Kematian Dirang (Nurul Nadirah binti Abdullah) cukup mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Media massa memaparkan secara terperinci detik kehilangan dan penemuan mayat arwah. Sebuah akhbar secara kreatif menukilkan perbualan antara Dirang dan ibunya - hingga ada teman yang mengakui menitik air mata ketika membacanya.
Setelah mayat arwah dikebumikan siangnya(14 Mac 2012), malam itu saya menonton Buletin Utama TV3. Berita pertama adalah tentang tuntutan mayat kanak-kanak malang itu di hospital. Dengan intonasi sayu pembaca berita menyebut jenazah disembahyangkan di Masjid Humajirin ......
Saya tahu pembaca berita itu tersasul. Maksud skrip berita ialah Masjid Muhajirin. Saya tahu manusia biasa melakukan kesalahan. Namun selepas 24 jam, tiada permohonan maaf atau setidaknya pembetulan oleh stesen tv berkenaan.
Ini bukan kali pertama saya mengesan hal demikian. Izwan Azir pernah menyebut pelaburan bagi berita pelacuran pada satu edisi Buletin 1:30. Seorang lagi pernah menyebut kapal mewah terbalik kerana terlanggar tebing pasir sedangkan yang sebetulnya ialah beting pasir.
Kerana penulis pojok tidak menonton TV3, tiadalah komen tentang itu. Dan bila seorang pembaca berita RTM tidak menyebut Haiti dengan betul, beliau dan majikannya disindir....
Kalaulah Adam Salleh Ghani masih menulis pojok, tentu hal ini menjadi kupasannya.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan