Sabtu, 9 Jun 2012

Nasib Johan.....

 


Kampung kami tiada bekalan elektrik. Dengan demikian, televisyen tidak mudah ditonton. Ia barang mewah kerana mesti ada generator sebagai pelengkap.

Setiap bulan Ramadhan, surau Hj Dahari (sebenarnya Hj Azhari) di persimpangan antara Permatang Ibus, Hj Kg Jamal dan Kangkong, akan menyewa tv dan generator sepanjang majlis tilawah berlangsung. Ketika itu, tilawah dikenali sebagai Musabaqah. Peringkat kebangsaan dan antara bangsa akan diadakan berturutan.


Oleh kerana diadakan pada bulan Ramadhan, kami yang tinggal jauh akan berjalan kaki ke laman surau tersebut sebaik lepas berbuka puasa dan sembahyang Maghrib. Ketika sampai, orang sedang bertarawih di surau Hj Dahari [sudah biasa disebut begitu]. Kami tidak ikut serta. maklumlah kepenatan berjalan tadi, lagi pula ketika itu seseorang yang diamanahkan, telah siap memasang generator dan tv. Kami yang di peringkat kanak-kanak akan berada di bahagian depan. Menanti siaran langsung majlis musabaqah bermula.

Ketika siaran sebenar bermula, keadaan akan kian sesak. Semua mata melekat ke skrin tv hitam putih itu. Mendengar dan melihat seorang demi seorang qari dan qariah muncul memperdengarkan bacaan masing-masing. Kami bertepuk jika wakil Kedah atau Malaysia mengambil tempat. Pada bahagian tertentu, umpamanya fasohah pada ayat yang panjang, apalagi dengan lagu yang menarik, orang dewasa akan bertempik "Allahu Akbar" atau Allah Allah". Sesekali kekhusyukan itu diganggu oleh penjual kacang putih atau maruku, yang mencelah di antara penonton menjinjing jualan mereka.

Apabila acara ditangguhkan untuk malam berikutnya, kami akan berjalan pulang beramai-ramai. Sesetengahnya sedia untuk bersahur, bimbang tidak terjaga di awal pagi......

Besoknya, rutin malam berikutnya diulangi sehinggalah malam pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah - ketika ini jumlah penonton akan melimpah hingga ke jalan raya.Semuanya berdebar dan berharap agar wakil negara akan menjadi juara. Terkadang harapan itu bertukar menjadi kenyataan. Riuh-rendahlah suasana di laman surau Hj Dahari....

Kini, semua rumah memiliki seskurang-kurangnya sebuah peti tv. Tilawah berlangsung dalam suasana tenang.Penuh warna-warni.Ada terjemahan di skrin ketika sesuatu ayat diperdengarkan.Peserta pula datang dari seluruh pelosok dunia - hatta dari Russia dan China. Mutu bacaan peserta keseluruhannya semakin baik.

Di rumah anda, berapa orang yang akan marah jika saluran yang menyiarkan siaran langsung tilawah, bertukar menjadi saluran lain oleh kesilapan satu jari menekan butang alat kawalan tv?

Zaman telah berubah. Tidak ramai yang menunggu hingga habis bacaan peserta terakhir. Malah ada yang tidak tahu adanya acara tahunan itu.........

********************************************************************************

Antara bintang dalam musabaqah ketika itu, yang saya ingat, selain The Only Dato' Hj Ismail Hashim, adalah:

Hj Abdul Majid Awang [Malaysia]
Mohamad Taghi Morowat [Iran}
Hjh Nur Asiah Ismail [Indonesia]
Hjh Faridah Mat Saman [Malaysia]
Hjh Rogayah Sulong [Malaysia]
Hjh Rodziah Abdul Rahman [Malaysia]
Ahmad Al Tarabulsi [Kuwait]
Hj Abdul Ghani Abdullah [Malaysia]

Hjh Nur Asiah Ismail [Jamil] kemudiannya terkenal sebagai penasyid [menyanyi dan mencipta lagu]. Antara lagu nasyidnya yang terkenal adalah Panggilan Kaabah, Adikku Sayang, Ciptaan Tuhan, Petani serta Al Quran.

 ... : 1982 FIFA World Cup (Italy Team Squad
Kuwait di Espana '82

Paling menarik adalah tentang Ahmad AlTarabulsi. Beliau.pernah datang ke Malaysia dalam dua acara berbeza. Selain selaku qari, beliau pernah menyertai Pestabola Merdeka bersama pasukan Kuwait. Penjaga gol kelahiran Lubnan ini kemudiannya berpeluang muncul di Piala Dunia FIFA 1982!



*********************************************************************************

 

[Berakhir sudah majlis Tilawah AlQuran peringkat  kebangsaan. Johan kedua-dua kategori akan mewakili negara pada peringkat antara bangsa kelak - dalam bulan Sya'aban nanti.


Betapa sepinya kita menyambut juara tilawah berbanding juara Mentor minggu ini atau juara Versus minggu lepas......]

*Catatan ini saya dedikasikan kepada Encik Muhammad Annuar Ghazali (Kelantan) dan Puan Che Minah Che Awang (Wilayah Persekutuan) yang bakal mewakili Malaysia. Mereka johan kebangsaan tahun ini.


******************************************************************************


Di bawah ini, satu petikan blog seorang anak muda untuk renungan kita:

 

 Isnin, 10 Ogos 2009


Ke mana Pengganti Hj Ismail Hashim



Salam sume.Terlanjur skg ni time tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa,aku ada terdengar mak ayah aku borak pasai Ismail Hasim.Diorg ckp smpai skunk ni malaysia xda pengganti beliau.Aku xtahu sape Ismail Hashim,macam mana muke ke suara ke,padahal aku da tenet kt umah.Mcm mana ari ni aku dgr mak ayah aku borak,aku pun truss la cr kt youtube.Siot xde.....aduss mane nk cr ni.Aku pon gatai tgn la g kt google cr gambar ke,mp3 Ismail Hashim ke.Tupx3 aku dpt gmbar ni.Ayah aku kt,betul la ni la gmbar beliau.Dh dpt gmbar aku pun truss kan perjuangan tuk cr mp3 beliau.Cari punya cari,aku dpt la kat IMEEN.COM(http://www.imeem.com/fauzanibrahim/music/GcfLsD_Z/ismail-hashim-al-baqarah-30-39/) xsilap aku.PEHHHHH mmg dasyat la Ismail Hashim ni.Dia pnya stly lagu mmg merdu abis,dgn suara yg agak besar gitu aku dgr,PEHHH rasa mcm bergaung mcm mane tah susah nk ckp la.Pas 2,ayah aku da bersuara kt blakang aku,Ismail Hashim 8x dh menang tilawah ni.Aku dgr cm xcaye beb,8x.Aku da terpikir gak,apsal name beliau xde dlm guinness world book of records.Rare ni nak dpt smpai 8x menang ni..Geng tok arab pun xbleh cr makan ni...Klu la korang terbuka tenet la,try la cr mp3 Ismail Hashim.Mmg best,lain dari yg lain..Malaysia book of records xsure la ada ke x..mybe ada kot..k..assalamualaikum

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails