Ahad, 3 Februari 2013

Norodom Sihanouk Yang Saya 'Kenal'


 

Saya mengenali Norodom Sihanuok [ketika itu pangkal namanya ada perkataan Putera] pada tahun 1975.

Kami belajar Sejarah di Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz]. Gurunya Cikgu Abdul Samad. Dia bercerita tentang Teori Domino.

“Vietnam Selatan telah jatuh ke tangan komunis. Kemudian menyusul kejatuhan Kemboja. Selepas ini, mungkin Thailand. Selepas itu lagi…..”

“Malaysia!!!!”jerit kami sekelas sekuat hati.  Ada deraian ketawa di hujungnya, mungkin seronok dapat menyebut serentak begitu.

 Semasa itu, manalah kami tahu apa-apa.

Cikgu Abdul Samad menggeleng kepala. Dalam sebak dia mengandaikan jika Malaysia jatuh ke tangan komunis. Kesannya kepada negara, agama, kami dan keluarga. Bijak dia mengambil beberapa contoh yang menyentuh hati. Saya tidak ingat, tetapi ramai juga pelajar kelas itu – semua pelajar tingkatan Dua E adalah lelaki – menangis! Kemudian beramai-ramai kami berdoa agar komunis tidak menjajah Malaysia!

Dari Cikgu Abdul Samadlah pertama kali saya mendengar nama Putera Norodom Sihanuok. Tahu sedikit susur galurnya. Kemudian setiap hari, di dalam akhbar di perpustakaan saya terbaca namanya. Kerap juga namanya muncul sebagai bahan berita di radio.

Sihanuok
Suharto
Ketika itu, saya tidak kisah sangat tentang peranannya di Negara Kemboja. Cuma jika ada gambar Presiden Suharto [Indonesia], kadangkala saya keliru dengan wajah Norodom. Ada iras entah bahagian mana…..
 
Sejak menjejak ke sekolah menengah saya gemar membaca akhbar. Dari muka satu hingga muka akhir. Malah tulisan pojok pun saya baca.

Salah seorang kolumnis yang saya gemar adalah pejuang  berhaluan ‘kiri’ arwah Dato’Ahmad Boestamam [atau Abdullah Sani], bapa kepada arwah Rustam A Sani, seorang lagi penulis yang saya minati. Saya pernah membeli dan membaca beberapa buku memoir tulisan Ahmad Boestamam terbitan Amir Enterprise. Paling diingati adalah buku Tujuh Tahun Malam Memanjang yang menceritakan bagaimana dia berada di dalam tahanan British selama tujuh tahun. Ketika umur belasan tahun saya cukup hiba mengingat cerita bagaimana dia dibawa pergi meninggalkan isteri dan anak-anak – termasuk seorang anak perempuan yang bisu……

Dato’ Ahmad Boestamam mempunyai satu kolum di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hujung usianya. Ada dua catatannya yang cukup saya ingat sampai kini. Pertama, apabila bekalan air dan elektrik di kejiranannya di Taman Greenwood terputus pada suatu malam. Apalah sangat yang dapat dilakukan di dalam gelap......, tulisnya. Subuhnya, dia tidak dapat solat kerana tiada air untuk mandi yang dimestikan! Sebagai pelajar, saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami tulisan tersebut!

Tulisan kedua adalah tentang Rumpun Melayu bermula dari Semenanjung Champa hingga Nusantara. Di utara termasuklah sama Kemboja. [Semasa ini ada yang mengenalinya sebagai Kampuchea]. Sayang, tulisnya, agama Islam tidak begitu meluas di negara tersebut. Jika tidak Putera Norodom Sihanouk tentulah bernama Putera Nor Adam Shah An Nor!

Saya tersengih lama membaca ilusi tersebut......

Lama saya tidak kisah sangat dengan insan yang dua kali menjadi Raja Kemboja itu [ 1941-1955 dan 1993 – 2004.

Cuma saya membaca riwayatnya di dalam sebuah akhbar sehari selepas dia meninggal pada 15 Oktober 2012 di Beijing, China – dalam 16 hari sebelum menyambut ulangtahun hari lahirnya yang ke-90.  

Selepas itu, saya teringat nama yang dinukilkan untuknya oleh Dato’ Ahmad Boestamam, lebih tiga dekad lalu.

Lama pula saya terlupa akan hal itu sehinggalah difahamkan mayatnya akan dikebumikan mengikut adat pengkebumian diraja di negara kelahirannya pada hari Isnin, 4 Februari 2012.

Kalau dia Tuanku Nor Adam Shah An Nor.............

Marilah sesekali kita hadiahkan bacaan AlFatihah kepada arwah Dato' Ahmad Boestamam  yang juga mempunyai nama pena Ruhi Hayat. Beliau pejuang kemerdekaan negara yang jarang didendang - pernah melalui jalan beronak demi kebebasan bangsa dan tanah air. Semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah. Amin.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails