Selasa, 19 Februari 2013

Mat Ali, Tabahlah!




Siapa sangka Stadium Merdeka menjadi pilihan untuk pertarungan merebut juara tinju Heavyweight dunia. Namun itulah yang berlaku pada 1 Julai 1975. Saya di tingkatan dua. Masih jelas betapa hebatnya promosi perlawanan itu. Ditubuhkan Syarikat Tinju Dunia Sdn Bhd untuk mengendalikannya. Kami di sekolah setiap minggu didatangi penjual buku yang menyelitkan majalah dan makalah tentang Muhammad Ali dan Joe Bugner sebagai bahan pelaris sebenarnya.

Di akhbar, iklan semuka penuh memuatkan wajah ceria rakyat Malaysia yang telah membeli tiket untuk menyaksikan pertarungan 15 pusingan itu. Satu wajah yang kekal di memori ialah seorang muda melayu berambut afro dengan tertulis di bawahnya perkataan "Gila" bagi menggambarkan keterujaannya.

Saya tak ingat bagaimana sambutan terhadap ketibaan Muhammad Ali, tetapi tak akan melupakan imej seorang penyanyi wanita terkenal (hingga kini) menyuakan muka dicium oleh Joe Bugner di Lapangan Terbang Subang.

Pada pagi perlawanan, kami berkumpul di kantin sekolah, menghadap peti tv (terima kasih untuk Mr Looi Chee Cheong a.k.a Pak Looi, guru besar yang mengizinkannya---- kalau tidak, sepilah sekolah). Bagi kebanyakan kami, tentulah menyokong Muhammad Ali yang semua orang panggil Mat Ali. Namun kemenangan tko yang kami harapkan tidak menjadi. Terpaksa berpuas hati menang dengan kiraan mata.

Antara yang diingati sepanjang pertarungan itu ialah gelagat Mat Ali membeliakkan matanya setiap kali gadis Malaysia pembawa kad pemberitahuan pusingan memasuki gelanggang. Juga bangganya mendengar suara Datuk Zainal Alam (penyanyi lagu Susu) sebagai pengumum pertarungan dan keputusan. Rasanya itulah pertama kali suara rakyat Malaysia dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Demikian catatan saya satu setengah tahun lalu.
Boxing News: Muhammad Ali

Namun membaca berita bahawa legenda ini sedang tenat, amat mengharukan saya dan beberapa rakan rapat.(Sini)

Sebagai pengagumnya, apatah sesama muslim, dada saya berdebar. Demikian juga rakan-rakan tadi. Jauh di negara Paman Sam itu, entah bagaimanalah layanan untuk fasa akhir hayatnya.....

Semasa beliau tergigil-gigil menyalakan obor Sukan Olimpik Atlanta '96, tidak sedikit rakan yang hanya mahu memesrainya sesama selera Melayu dengan memanggilnya Mat Ali, sebak. Malah ada yang tidak malu mengakui menitiskan air mata melihat keadaan ikon sepanjang zaman itu.

Kini Mat Ali diberitakan tenat......

Namun penafian hal itu oleh salah seorang anaknya sedikit meredakan. (Sini)

Tetapi kami masih terharu mengenang dirinya yang dikelilingi keluarga yang bukan semuanya muslim. Termasuk anaknya, peninju wanita, Layla Ali..

Semoga sehingga akhir hayatnya, di dadanya hanya ada kalimah syahadah yang diucapnya pada 1964 - sebagai pengikut Nation of Islam dan kemudiannya sebagai pengikut ahli sunnah pada tahun 1975.

Membaca terjemahan buku Bahkan Malaikat Pun Bertanya tulisan Dr Jeffrey Lang - pakar matematik yang menemui Islam di universiti tempatnya bertugas - cukuplah menakutkan. Betapa sukarnya mengekalkan akidah di negara tersebut. Cabarannya terlalu banyak dan tidak terjangkakan.

Setiap kali mengulang baca buku tersebut, saya terbayangkan Mat Ali, kerana hanya dia rakyat Amerika sebagai mualaf yang saya kenal.......

Mat Ali, tabahlah. Dan perteguhkanlah imanmu.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails