Khamis, 15 Mac 2012

Baling Kasut


Tak tulis bab baling kasut? Soalan dari 3 pembaca setia blog.

Baiklah.

Kami bahagikan kelompok kami kepada dua kumpulan. Campur lelaki perempuan dapatlah 5 orang satu kumpulan. Ketua masing-masing akan buat 0ne-two-som untuk mengetahui siapa yang akan mula membaling.

Satu garisan dibuat di atas tanah sebagai tempat pembaling. Pihak lawan akan berada sekitar 4 meter dari garisan itu. Tiga belah kasut kami yang sama saiz akan mereka dirikan menjadi tugu 3 dimensi!

Seorang pembaling akan membaling bebola yang biasanya dibuat dari gumpalan kertas berikat getah sebanyak tiga kali hingga tugu tadi berserakan. Peranan pihak lawan adalah mendapatkan bebola sebesar penumbuk budak itu dan membaling ke arah badan pihak pembaling. Mereka (pembaling) akan cuba untuk mendirikan semula tugu kasut itu sambil berhati-hati agar tidak terkena balingan bebola dari pihak lawan.

Sekiranya berjaya mendirikan tugu dan tidak seorang pun terkena balingan bebola, pasukan itu dikira mendapat satu mata. Jika terkena pula badan salah seorang ahli kumpulan, pihak lawan akan bertukar menjadi pembaling. Begitulah seterusnya sehinggalah terdengar panggilan dari penjaga masa - emak kami memanggil pulang kerana hari sudah senja.

Mata kemenangan akan dikira berdasarkan keupayaan setiap pasukan mendirikan tugu. Kadang-kala seri. 11-11. Atau menang 10-9 atau 9- 5 atau 15-7. Semuanya bersandarkan kepada kekuatan sesuatu pasukan atau masa permainan. Kadang kala pada hari cuti, mata di sebelah pagi dicampurkan dengan mata di sebelah petang. Angkanya mungkin mencecah 30 ke 40.

Seronoknya ketika mengelak dari terkena balingan, bola akan pergi semakin jauh. Keriuhan tidak dapat dituliskan.

Satu hal yang mungkin mempercepatkan tamatnya permainan ialah pertengkaran antara kena dan tak kena balingan. Jika keadaan tidak terkawal, ketua akan memutuskan untuk walk over sambil mengejek pihak lawan.

Esoknya kami main semula seperti biasa!

Permainan ini juga dikenali sebagai Tuju Kasut.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails