sambil mempelawa dua tiga orang yang kelihatan lebih tua dan boleh untuk membacakan doa. Semuanya menolah dengan isyarat tersendiri. Yang terakhir dipelawa mengangkat tangan sambil dengan kuatnya menyebut' "Amin!" dua kali. Sahlah saya yang kena lagi. Sememangnya sengaja menguji pasaran....hehehe. Eleh di tempat saya selalu saya tengok adegan ini....
Maka, dengan demikian keadaannya, saya berdoa dengan versi asli terbitan MAIK. Terima kasih MAIK!
Ketika orang lain beratur mengambil makanan secara buffet itu di bawah porch, saya ditahan tuan rumah untuk duduk saja di dalam rumah. Di kiri saya adalah orang yang tadinya menyatakan tidak sihat dan menyalahkan kerongkong itu. Di kanan pula, tidak lain dari insan yang sengaja menguatkan sebutan Amin sebelum saya berdoa. Di hadapan saya adalah ayah kepada tuan rumah yang tiba-tiba muncul sebaik selesai doa. Termengah-mengah. "Penat di dapur,"katanya. Adaka.....?
Kami makan berhidang. Dalam empat itu, saya yang paling tidak selesa. Keadaan ini mudah difahami oleh sesiapa juga yang berperut tambahan/lebihan dengan berseluar serta ditambah disuruh duduk bersila! Maka fahamilah berapa sangat jumlah suapan yang mampu dilakukan walaupun antara menunya adalah kurma kambing! Sahabat yang sakit kerongkong itu pula yang tiba-tiba sembuh berdasarkan kiraan suapan yang ditelan dan tambahan nasi kemudiannya.
"Terima kasih..." demikian kata tuan rumah. Benar dugaan saya tadi. Memang dia bercadang memeluk saya! Mujur ciuman yang saya juga duga tadi tidak menjadi realiti ketika dia menghulurkan sebuah bungkusan berisi nasi dan sedikit lauk.
Sepanjang perjalanan pulang malah ketika berkain pelikat tunggal sambil mengunyah nasi kenduri berseorangan di rumah pada tengah malam, saya makin menghargai ketegasan emak dahulu - pada tahun 1997. Rupanya demikin juga satu cara pengajaran dan semoga manfaatnya berkekalan. Insya Allah.
Terima kasih, emak!
Seperti selalu, sebak pun menyerbu...........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan