Imej yang kekal di minda saya |
Hari ini, Sohaimi Meor Hassan, akan membuat penampilan terakhir di atas pentas nyanyian.Tempatnya di Paradise Resort, Pulau Pinang. Ceritanya di sini
Besok, masuk saja bulan Mei, dengan isterinya juga bersara dalam bulan tersebut, Sohaimi boleh memfokuskan untuk lebih dekat dengan Allah, seperti niatnya.
Saya sedikit pun tidak merasa kehilangan malah gembira. Rujuk sini Beliau akan terus menyanyi di jiwa saya dengan lagu-lagu yang diciptanya. Lagu solonya - bukan kolaborasinya bersama Ana, Altimet [termasuk lagu Kalau Hisap Dadah], Erra ataupun Ziana (lagu Misteri Cinta versi baru) mahupun Jamal (Serunai Malam).
Beliau kekal di minda dengan rambut tebal berketak. Dengan suara jantan. Dengan lirik yang begitu dekat dengan diri dan kehidupan.
Saya tidak akan berkata "Negara kehilangan seorang .................". Maaf, saya tidak akan mengulangi kalimat klise itu. Sejak pemergian P Ramlee lagi saya sudah mendengarnya.
Lagi pula, Sohaimi hanya berhenti menyanyi. Rakaman suaranya akan kekal begitu. Lebih 30 buah lagu ciptaannya akan kekal dalam khazanah minda saya.
Semoga persaraan ini bukannya gimik. Seperti kisah seorang pelakon yang mengumumkan hendak bersara dari dunia lakonan - lalu menjadikan dirinya sibuk untuk menunaikan kehendak produser dan penonton drama Melayu ingin melihat lakonan terakhirnya - entah yang mana satu! Atau seperti sekumpulan rock yang sudah entah berapa kali mengadakan sidang akhbar menyatakan pembubaran - hingga pada peringkat simbolik memasukkan CD lagu ke dalam satu kotak yang ditutup rapi, tanda tutup buku. Dan kemudiannya, hingga kini, masih muncul bersama untuk mengubat kerinduan peminat!
Semoga persaraan Sohaimi ini kekal, walaupun nantinya ada permintaan peminat yang rindu......
Ini hari terakhir beliau di pentas. Selepas ini kita ubati kerinduan dengan mendengar cd lagunya.
Selamat berehat untuk Sohaimi. Juga isterinya, Cikgu Ros. Kepada Syaida Syarafina, Syaza Sorfina dan Syaima Sabila, terimalah kembali ayah anda sepenuhnya setelah lebih 3 dekad berkongsi dengan kami. Untuk Kathy, mari kita hormati niat murni Sohaimi yang ingin menjadi muslim sejati.
Ketika mencatat ini saya mendengar lagu Sandarkan Resahmu Di Bahuku dan Ros.
1 ulasan:
tonton tv1,tv2.tv3,ntv7.8tv,tv9 ,alhijrahtv secara online di > http://www.vecests.com/2013/01/online-tv-malaysia-radio-streaming.html
Catat Ulasan