Rabu, 28 Mac 2012

Dari Fana Ke Abadi .......




Abang Dolah dipanggil AD atau Eddy. Ahmad Dassila juga Eddy. Adik Deris juga dipanggil Eddy. Demikian popularnya. Anda pasti kenal sekurang-kurangnya seorang yang dipanggil Eddy atau AD di kalangan kejiranan atau sekitar - walau apa pun nama asal pemberian ayah bonda.

Sama seperti kita ada Bob atau Boy atau Roy masing-masing.

Kemudian ada pula AB @ Ebby @ Abby. Tak kiralah nama asalnya Abu Bakar, Ahmad Busu, Adik Bongsu dan seumpamanya.

Saya, seperti sebahagian anda, kenal dua orang bernama Abby. Satu nama asalnya ArBaiyah dan satu lagi hABsah. Kalaulah panggilan AB itu kerana ada abjad A dan B pada nama mereka, susahlah kita. Terlalu ramai yang kita kena panggil AB atau Abby. Semua yang bernama bermula dengan ABdul saja, sahihlah. Ini diikuti oleh yang lain - ShahABudin, NABil, ABrahah, AlbAB, ZainAB dan seterusnya.....

Lupakan sementara.

Habsah anak Pak Omar menggunakan nama komersil Abby Fana. Manakala Arbaiyah Abdul Manan mahu dikenali sebagai Abby Abadi.

Habsah pernah mengendalikan bual bicara Malaysia Hari Ini (Tv3) dengan rekod panjang sebagai anggota penyiaran dari RTM dan kini Sinar FM. Paling saya ingati kemunculannya berbicara dengan 2 ustaz pada waktu berbeza. Satu tentang aurat sedang beliau tidak bertudung, manakala satu lagi dengan ustaz Mohamad Abdullah yang bercerita kembaranya di bumi Rusia - tentang beberapa rakyat bekas negara komunis yang belajar Bahasa Melayu dan berbangga menukar nama kepada kemelayuan. Ketika itu saya berdoa, moga satu hari Abby Fana akan bertudung....

Doa saya dan anda dikabulkan.

Arbaiyah pula banyak yang saya ikuti di akhbar dan tv. Dari menafikan ala politikus, bertunang dengan Norman kepada keberantakan rumah tangga mereka. Paling terkenang adalah serangannya di lokasi Gerak Khas. Kemudian keintiman dan akhirnya kerenggangannya bersama aktor Zul Ariffin. Ketika mendengar dan membaca ulasannya tentang hubungan itu saya berdoa juga agar satu hari Abby yang ini pula bakal bertudung.

Alhamdulillah, sekembali dari mengerjakan umrah dua hari lalu dia diberi hidayah itu...
Sekali lagi, doa saya dan anda terkabul.

Benarlah sesudah fana barulah abadi.......

Mari kita berdoa lagi. Secara peribadi saya mengimpikan semua artis/seleberiti wanita Islam kita berhijrah. Namun bukan boleh berlaku serentak. Buat permulaan saya doakan untuk Datuk Sheila Majid dan Cheryl Samad.

Datuk Siti? Dia dah pakai pra-tudung.............
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails