Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belasungkawa. Papar semua catatan

Rabu, 1 Mei 2013

Yahya Jusoh: Pemakai Jersi No. 4


 

Penghujung dekad 70-an dan awal 80-an, pemakai jersi pasukan bolasepak negara bagi nombor-nombor tersebut tidak pernah berubah:

1 R Arumugam.
2 Jamal Nasir
3 Soh Chin Aun
4 Yahya Jusoh
5 Santokh Singh
6 Shukor Salleh
8 Bakri Ibni
 
Merekalah, bersama Khalid Ali, Abdullah Ali, James Wong, Hassan Sani dan beberapa nama  lain, yang berjaya meletakkan Malaysia sebagai wakil Asia ke Sukan Olimpik '80 di Moscow. [Malangnya, kerana pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan, Malaysia menyertai banyak negara lain, memboikot acara sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu]

Banyak perlawanan membabitkan pasukan negara saya tonton - termasuk menjuarai Sukan SEA 1977 (Kuala Lumpur) serta mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 1979 (Jakarta). Tidak lupa pula perlawanan persahabatan skuad Malaysia dengan Kelab Cosmos New York yang turut membariskan ramai pemain terkemuka dunia, antaranya Pele dan Franz Beckenbauer.

Namun, bagaikan tidak lengkap detik terindah arena bolasepak negara tanpa mengingati aksi mendebarkan pada 6 April 1980 itu.

Yahya Jusoh
Kejayaan Malaysia di dalam perlawanan akhir pra-olimpik di Kuala Lumpur itu selalunya dikenang oleh generasi era tersebut dengan jaringan James Wong ketika bertemu Korea Selatan.Generasi kini juga boleh menontonnya di Youtube, dengan bersekali jeritan "cocok Hassan!" dari suara pengulas RTM ketika itu, Zulkarnain Hassan.

Namun, saya tidak akan dapat melupakan benteng 1Malaysia mempertahankan kubu dari serangan bertali arus lawan. Arumugam di pintu gol dibantu oleh soldadu-soldadu kental - Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Yahya Jusoh. [Hanya Yahya yang tidak bergelar Dato' selepas tamat karier ....]

Saya masih terbayang satu situasi mencemaskan. Ketika kedudukan seri satu sama, dan Malaysia sedang bertubi-tubi menyerang, telah berlaku serangan balas. Saya - dan tentunya penonton lain juga - terpempan melihat kelajuan seorang striker Korea Selatan dari arah kiri pasukan Malaysia melepasi barisan tengah. Luruan itu dengan tenang dirampas oleh pemain berjersi nombor empat, bek kiri, Yahya Jusoh. Saya yang ternganga sebelumnya [ketika itu menonton sambil duduk di rumah jiran sekampung], bangun bertepuk. Jika Yahya gagal ketika itu, pengulas sendiri mengakui, hampir mustahil Arumugam mampu.menghadapinya bersendirian...... Dan tulisan sejarah pastinya berbeza.....

Dua puluh empat hari selepas ulangtahun ketiga puluh tiga perlawanan bersejarah tersebut, kita dikhabarkan tentang pemergian Yahya Jusoh ke alam abadi.Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.

Arwah lama menderita gangguan saraf dan lumpuh, dan terakhir diuji dengan kanser prostat.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.

Jasa baktinya dalam mengharumkan nama negara akan sentiasa dikenang.

p.s.

Anda tahu siapa bek kiri atau pemakai jersi nombor empat di dalam skuad bolasepak negara kini?
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Ahad, 3 Februari 2013

Norodom Sihanouk Yang Saya 'Kenal'


 

Saya mengenali Norodom Sihanuok [ketika itu pangkal namanya ada perkataan Putera] pada tahun 1975.

Kami belajar Sejarah di Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz]. Gurunya Cikgu Abdul Samad. Dia bercerita tentang Teori Domino.

“Vietnam Selatan telah jatuh ke tangan komunis. Kemudian menyusul kejatuhan Kemboja. Selepas ini, mungkin Thailand. Selepas itu lagi…..”

“Malaysia!!!!”jerit kami sekelas sekuat hati.  Ada deraian ketawa di hujungnya, mungkin seronok dapat menyebut serentak begitu.

 Semasa itu, manalah kami tahu apa-apa.

Cikgu Abdul Samad menggeleng kepala. Dalam sebak dia mengandaikan jika Malaysia jatuh ke tangan komunis. Kesannya kepada negara, agama, kami dan keluarga. Bijak dia mengambil beberapa contoh yang menyentuh hati. Saya tidak ingat, tetapi ramai juga pelajar kelas itu – semua pelajar tingkatan Dua E adalah lelaki – menangis! Kemudian beramai-ramai kami berdoa agar komunis tidak menjajah Malaysia!

Dari Cikgu Abdul Samadlah pertama kali saya mendengar nama Putera Norodom Sihanuok. Tahu sedikit susur galurnya. Kemudian setiap hari, di dalam akhbar di perpustakaan saya terbaca namanya. Kerap juga namanya muncul sebagai bahan berita di radio.

Sihanuok
Suharto
Ketika itu, saya tidak kisah sangat tentang peranannya di Negara Kemboja. Cuma jika ada gambar Presiden Suharto [Indonesia], kadangkala saya keliru dengan wajah Norodom. Ada iras entah bahagian mana…..
 
Sejak menjejak ke sekolah menengah saya gemar membaca akhbar. Dari muka satu hingga muka akhir. Malah tulisan pojok pun saya baca.

Salah seorang kolumnis yang saya gemar adalah pejuang  berhaluan ‘kiri’ arwah Dato’Ahmad Boestamam [atau Abdullah Sani], bapa kepada arwah Rustam A Sani, seorang lagi penulis yang saya minati. Saya pernah membeli dan membaca beberapa buku memoir tulisan Ahmad Boestamam terbitan Amir Enterprise. Paling diingati adalah buku Tujuh Tahun Malam Memanjang yang menceritakan bagaimana dia berada di dalam tahanan British selama tujuh tahun. Ketika umur belasan tahun saya cukup hiba mengingat cerita bagaimana dia dibawa pergi meninggalkan isteri dan anak-anak – termasuk seorang anak perempuan yang bisu……

Dato’ Ahmad Boestamam mempunyai satu kolum di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hujung usianya. Ada dua catatannya yang cukup saya ingat sampai kini. Pertama, apabila bekalan air dan elektrik di kejiranannya di Taman Greenwood terputus pada suatu malam. Apalah sangat yang dapat dilakukan di dalam gelap......, tulisnya. Subuhnya, dia tidak dapat solat kerana tiada air untuk mandi yang dimestikan! Sebagai pelajar, saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami tulisan tersebut!

Tulisan kedua adalah tentang Rumpun Melayu bermula dari Semenanjung Champa hingga Nusantara. Di utara termasuklah sama Kemboja. [Semasa ini ada yang mengenalinya sebagai Kampuchea]. Sayang, tulisnya, agama Islam tidak begitu meluas di negara tersebut. Jika tidak Putera Norodom Sihanouk tentulah bernama Putera Nor Adam Shah An Nor!

Saya tersengih lama membaca ilusi tersebut......

Lama saya tidak kisah sangat dengan insan yang dua kali menjadi Raja Kemboja itu [ 1941-1955 dan 1993 – 2004.

Cuma saya membaca riwayatnya di dalam sebuah akhbar sehari selepas dia meninggal pada 15 Oktober 2012 di Beijing, China – dalam 16 hari sebelum menyambut ulangtahun hari lahirnya yang ke-90.  

Selepas itu, saya teringat nama yang dinukilkan untuknya oleh Dato’ Ahmad Boestamam, lebih tiga dekad lalu.

Lama pula saya terlupa akan hal itu sehinggalah difahamkan mayatnya akan dikebumikan mengikut adat pengkebumian diraja di negara kelahirannya pada hari Isnin, 4 Februari 2012.

Kalau dia Tuanku Nor Adam Shah An Nor.............

Marilah sesekali kita hadiahkan bacaan AlFatihah kepada arwah Dato' Ahmad Boestamam  yang juga mempunyai nama pena Ruhi Hayat. Beliau pejuang kemerdekaan negara yang jarang didendang - pernah melalui jalan beronak demi kebebasan bangsa dan tanah air. Semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah. Amin.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 24 Januari 2013

Penyanyi Dangdut Meninggal Ketika Berzikir


 
Sepanjang masa hidupnya,  Rafiq dikenal sebagai orang yang taat beragama. Begitu juga di mata anak kelapannya, Farabi El Fouz, yang menilai bahawa ayahnya sama sekali tidak pernah lepas mengucap zikir hingga ajal menjemputnya.

A. Rafiq"Jadi Papa tadi berzikir. Beliau memang senang sekali zikir asmaul husna, dia sering berzikir dari pagi sampai petang," ungkap Farabi ketika ditemui di kediaman Rafiq pada hari kematian si ayah.

Biasanya, tambah Farabi, kalau Rafiq sudah khusuk berzikir, tak ada satu pun pihak keluarga yang berani mengusiknya.

"Kalau Papa sedang berzikir, kami tidak berani mengganggu," ujar Farabi.

Begitu pula ketika dalam rawatan di rumah sakit, dalam keadaan kesihatan yang terus merosot, A Rafiq terus melafazkan zikir hingga monitor jantung berbunyi sebagai tanda detak jantung mulai melemah atau berhenti.

"Papa terus berzikir sampai akhirnya monitor berbunyi," kata Farabi.

Farabi mencoba menguatkan diri setelah doktor  mengesahkan bahawa A Rafiq telah meninggal dunia. "Kami sebetulnya sangat terkejut sekali dengan berita ini, tapi Papa selalu berpesan bahawa yang kekal adalah Allah. Papa juga tidak banyak berpesan, kalaupun berpesan sama seperti dulu, hanya meminta anak-anak menjaga solat dan belajar," ungkap Farabi.

Sumber: Kompas.com

Sejuk hati kita membacanya, bukan?

Berzikir hingga nyawa terpisah dari jasad, selalu mengingatkan diri dan keluarga bahawa yang kekal hanyalah Allah, berpesan kepada anak-anak agar menjaga solat dan belajar .

Bukan semua orang mahu dan mampu melakukannya……

Tetapi siapa Rafiq?

Dia adalah Ahmad Rafiq, seniman dangdut tersohor Indonesia dengan nama pentasnya A Rafiq. Berdarah India-Pakistan, beliau meninggal di usia 64 tahun, pada petang Sabtu 19 Januari 2013. Meninggalkan Aisyah, isterinya serta sembilan anak. Di antara lagu-lagu popularnya adalah Pengalaman Pertama, Pandangan Pertama, Penyesalan, Setia dan Karena Dia.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan segala dosanya terampun. Amin.

Siapa pula kita?

Seringkah kita berzikir mengingati Yang Maha Mencipta? Sejak dan sehingga bila? Apa pesan atau ingatan kita kepada diri dan keluarga?

Demikianlah.

Kita tidak menjadi sempurna dengan hanya dabikan dada.... 

Fikir dan zikir!





Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails