Khamis, 9 April 2015

Iklim Suku Abad

Image result for album iklim satu kesan abadi



Saya tidak ingat siapa dj radio pada masa itu. Radio pun saya tidak ingat nama rangkaiannya. Rangkaian Nasional atau Radio Satu. Yang pasti bukan Radio Klasik Nasional, apalagi Radio Klasik atau Radio Nasional. Telah berlaku banyak kali pertukaran nama saluran radio milik RTM...

Tapi saya ingat waktunya - selepas tengah malam.

Ada slot Rockarena [itu saja yang yang masih basah di ingatan] selain pelbagai slot lain. Djnya bergilir bersiaran. Ada Khalim Rohani, Kamal Hassan...

Tengah malam itu entah slot apa. Tapi dj perkenalkan satu grup baru yang telah melahirkan album sulung.

Semua ahli grup itu ada di konti. Namun ada dua suara sahaja yang kerap kedengaran - suara penyanyi dan suara petikan gitar tong salah seorang gitarisnya.

Dj memainkan satu lagu dari album terbaru di pasaran itu. Saya terpesona dengan liriknya kerana bahagian itu yang sering saya teliti. Suara penyanyi atau iramanya tidak saya peduli.

Selepas lagu pertama dan berbual sedikit, gitar berbunyi tetapi lagunya bukan dari lagu  mereka. Sebaliknya unplugged lagu Hidup Bersama versi A Ramlie, bukan nyanyian semula XPDC, kerana Mael pun pada waktu itu sedang mencari tapak...

Setelah itu, dimainkan kembali lagu yang dianggap 'pembunuh' dalam album mereka tersebut. Habis, mereka berbual dengan suara kekok kedengaran dari anggota grup baru itu, diikuti petikan gitar lagi dan alunan Hidup Bersama lagi.

Demikian berulang berkali-kali. Saya mengeluh: nampak macam mereka sendiri tidak yakin dengan lagu dari album mereka. Si penyanyinya asyik alunkan lagu A Ramlie....

Beberapa lama kemudian saya terbaca peritnya grup ini menjaja bakat mereka. Ada seorang komposer terkenal tidak memandang pun...

Tapi takdir telah tertulis....

Komposer itu pun rasanya berdeguk-deguk menelan ludahnya....

Grup itu meletup dengan album pertama tersebut!

Jualan mencapai tahap platinum disc, setiap hari lagu mereka terutama lagu pembunuh dimainkan di corong radio. Grup turut memenangi beberapa anugerah.

Itulah IKLIM.

Lagu Suci Dalam Debu menjadikan mereka terkenal hingga ke seberang Selat Melaka....

Macam baru saja saya mendengar suara Saleem mengalunkan lagu Hidup Bersama diiringi gitar tong...

Rupanya telah 25 tahun berlalu. Telah suku abad!

Image result for film suci dalam debuDalam tempoh berkenaan, pelbagai telah berlaku kepada grup dari Trengganu itu. Pahit dan manis. Menang beberapa anugerah muzik, membintangi filem yang judulnya diambil dari lagu hit  tersebut [ arahan Zulkifli M Osman], masalah peribadi Saleem, perpecahan, dan Saleem muncul sebagai artis solo...

Dua puluh lima tahun.

Dj yang memperkenalkan mereka pada tengahmalam pertama itu barangkali telah bersara.

Komposer yang tidak menerima mereka dahulunya telah lama  dikesan tersilap jangka...

Julia Rais dan Sidi Oraza, bintang utama filem Suci Dalam Debu telah lama meninggalkan dunia lakonan...

Telah lama pula mereka berpecah, membawa haluan masing-masing. Pelbagai yang saya baca tentang ahlinya - walaupun tidak kerap muncul di media.

Sayang sekali bakat mereka tidak boleh dikembangkan lagi dek musibah bernama perpecahan. Sesekali terdengar seperti tidak ada titik pertemuan...

Baru-baru ini mereka muncul - dengan semua ahli asal - di Johor Bahru!

Saya teruja dari jauh....

Walaupun bukan konsert berskala besar, kemunculan mereka membuktikan bahawa  mereka tetap berbisa!
Image result for 25 tahun Iklim di Johor bahru
Iklim kini

Khabarnya mereka akan muncul dengan album baru. Meski bukan jaminan album bakal meletup seperti dahulu, langkah itu tentulah ditunggu peminatnya...

IKLIM.


Ketika menulis ini, saya tertendang ke tahun 1990, meniarap di dalam kelam malam, mendengar radio di atas katil sebuah asrama sekolah agama rakyat, mendengar suara Saleem buat pertama kali....

Adakah Saleem ingat malam itu?
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails