Sabtu, 4 April 2015

Juwie - Mama Yang Dipanggil Pulang

Image result for auw juwie
Hj Abdul Jalil Salleh

JUWIE JUWIE JUWIE

Majalah hiburan banyak di pasaran
Berbagai kisah di sana sini
Gosip para artis, cerita nan romantis
Di bawah kelolaan Juwie

Ramai artis Mama liputkan
Ramai muda-mudi yang turut serta
Mama paparkan penyanyi, Mama paparkan pelakon
Tapi kami yang Mama lupa

Juwie, Juwie, Juwie
Tulis nama ku di dalam ruangan mu
Juwie, Juwie, Juwie
Papar gambar ku di halaman majalah mu

Ku lihat Mama di URTV
Ku terbaca di Mingguan Malaysia
Poster warna-warni, fesyen menarik hati
Pasti akan ku beli

Image result for bumiputra rockers

Di atas itu bukan sajak di mana-mana majalah atau akhbar. Itulah lirik ditulis oleh penyanyi grup BumiPutra Rockers [BPR]- Joey. Lagunya ciptaan grup berkenaan, dimuatkan di dalam album sulung mereka, Selamat Pagi Malaysia.

[Info: Selain Juwie Juwie Juwie dan Selamat Pagi Malaysia, album ini turut memuatkan lagu Gua Musang, Hilang, Istilah cintaku, Bersyukurlah, Untuk Apakah Lagi, Tergendala, Mana dan Maghrib].

Lagu ini menggambarkan Juwie sebagai seorang wartawan hiburan. Satu sisi sahaja. Satu sisi lainnya tentulah Juwie sebagai penulis lirik tersohor.

Tidak ada sebelum dan selepasnya seorang wartawan [dan penulis lirik] yang diangkat mewarnai sebuah lagu...

Demikian terkenal dan berpengaruhnya insan yang nama aslinya Hj Abdul Jalil Salleh. Penghuni dunia artis yang mendapat liputannya berasa bertuah. Penyanyi yang mendapat lagu dengan lirik tulisannya pula lagilah bertuah.

Beliau bermula di Berita Harian, berpindah ke bawah bumbung Utusan, menyerikan akhbar Mingguan Malaysia serta majalah URTV dan membidani majalah Mangga. 

Ruang gosipnya ditunggu ramai[tidak hanya khalayak pembaca tetapi artis sendiri], liputannya tepat - tidak bertokok sebagai penyedap. Liriknya yang pula melankolis membuai jutaan hati.

Saya mengikuti tulisannya, lama sebelum dia menggunakan nama Juwei. Di Berita Harian, selain A Jalil Salleh, tulisannya memakai juga singkatan AJS.

Saya meneliti lirik popularnya yang mengangkat nama ramai penyanyi, dengan cukup berminat pula nama samaran pada kulit album - Juwie kerap mencantumkan nama seseorang dengan namanya. [ Saya lupa, tapi yang sempat diingat waktu ini Wielid, JuwieOwie ....]

Juwei seorang khunsa - pengakuannya sendiri. Lembut dalam percakapan dan pergerakan membuatkan ramai yang menyangka dia seorang perempuan tulen. Apa lagilah apabila dari nama Juwei sahaja ditukar sedikit kepada Mama Juwei - berdasarkan bahasa dirinya 'mama'.

Saya masih ingat kelembutan Juwie semasa menyertai rancangan tv untuk Hari Raya bagi pekerja media -Seiring Jalan. Dahulu setiap tahun ada program itu dan Juwei kerap terlibat. 

Saya juga ingat interviu dengannya oleh sebuah stesen tv - betapa dia menceritakan sengsara seorang khunsa, yang dikenali pula. Dicemuh dan dihina adalah hal yang lazim. Bekas rakan setugasnya, Fauziah Samad [Gee], adik seniman Ahmad Fauzi, yang pernah mempunyai ruang gosip sendiri, ada bercerita tentang Juwei secara peribadi. Betapa ada orang pernah menyuruhnya bertaubat kerana merasakan Juwei menukar jantina, betapa kreativiti melariskan majalah yang dipimpinnya dan betapa ramai penuntut universiti yang menyandarkan harapan kepada Juwie jika kesempitan wang...[Bacalah sedikit kesulitan, kejayaan dan kemuliaan seorang insan unik di entri   blognya].
Image result for auw juwie
Saya pernah membaca sebuah buku tulisan Juwie tentang azab sebagai seorang yang punya dua jantina. [Malangnya buku itu entah di mana kini dan tidak pula saya ingat tajuknya] Betapa tertekan jiwa kerana pandangan serong masyarakat. Pernah selepas tamat persekolahan dia bercita-cita untuk menukar jantina tunggal -sebagai wanita. Mujurlah ada pakar jiwa dan agama serta ibu bapa yang membendung cita tersebut.


Ruangan gosip Juwie yang terkenal bertajuk/berlogo Auw! 

Banyak yang masih saya ingat akan apa yang telah dikuitnya.

Namun ada satu yang tertancap amat baik di minda.
Betapa tersentuhnya tatkala Juwie mengulas lirik tulisan M Nasir untuk lagunya nyanyian
kumpulan Wings - Midnight Blues[album Teori Domino]


Bait pertamanya seperti tertuju terus kepada wartawan kelahiran Temasik itu.


Si manis di belakang Kaw Loon rupanya sang khunsa
Ada juga wajah yang pernah ku lihat di akhbar auu
Jam 11.30 masih ada tawar menawar
Saya terjumpa satu blog yang - untungnya - menyimpan petikan tulisan Juwie itu:
"Lirik itu ternyata menghina. Kita hidup tidak boleh menghina makhluk Allah. Siapalah diri kita hendak menghina orang lain?"
Demikianlah.
Catatan pendek ini dibuat menjelang tengahmalam, sebaik mendapat satu berita lara tentang Juwie.
Satu setengah jam lalu, 10.30 malam, Hj Abd Jalil telah dijemput pulang oleh Penciptanya.
Innalillah...
Pada usia 62 tahun, Haji yang lebih ramai orang memanggil dan mengenali sebagai Mama Juwie itu telah pulang, dengan kanser prostat sebagai punca.
Kita kehilangan seorang mama... 
Mama Juwie, damailah engkau di sana...
Saya teringat juga kepada anak-anaknya yang ramai kini berkerjaya molek setelah lulus dari universiti..[rujuk blog Fauziah Samad]
 Semoga mereka menjadi anak yang soleh...Yang tahu akar dan umbi...dan mahu berbakti...

AlFatihah buat saudara kita, Hj Abd Jalil Salleh.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails