Jumaat, 6 April 2012

Annuar, Selamat Berdiam.


Arwah Dato Ahmad Basri Akil pernah menghadapinya. Bukan sekali.

Raja Zainuddin Raja Omar pernah melaluinya, biarpun hanya sekali.

Kini tiba pula giliran Tan Sri Annuar Musa.

Sesiapa selepas ini jika pun tidak berpuas hati tentang bolasepak tetapi ingin menjadi sebahagian dari ahli badan tertinggi bolasepak negara kita, jangan mengomel apa-apa. Berdiam lebih baik.

Pedulikan walau telah lama pasukan negara ditinggal jauh oleh Korea Selatan dan Jepun, yang dulunya adalah setaraf Malaysia.

Pedulikan juga kegagalan berulang kita untuk menyertai peringkat Olimpik.

Marilah kita bersorak riuh mengusung Piala AFF yang disertai negara jiran serantau. Atau menyanjung tinggi pemenang ibu segala pingat di peringkat Sukan SEA.

Jangan bercerita tentang keseronokan bertanding di peringkat Olimpik seperti yang pernah dirasai oleh generasi pemain 1970-an. Lupakan niat berada di pusingan akhir Piala Dunia pada tahun berapa pun.

Semua itu perlukan transformasi. Perlu pula disuarakan. Dikritik mana yang janggal atau khilaf. Perlu ada penambahbaikan di mana-mana. Bagaimana mungkin jika setiap teguran akan dinanti dengan hukuman pemati? Khalayak akan mewakilkan seseorang untuk bercakap. Seseorang itu perlu ada di dalam badan induk, jika tidak percakapannya hanya sia-sia. Namun, bercakap sebagai anggota badan pula akan dikekang. Lalu ke mana hendak diarahkan sukan terkenal itu di negara kita?

Biarlah. Kita tunggu Jepun dan Korea ditakdirkan merudum prestasi mereka. Bila? Lambat-laun.....

Lambat lagilah.

Sementara itu, Tan Sri Annuar, diamlah!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails