Khamis, 5 April 2012

S Mokhtar dan Orkes Chandni 2


3 April 2012.
Sekitar 9.30 malam saya ke pekan Simpang Empat, Kangkong. Tepatnya Jalan Tokai, berhadapan tokong cina. Malam sebelumnya juga saya ke situ. Dua malam ini persatuan Cina memang khaskan untuk persembahan hiburan bagi masyarakat Melayu, manakala beberapa malam berikutnya mereka undang artis Tionghua.

Malam sebelumnya pentas diisi oleh Orkes Nurul Huda, Kg Permatang Ibus, Kangkong. Nama saja dari kampung saya itu, namun rata-rata pemuziknya adalah dari luar. Pengurus dan tempat berlatih saja yang ada sangkut-paut dengan kampung tersebut. Tiada ulasan untuk persembahan mereka pada malam itu kerana selalu sangat kami melihat orkes itu berlatih.

Tapi Chandni memang menarik. Setelah memasuki millenium baru, inilah kali pertama saya melihat persembahan orkes dari Sik ini. Kali terakhir kalau tidak silap ketika mereka mengiringi Herman Tino ketika kemuncak penyanyi keturunan Jawa itu.

Kini dinamakan Chandni 2. Memang patutlah sebab generasi awal telah tiada dalam line-up pemuziknya. Tiada lagi M Nasir (lihat sini), A Rahman, S Jamaluddin, Rohani Sopian serta adik beradik A Ghani Khan dan A Hamid Khan. Tiada juga persembahan lawak Saad Bubur Kacang dan Kassim Botak yang terkenal di utara dulu-dulu. Itu adalah sejarah...rujuk sini

Persembahan secara live memang menarik. Saya yang agak lewat tiba, menonton secara santai sambil melihat gelagat penonton yang pelbagai. Suasana agak riuh bila muncul 3-4 darai(mak nyah) mengiringi nyanyian, terutamanya yang berentak agak rancak.

Ketika pengacara merangkap penyanyi utama memanggil artis yang seorang ini membuat persembahan, saya terpempan. Seseorang di sebelah saya menyebut "orang lama 'ni".

"Terimalah persembahan S Mokhtar!" jerit pengacara. Hati saya turut menjerit. Aktif lagi rupanya penyanyi ini. Setelah hampir 30 tahun, saya dapan menonton semula persembahannnya.

Wajahnya tidak banyak berubah. Rambutnya yang di memori saya panjang lurus ketika mengalunkan Highway Star dulu telah tiada. Kini dia memakai cap a la baretta. Badannya agak gempal. Namun suaranya......masih seperti dulu.

Dia membawakan beberapa buah lagu dalam 3 kemunculannnya di atas pentas. Sebuah lagu nyanyian asal kumpulan Gingerbread, sebuah lagu ciptaannya sendiri (yang sedap di telinga saya), sebuah lagu Hindi Aaa Ja Tujh Ko Pukare (dari filem Geet)(lihat sini) dan sebuah lagu yang dirakamnya pada tahun 1979 yang saya lupa jodolnya
                Mari bersama oh kasihku
                janganlah dikau merasa ragu
                ku tak akan lupakan janjiku
                ........................................

Saya terbuai. Fikiran dibawa ke era itu. Betapa lamanya masa berlalu. Betapa tuanya saya...... Dan saya pulang tanpa melihat persembahan yang lagi 30 peratus.( Difahamkan beliau baru saja berbesan dengan orang sekampung saya dan beliau menujukan lagu itu untuk besannya yang menonton sama.)

4 April 2012.

Pukul 2.30 petang. Saya mendengar radio Klasik Nasional. Dj Haris memutarkan lagu nyanyian S Mokhtar dan Orkes Chandni itu... Betapa satu kebetulan yang indah. Saya menguatkan volume radio. Sekali lagi suara S Mokhtar membuai. Sekali lagi saya nampak jauhnya jalan yang telah ditinggalkan......          




Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails