Malaysia kesayangan kita juga tidak kurang penulis yang menggarap kisah cinta, walaupun tidak Islami seperti yang dipertukangkan oleh Pak Habib. Tidak salah. Kisah cinta adalah kisah universal, berasal dari Adam dan Hawa juga.
Yang membosankan bukan ceritanya tapi tajuknya. Ketika Ayat-ayat Cinta difilemkan, berderet novel di kedai buku bertajuk dengan akhiran Cinta. Sekarang pun kalau anda rajin ke kedai buku, saya jamin sekurang-kurangnya ada setengah dozen novel dengan tajuk .......Cinta. Tv pun makin galak menayangkan drama dengan tajuk yang seakan wajib ada akhiran cinta. Anda tentu boleh menyenaraikan setengah dozen lagi ....
Satu lagi akhiran terakhir. Selepas bergelas airmata penonton diperah pada satu hari raya dengan drama Salam Terakhir lakonan Rosyam Nor dan Fauziah Nawi, berbelas pula drama yang mesti ada terakhir dalam tajuknya. Sejadah Terakhir, Makmum Terakhir, Takbir Terakhir dan mungkin nanti Tahajjud Terakhir atau Tahiyat Terakhir dan seumpamanya. Sahih kalau ada terakhir saja, anda , peminat drama, kenalah menyediakan tisu beberapa kotak. Mesti cerita sedih....
Malam ini anda disogok pula dengan Menara Cinta. Setelah menontonnya, cuba anda gunakan idea anda untuk menukar tajuk itu , asalkan jangan ada CINTA. Tentu boleh, dan percayalah ia tidak akan mencacatkan cerita atau lakonan Fasha dan Fahrin. Bubuhlah apa-apa pun....Menara saja pun elok.
Saya wakilkan anda melakukannya kerana saya menyertai kempen Minggu Tanpa Skrin yang diadakan setiap tahun sejak 1995, dan malangnya bermula pada 21 hingga 27 April. Jadi hanya sinopsis cerita yang sempat saya baca...... dan saya tetap beranggapan, tanpa kata CINTA, drama itu tetap mendapat rating yang tinggi. Tengoklah siapa pelakonnya.....
Teringat ketika Mastika muncul sebagai majalah popular dengan laporan alam misterinya dengan lenggok bahasa yang santai. Di rak majalah ada lebih dua dozen majalah dengan bentuk dan isi yang hampir sama - hingga terfikir orang kita hidup dikelilingi segala macam misteri.....
Orang kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan