Selasa, 1 Mei 2012

Hari Yang Tiga

Makanan anda: Bagaimana puncanya?

Sedang anda bersantai pada hari cuti ini, sambil menikmati apa-apa makanan atau minuman, menyambil juga mengomel ketidakpuasan hati tentang apa dan siapa setelah membaca akhbar atau blog, pinjamkan sedikit masa emas anda itu untuk mengingat sejenak 3 hari ini:

Hari Temuduga 

Sebaik anda menerima surat panggilan temuduga kerja,hati anda bersorak riang. Dimaklumkan kepada kedua orang tua, kawan dan pastinya si dia. Bersiaplah anda sebaik mungkin - merisik rahsia rakan yang pernah bertemuduga, bertanya soalan-soalan yang berkemungkinan diajukan. Ayah pula mencari-cari kenalan serapat mungkin yang bekerja di jabatan atau syarikat tempat anda akan ditemuduga - kalau ada - untuk memberitahu supaya tengok-tengokkan anda.

Pagi hari penting itu - setelah tidur malamnya tidak pula nyenyak - anda berdoa panjang sesudah solat. Diikuti dengan meminta restu emak - sesuatu yang kali terakhir anda lakukan ketika hari terakhir peperiksa akhir anda.

Di tempat temuduga, basah lidah anda membaca apa yang patut. Selepas ditemuduga, terselit janji untuk berkhidmat dalam apa juga suasana dan cabaran dengan sebaik mungkin......

Kini, selepas lama memasuki alam pekerjaan, apakah khidmat anda sebaik dan seikhlas janji dulu?

Hari Bersara

Setelah genap umur persaraan, nanti atau dulu, mengimbas tempoh perkhidmatan anda, nilaikan apakah anda layak berada dalam keadaan itu. 

Bersenang/berpayah dengan anak cucu, apakah harta terkumpul atau makan minum sekeluarga benar-benar dari jerih payah kerja atau sebaliknya. Berapa bahagian darinya adalah rasuah? Berapa pula yang didapati dari duduk saja, dan menepuk meja  jika permintaan kesatuan anda ditolak? Berapa pula untung dari kerja sampingan (termasuk jual tudung atau kuih raya....hehehe) yang menggunakan kemudahan pejabat - telefon, internet, elektrik, air dan sebagainya? Berapa pula keuntungan hasil penggunaan kedudukan anda? Berapa pula masa anda habiskan di kafetaria atau pekan sehari sewaktu sepatutnya anda berada di tempat kerja? Berapa pintar anda mencipta alasan jika anda dinasihati untuk menjadi pekerja yang baik?

Bagaimana solat anda sepanjang tempoh bertugas? Zuhur terutamanya kerana ia masuk pada waktu anda diuji dengan waktu makan dan ditambah lagi dengan tatarias diri yang lambat untuk diulangpakai, atau Asar yang dihimpit kesesakan jalan, keperluan singgah di pasar malam atau diselimuti keletihan ketika sampai di rumah.

Terlupa pula. Bagaimana anda dapat kerja itu dahulu. Melalui pintu depan? Alhamdulillah.Bukan apa. Ada sahabat kita yang masuk hasil pertalian ayahnya dengan orang dalam tapi di kafetaria dialah juara menentang amalan kronisme dan nepotisme he he he.....

Dan.................lagi............

Hari Pembalasan

Anda nilaikan sendiri setelah menjawab soalan dari Hari Temuduga hingga Hari Bersara.

Semoga kita tidak leka.

Semoga kita sempat membetulkan keadaan.

Semoga Dia mengampunkan kita.

Bermuhasabahlah.

Selamat Hari Pekerja.



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails