Sabtu, 4 April 2015

Timbul Di Zaman Lain

Srengenge.

Image result for novel srengenge shahnon ahmad
Itulah novel wajib yang dibaca di dalam tingkatan satu semasa saya di sekolah menengah. Karya Shahnon Ahmad. Lama sebelum beliau bergelar Dato dan lama juga sebelum diangkat sebagai Sasterawan Negara.

Selain novel itu, pada peringkat tersebut, bersama kawan yang rajin menjengah perpustakaan, saya sudah membaca novel karya S Othman Kelantan - Perjudian dan Juara. Saya baca novel paling tebal pada era itu, Desa Pingitan karya Ibrahim Omar.

Saya baca novel Suboh tulisan Atan Long.

Image result for interlok novelSehingga tingkatan tiga, yang masih boleh diingat novel yang dibaca adalah Interlok [Abdullah Hussain], Badan Bertuah [Ismail Salleh @ AlFalah], Pulanglah Perantau [ Aziz Jahpin] - semuanya novel yang memenangi sekurang-kurangnya hadiah saguhati Peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun penubuhan Malaysia.


Image result for saga abd talib hassanSaya hadam  karya Mohd Mansor Abdullah, Kembali Bergelut, karya-karya Abdul Talib Hassan [Saga, Pelarian dan Sekuntum Bunga Sena] A Samad Said [Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Adik Datang], Baharuddin CD [Arca Berdiri Senja].....

Ada banyak lagi tajuk dari ramai pengarang lain - termasuk dari Indonesia.

Demikianlah.

Bukan apa-apa.

Cuma lihatlah tajuk yang saya catat dan masih ingat termasuk juga isi novelnya...

Siang tadi, saya ke sebuah kedai buku yang luas dan banyak divisinya. niat mahu mencari novel Arus karya Anwar Ridwan. Saya jadi rindu pada Sungai Usar dan buaya di dalamnya yang dilukis cantik oleh Sasterawan Negara itu. Novel yang sama pernah saya beli lama dahulu, terbitan Pustaka Cipta [kalau tidak silap] milik penyair Baha Zain, hilang entah ke mana dibawa arus...

Puas mengitari mata pada rak di divisi novel - hatta ke rak novel remaja - tidak saya temui karangan doktor falksafah dari Selangor itu.

Saya tanyakan kepada seorang pekerja di kedai itu. Manis senyumnya pada mula. Berkerut dahi apabila saya sebut tajuk dan pengarang yang bagi saya - semestinya - agak tersohor tersebut.

Si manis itu bertanya pula kepada seorang rakan yang tidak kurang manisnya.

Dipendekkan catatan, mermang tidak ada. "Tak pernah dengar..."kata salah seorang mereka.

Apa yang ada?

Mereka, dengan sopan, menunjuk ke arah rak di depan saya...

Aduh!

Memang jauh beza tapi saya umpamakan diri seperti pemuda yang tertidur ratusan tahun di dalam gua...

Di rak itu saya membelek tajuk beberapa novel. Penulisnya yang punya nama samaran yang cukup asing di mata saya tidak perlulah dicatat...


Saat Hadirnya Cinta Dia

Kerana Aku Isteri Bidaan

Image result for kahwin 6 bulan jerKahwin 6 Bulan Aje?

Jadi Isteri Dia

Isteri Untuk Disewa

Sebab Saya Suka Dia

Ops! Pintu Hatiku

Saya Pilih Awak

...........

..............

Ada dua tiga tajuk lagi - panjang-panjang - dipromosikan telah menjadi telenovela di tv.....Satu akan muncul tidak lama lagi di tv....

Hehehe.

Begitu berbezanya zaman saya.

Saya mencari novel ARUS.

Hehehe.

Siapa agaknya yang akan membeli novel dengan tajuk begitu pada zaman ini?

Supaya tidak keluar dengan tangan kosong dari kedai yang besar itu, saya beli surah Ya Sin dan Mathurat Kubra yang memang telah ada di rumah....






Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails