Sabtu, 2 Jun 2012

Jangan Mainkan Lagu Itu.....




Sepanjang dua minggu cuti persekolahan ini, semua orang sibuk dengan majlis perkahwinan. Sibuk sebagai tuan rumah, sibuk sebagai pengantin, sibuk sebagai tukang masak, sibuk sebagai pak penanggah, sibuk sebagai mak/pak andam, sibuk sebagai dj dan paling sibuk adalah yang kena jemput. Puaslah mengatur jadual dan peta supaya masa dan tenaga tidak terbazir...Peliklah hidup anda jika untuk dua minggu ini tiada sebarang jemputan ke majlis perkahwinan.

Banyak juga majlis perkahwinan yang saya penuhi undangannya setakat ini. Selain makan-makan, saya memerhati suasana sekeliling. Sama ada jamuan disediakan oleh pihak penyedia makanan berbayar atau pakatan kenduri tuan rumah, semuanya meriah.

Apa lagi dengan keramahan dj berceloteh dan kemudian memainkan lagu-lagu pilihan. Nampaknya kehadiran dj di rumah kenduri bukan lagi sesuatu yang asing. Sekecil mana pun majlis, dj seperti sudah menjadi syarat. Mungkin betul matlamatnya - untuk memeriahkan majlis.

Ketika dibuai oleh bermacam-macam jenis lagu, saya terkesan sesuatu.

Sebaik muncul pengantin di laman rumah dan kemudiannya bersanding, dj pasti mulakan dengan memperdengarkan bunyi paluan kompang. lalu dimainkanlah lagu-lagu khusus untuk pengantin - baik lagu nasyid atau lagu yang sudah berpuluh tahun dirakamkan. Kebanyakannya bernada ceria. Sesekali adalah lagu melankolik tentang perancangan cinta yang tidak menjadi.....sekadar membuai rasa.

Antara lagu yang selalu diperdengarkan adalah nyanyian Saloma, Anita Sarawak, Jasni, M Daud Kilau, D J Dave  P Ramlee, R Ismail dan S Jibeng. Tajuk lagunya semua kita sudah maklum dan dihafal baik di kepala.

Sekali-sekala akan terdengar lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi baru, itu pun lagunya lagu lama juga. Biasalah, kalau tentang lagu raya dan lagu kahwin, kita akan mencari yang ada roh bangsa.


Namun ada satu lagu yang rasanya patut ditapis sebelum abang dj memainkannya. Lagu itu banyak versi nyanyiannya. namun yang kerap dimainkan nyanyian Nizam EYE dan Waheeda.

  



Lagu sedap, boleh terbuai dan liriknya pula menarik, bukan yang kotor. Namun si dj kenalah membuat sedikit kerja rumah. Ketahui latar belakang pasangan yang sedang bersanding itu. Kalau sudah berkepit ke sana sini berbulan-bulan malah bertahun-tahun sebelum berlangsung majlisnya, bertandang ke rumah bakal mertua sama taraf dengan datang ke rumah mertua, tidak usahlah lagu ini dimainkan.

Sebabnya? Telitikan semula lirik awalnya:

Kompang dipalu pengantin baru
Duduk bersanding tersipu malu
Kompang dipalu pengantin malu
Moga bahagia ke anak cucu

Kami doakan moga berkekalan
Selamat sejahtera hingga akhir zaman

Mempelai tersenyum manis
Air mawar direnjis-renjis
Bunga manggar indah berseri

Oh….. senyum tawa dan gembira
Sanak saudara semua oh indahnya

Merahnya inai di jari
Tanda kasih dah termateri
Ikatan raja sehari

Oh…. Hari yang dinanti-nanti
Sudahlah menjelma kini kekal dan abadi

Selamat pengantin baru
Moga kekal ke anak cucu
Selamat pengantin baru

Apakah mereka yang dalam kumpulan ini bakal tersipu malu.......? He he he..Fahamkah mereka akan maknanya........

Tolonglah ya encik dj.......

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails