Selasa, 26 Jun 2012

Adam Salleh Ghani: Tontonlah TV3!



Pagi itu MHI TV3 buat hal lagi. Ketidaktelitian atau ketidaktahuan?

Satu slotnya menyelitkan berita pemberian bantuan kewangan kepada artis veteran. Antara penerima adalah Dato' Yahya Sulong dan Karim Latiff. Penerima, tetapi tidak dapat hadir pada majlis anjuran sebuah syarikat kosmetik dan kesihatan bumiputera itu, adalah Seniwati Azean Irdawaty dan Latifah Omar.

Yahya Sulong adalah artis veteran yang cukup saya senangi.Paling diingati lakonannya dalam filem DaDiDu dan Talak. Pada usia tuanya, pernah di dalam satu rancangan TV1 yang dihoskan oleh Samiha Omar, saya melihat kerukunan hidupnya bersama Datin Alisah Ali. Perkahwinan yang menjangkau lima dekad itu kelihatan cukup harmoni. Jenakanya pada zaman lakunya juga cukup saya gemari. Bekas polis tahun 50-an itu juga  berbakat bermain drum. Saya pernah terbaca bahawa abangnya turut berbakat sebagai pelawak. Malangnya beliau kehilangan suara sejak muda. Abangnya pernah muncul dalam sitcom Santan Berlada pada era 80-an dulu di RTM. Menurut Yahya, jika abangnya tidak mengalami masalah pertuturan, dia mungkin lebih baik jenakanya dari Yahya sendiri. Kini beliau sendiri terlantar di rumah.


Seniman Karim Latiff pula cukup versatile lakonannya. Selain mengingatinya sebagai menantu Tompel dalam filem Ahmad Albab, saya cukup mengingati lakonan berkesannya dalam drama terbitan RTM pada tahun 70-an dan 80-an. Antaranya sebuah drama tulisan Jaafar Khan (Dato Johan Jaafar) yang menggandingkannya dengan Faezah Noor. Beliau memegang watak suami yang baran. Keberkesanan lakonannya membuatkan saya membencinya ketika itu! Kini beliau juga terlantar dan hilang penglihatan.

Seniwati Azean Irdawaty Yusoff adalah primadona layar kaca dan perak sejak era 70-an. Siapa yang boleh lupa dialog spontannya apabila diberikan anugerah dahulu: "Lihatlah dunia......!"  Pada saya, beliaulah artis pertama yang berani berambut perang pada zaman kemuncaknya. Saya terserempak sendiri wajahnya di bawah rambut berwarna itu ketika beliau melintasi Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, pada satu tengah hari. Ketika itu dia cukup popular berpasangan dengan Ahmad Tarmimi Serigar. Kini Kak Yan kita itu juga terlantar dan khabarnya tidak lagi kuat berdiri dan berjalan akibat barah payudara yang dideritainya. Rawatan kimoterapi untuknya turut meragut keceriaan pada wajahnya.


Seniwati Latifah Omar sejak lama dikenali dalam filem hitam putih. Lakonannya yang dalam pelbagai watak filem sentiasa hidup. Jelitawan era 60-an ini mudah dikenal dengan tahi lalat di penjuru bibirnya. Antara filemnya yang saya senangi adalah Bawang Puteh Bawang Merah, Chuchu Dato' Merah, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Lanchang Kuning. Beliau kelihatan secocok sekali apabila digandingkan dengan Nordin Ahmad, terutamanya dalam filem purbawara. Hanya sekali beliau sempat digandingkan bersama Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, menerusi filem Putus Sudah Kaseh Sayang.

Demikian yang boleh saya catat segera untuk keempat-empat bintang kita itu. Demikian besar nama mereka. Malangnya, untuk acara yang dihadiri artis lama dan baru itu, wartawan TV3 telah tidak teliti. Ketika ditunjukkan wajah artis yang tidak hadir kerana sebab-sebab kesihatan, pada sorotan wajah bertahi lalat milik Latifah Omar, disebutkan Latifah Ibrahim!

Ada tiga kemungkinan keana ini berlaku:
1. Wartawan keliru sebab turut berada di atas pentas adalah Dato' Khadijah Ibrahim dan kakaknya, Sofia Ibrahim.

2. Apabila disebut Latif...., dia teringat arwah Latif Ibrahim! Ini biasa, kerana ada pengulas sukan menyebut Zami Mohd Nor [ketika itu bermain untuk NS] sebagai Zami Ismail [Pak Uda], atau seorang dj menyebut Jaafar O [penyanyi era 60-an] sebagai Jaafar Onn!

3. Wartawan itu memang tidak peduli!

Maka dua hari juga sebelum mencatat ini untuk menunggu adakah pembetulan dari pihak TV3 dan paling dinanti adakah Harian Metro akan menyiarkannya cerita ini. Sekali lagi, saya pasti Adam Salleh Ghani tidak menonton TV3. Kalau tidak tentu sudah diarahnya pemberita Harian Metro menulis kesilapan itu, sebagaimana cepatnya keluar cerita TV1 tersilap menulis nama menteri dahulu.....Rujuk di sini.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails