Isnin, 30 April 2012

Sohaimi Meor Hassan: Selamat Bersara!

Imej yang kekal di minda saya

Hari ini, Sohaimi Meor Hassan, akan membuat penampilan terakhir di atas pentas nyanyian.Tempatnya di Paradise Resort, Pulau Pinang. Ceritanya di sini

Besok, masuk saja bulan Mei, dengan isterinya juga  bersara dalam bulan tersebut, Sohaimi boleh memfokuskan untuk lebih dekat dengan Allah, seperti niatnya.

Saya sedikit pun tidak merasa kehilangan malah gembira. Rujuk sini Beliau akan terus menyanyi di jiwa saya dengan lagu-lagu yang diciptanya. Lagu solonya - bukan kolaborasinya bersama Ana, Altimet [termasuk lagu Kalau Hisap Dadah], Erra ataupun  Ziana (lagu Misteri Cinta versi baru) mahupun Jamal  (Serunai Malam).

Beliau kekal di minda dengan rambut tebal berketak. Dengan suara jantan. Dengan lirik yang begitu dekat dengan diri dan kehidupan.

Saya tidak akan berkata "Negara kehilangan seorang .................". Maaf, saya tidak akan mengulangi kalimat klise itu. Sejak pemergian P Ramlee lagi saya sudah mendengarnya.

Lagi pula, Sohaimi hanya berhenti menyanyi. Rakaman suaranya akan kekal begitu. Lebih 30 buah lagu ciptaannya akan kekal dalam khazanah minda saya.

Semoga persaraan ini bukannya gimik. Seperti kisah seorang pelakon yang mengumumkan hendak bersara dari dunia lakonan - lalu menjadikan dirinya sibuk untuk menunaikan kehendak produser dan penonton drama Melayu ingin melihat lakonan terakhirnya - entah yang mana satu! Atau seperti sekumpulan rock yang sudah entah berapa kali mengadakan sidang akhbar menyatakan pembubaran - hingga pada peringkat simbolik memasukkan CD lagu ke dalam satu kotak yang ditutup rapi, tanda tutup buku. Dan kemudiannya, hingga kini, masih muncul bersama untuk mengubat kerinduan peminat!

Semoga persaraan Sohaimi ini kekal, walaupun nantinya ada permintaan peminat yang rindu......

Ini hari terakhir beliau di pentas. Selepas ini kita ubati kerinduan dengan mendengar cd lagunya.

Selamat berehat untuk Sohaimi. Juga isterinya, Cikgu Ros. Kepada Syaida Syarafina, Syaza Sorfina dan Syaima Sabila, terimalah kembali ayah anda sepenuhnya setelah lebih 3 dekad berkongsi dengan kami. Untuk Kathy, mari kita hormati niat murni Sohaimi yang ingin menjadi muslim sejati.

Ketika mencatat ini saya mendengar lagu Sandarkan Resahmu Di Bahuku dan Ros.



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 28 April 2012

Amarah 3: "Putuskan Hubungan Diplomatik Dengan Malaysia!"





Demikian seruan  Ketua Dewan Direktur Sabang-Merauke Circle (SMC), Syahganda Nainggolan.

Ini berikutan kematian 3 warga Indonesia di tangan polis Malaysia.

Kes itu masih dalam siasatan. Namun Syahganda, seperti juga sekelumit rakyat Malaysia, bijak mengambil ruang ketika kedudukan perkara masih belum jelas di dalam sebarang laporan berkait.

Amarahnya dihamburkan kepada Kompas.com

Siapa Syahganda Nainggolan? Seutuh mana Sabang-Merauke Circle (SMC) itu?

Demikianlah. Peluang digunakan sebaiknya untuk menonjolkan diri. Ramai anak bangsa di Malaysia juga begitu. Muncul dengan kenyataan provokatif - tentang apa sahaja- asalkan nama dan 'persatuan' yang diwakili tertonjol. Soal kesan dari kenyataan mereka tidak pernah difikirkan.

Sekali lagi, siapa Syahganda yang memperlekeh Presiden sendiri dalam memberi pendapat?

Dalam banyak komen pro-kontra tentang saranannya itu, di hujung laporan tersebut, saya tertarik dengan catatan ini [tentunya oleh warga Indonesia]:


Sabtu, 28 April 2012 | 11:52 WIB
br dengar ada Sabang-Merauke Circle
Maksudnya, ' baru dengar ada Sabang-Merauke Circle'!
Mafhumnya, SMC itu tidaklah terkenal. Lalu, bayangkan sehebat mana pula Pak Syahganda itu?!
Namun dia berani. Berani menunjukkan amarahnya......

Tidak terpijak maruah, sesiapa juga yang mampu mengawal amarahnya. Mujurlah insan spesies Syahganda tidaklah ramai. Barangkali kalau dicampur dengan rakyat Malaysia yang sekepala dengannya tidaklah mungkin memenuhi Istora Bung Karno........


Mujurlah tiada rakyat Sepanyol yang merusuh memarahi warga mereka Fernando Torres yang membantu Chelsea menundukkan Barca......

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

RM1 Juta Untuk 5 Gram Emas.


Sukan Olimpik 2012 akan bermula 90 hari lagi.

Ketika ramai tidak sabar menantikan adakah akan muncul pemenang pingat emas pertama dari Malaysia, marilah kita meneliti sedikit perihal pingat-pingat itu sendiri.

Reka bentuknya dihasilkan oleh David Watkins, pakar rekabentuk British.

Pingat-pingat Sukan Olimpik London 2012 adalah seberat antara 375-400g, setebal 7mm dan berdiameter 85mm.

Pingat emas dibuat daripada 92.5% perak dan 1.34% emas, selebihnya tembaga.

Pingat perak dibuat daripada 92.5% perak, selebihnya tembaga

Pingat gangsa pula terdiri daripada 97.0% tembaga, 2.5% zink dan 0.5% timah.

Bahan-bahan penting untuk medal-medal itu dibekalkan oleh salah satu penaja London 2012 iaitu Rio Tinto diperoleh dari lombongnya di Lombong Tembaga Kennecott Utah, berhampiran Salt Lake City di Amerika Syarikat, serta projek Oyu Tolgoi di Mongolia.

Bagi sejumlah kecil bahan bagi pembuatan pingat gangsa, zink diperolehi daripada lombong di Australia serta hasil kitaran semula, manakala timah berasal dari lombong di Cornwall.


Berdasarkan kandungan logam yang terdapat setiap pingat di Sukan Olimpik, seperti yang disahkah oleh The London 2012 Organising Committee (LOCOG), marilah sekejap kita membuat matematik mudah.
Kalau berat pingat itu adalah 375g, maka pingat emas akan terdiri daripada 5.025g emas tulen.
Jika ada atlit Malaysia berjaya memperoleh pingat emas pertama untuk negara, serta merujuk janji sebuah syarikat menyumbangkan hadiah tunai RM1 juta, maka harga emas seberat sekitar 5g itu adalah paling mahal. Hampir RM200k bagi setiap gram.  

Itu belum termasuk pelbagai insentif dari pihak kerajaan dan negara. Makin tinggilah harga setiap gram emas tersebut.

Siapakah atlit itu?
Mampukah kita mencatat sejarah memasuki kelab negara penerima pingat emas Sukan Olimpik?
Ataukah kita harus bermimpi lagi untuk empat tahun berikutnya.......?

Mari kita menghitung hari! Tak kisahlah menaik atau menurun..........


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 27 April 2012


Strawberi dan Blueberi untuk Ketajaman Otak



Buah blueberi dan strawberi patut menjadi pilihan terbaik untuk makanan otak anda. Sebuah kajian menunjukkan bahawa makanan yang mengandungi kadar flavonoid tinggi (strawberi, blueberi dan produk beri lainnya) dapat melambatkan penurunan fungsi kognitif otak.

Kajian yang diterbitkan  jurnal Annals of Neurology menemukan bahawa wanita yang makan satu hidangan atau lebih blueberi atau dua hidangan atau lebih strawberi seminggu boleh melambatkan penuaan kognitif pada otak hingga 2.5 tahun, berbanding dengan mereka yang makan sedikit atau tidak makan produk beri sama sekali.

Dalam penemuannya, pengkaji melibatkan 16,010 wanita yang menyertai Nurse Health Study. Dalam kajiannya, mereka telah mencatat pola makan semua wanita sejak tahun 1980, dan mengukur fungsi mental peserta pada usia 70 tahun atau lebih dan yang tidak mengidap stroke antara tahun 1995 dan 2001.

Pengkaji mengukur fungsi kognitif peserta menerusi perbualan telefon yang dilakukan dalam jangka waktu 2 tahun. Kemudian peserta diminta untuk menjalani ujian memori seperti mengulang setiap percakapan yang baru didengar atau mengingat kata-kata atau angka-angka. Hasilnya menunjukkan bahawa mereka yang makan lebih banyak buah beri memiliki otak lebih muda 2.5 tahun daripada mereka yang tidak makan buah beri.

Para pengkaji menyimpulkan bahwa kandungan tinggi flavonoid, bahan yang ditemui dalam tanaman yang memiliki antioksidan kuat dan anti-inflamasi, terutama dari beri, berfungsi dalam mencegah penurunan fungsi kognitif pada orang dewasa yang lebih tua.

Mereka menjelaskan, stress dan peradangan (inflamasi), mempengaruhi penurunan fungsi kognitif, namun dengan meningkatkan kandungan flavonoid hal itu dapat dikawal.

"Kami memberikan bukti epidemiologi pertama bahawa buah beri dapat memperlambat perkembangan penurunan kognitif pada wanita berusia lanjut," kata ketua pengkaji, Dr Elizabeth Devore di Brigham and Women Hospital dan Harvard Medical School di Boston.

"Penemuan kami memiliki implikasi yang signifikan terhadap kesihatan masyarakat agar dapat meningkatkan penggunaan beri sebagai modifikasi diet yang cukup sederhana dalam memberikan perlindungan fungsi kognisi otak pada orang dewasa yang lebih tua," tambahnya

Meskipun kesan penggunaan beri dilihat sangat membantu pembaikan memori, namun mereka mengatakan bahawa ada makanan lain yang mengandung jumlah tinggi flavonoid seperti misalnya teh, bawang dan anggur merah.

Sumber: Medicaldaily.com  

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Pek Nga Di Depan Pizza....


Awal pagi ini, saya bersenam dengan berjalan-jalan meninjau orang berjualan di sekitar Pasar Kampung Berjaya, Alor Setar. Tempat ini, pada hari Jumaat, memang terkenal di Alor Setar seperti Rope Walk, Pulau Pinang. Pelbagai barangan lama dan terpakai dipamer untuk jualan.

Setelah otot mata pun turut kepenatan bersenam, sambil membimbit sedozen majalah Readers Digest lama, saya beransur untuk pulang. Dalam pergerakan laluan pulang yang perlahan, di satu gerai makanan saya terpandang perkataan Pek Nga.

Tertarik, saya menghampiri puan yang berniaga itu. "Ya, bang. Makan ka bungkus? Cicah gula ka....?" Belum sempat saya mendengar dia menghabiskan ayat tanyanya, saya menjawab, "Gula! Makan!"

Pek nga. Tidak pasti sama ada ejaan di gerai itu tepat atau tidak. Sepatah atau dua patah perkataan. Yang saya tahu sejak asal, pek nga adalah kependekan perkataan 'tempek dalam belanga'. Ramuannya ringkas dan murah. Cerita bab resipi dan nostalgianya adalah dalam blog dengan entri tunggalnya di sini.dan enrti terbaru tentang pek nga ada di sini [Saya terus meminta tolong Google sebaik sampai di rumah!]

Emak selalu menyediakan pek nga kerana ayah amat menggemarinya. Apa lagi jika ada gulai kering (gulai sehari dahulu atau sebelumnya yang dipanaskan semula). Sambil berbual, ayah akan mengunyah pek nga yang dicicah dengan gulai atau paling tidak dengan gula. Biasanya emak akan membuat banyak keping untuk kami sekeluarga.sebab setiap orang tidak akan berhenti mengunyah selepas kepingan pertama...................

Siap!

Seorang anak sekolah rendah menghantar pinggan berisi sekeping pek nga ke meja saya. Aroma kelapa dalam kepanasan tepung pek nga menerjah deria bau saya... dan jiran semeja. Selesai doa makan yang pendek itu, saya mengoyak hujung pek nga, membenamkan ke tompokan gula yang diletakkan di tengah-tengah pek nga, lalu menolak masuk ke mulut.

Tiga empat kali kunyah, saya berhenti, mencari sesuatu yang telah saya tinggalkan hampir suku abad - rasa pek nga emak. Walaupun, pek nga pagi ini telah dikomersialkan - kelapa dalam adunan tidak sebanyak emak gunakan - rasanya tidak jauh berbeza. Cuma lain kali saya akan minta lebih digaringkan....

Begitulah. Pagi ini bermodalkan seringgit setengah, saya dibawa ke era di mana ayam goreng Amerika masih terlalu jauh dari kotak fikir kanak-kanak. Sehingga cebisan terakhir, saya seolah nampak ayah mengunyah pek nga sambil menghirup kopi o panas. Emak pula memasukkan kepingan tambahan yang baru diangkat dari belanga ke pinggan ayah. Asap nipis menerawang.........

Bertentangan dengan gerai itu, sedikit ke kanan, di hujung bangunan, saya nampak premis KFC dan Pizza Hut mula disimbah terik matahari pagi...........


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jangan Tipu Orang Kampung!

Album Kong Kali Kong

Demokrasi mekar di Malaysia. Itu hakikat. Anda boleh menerima atau menolak sesiapa atau apa. Atau anda boleh berkata [mengata?] tentang apa dan siapa.

Pilihanraya Umum ke-13 hanya di hujung selekoh. Akhbar, blog, laman sosial dan ceramah konvensional makin galak memarakkan keadaan. Dengar, tonton, baca dan fikir. Terserah kepada anda.

Dalam suasana sekarang, saya terkenang arwah Abang Mokhtar (meninggal pada bulan Mac 2009), pencipta lagu dan vokalis kumpulan The Goodman Brothers.

[Bagi saya dia seniman rakyat, cuma tidak begitu diangkat. Dengar dan hayati lagu- lagunya. Selain lagu bertema kekecewaan  [biasalah sebagai memenuhi selera dan jiwa orang Melayu], turut diselitkan lagu yang liriknya melontarkan kritikan terhadap masyarakat umum.


Dengarlah lagu Semua Naik, Sakit Kencing Manis, Semua Duit, Ada Tiang Tiada Lampu, Kerja Berat, Budi Bahasa, Anak Orang, Bakti dan Jasa, Mertua dan Menantu, Kita Kerja Angkat Sampah, dan Hey, Hey, Hey, Johor!]

Liriknya bersahaja tetapi berbekas.

Namun paling berbekas kepada saya ialah lagu Kong Kali Kong. Lebih-lebih lagi dalam suasana mula membahang menghadapi PRU.

Pelbagai pihak akan datang kepada anda. Baik pemerintah dan lawannya. Dalam keadaan sekarang, pemerintah di sesetengah tempat adalah pembangkang di tempat lain. Jadi bersainglah mereka. Bersaing jugalah orang harapan mereka. Bersaing lagi orang kepercayaan kepada orang harapan mereka. Bersaing pula pengikut-pengikut orang kepercayaan kepada orang harapan mereka...........

Muncullah saudagar-saudagar janji dan penjaja-penjaja mimpi.

Pesan untuk kita dan mereka:  Berhati-hatilah.

Kong kong kali kong
sana bidik sana bohong
kong kong kali kong
jangan tipu orang kampung 

Jagalah jaga paklong dan maklong
sawah kebun nanti dilelong
kong kong kali kong

Ada yang berlagak jadi tauke besar
harta orang habis disambar
ada yang berlagak lebih berani
konon orang kanan menteri 
wang orang dibawa lari
busuklah nama pembesar negeri

Kong kong kali kong
sana bidik sana bohong
kong kong kali kong
Anak gadis banyak dilelong

jagalah jaga pakcik dan makcik
harta habis anak diculik
kong kong kali kong

Terkait juga lagu Pi Mai Pi Mai Tang Tu nyanyian arwah Nasir P Ramlee [ meninggal pada Disember 2008] di bait:

Duduk kedai kopi cerita pasai negeri
semua dia reti lebih dari menteri
duduk darilah pagi petang tak pulang lagi
rezeki habislah lari ...... rugi sendiri

Melayu, bangsaku......


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 26 April 2012

Rachman Itu Rahman

Pernah mendengar nama Jenny/Yenny Rachman? Dia pelakon popular Indonesia tahun 80-an. Berderet filem dibintanginya. Pernah dihimpit kontroversi juga.

Pernah pula menonton filem-filem Ketika Cinta Bertasbih dan sejalur dengannya? Pengarahnya bernama Chaerul Umam.

Pernah mendengar lagu Gadis Melayu sama ada dendangan Jamal Abdillah atau Mawi atau lebih awal Othman Hamzah? Ia asalnya dirakamkan oleh Achmad Albar, penyanyi kumpulan Godbless yang terkenal dengan rambut kribo,  yang anaknya Fachri Albar, si pelakon  drama Malin Kundang.Achmad juga penyanyi asal lagu Zakia[h], dipopularkan di Singapura dan Malaysia oleh Sweet Charity.

Peminat sastera, terutama puisi tentu pernah mendengar nama Chairil Anwar [1922 - 1949], apalagi puisi terkenalnya, Aku

                                                    Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu!

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari

Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi!

Chairil Anwar           Umar Junus


Ada pula Umar Junus [1934 - 2010], penulis ilmiah kesusasteraan asal Indonesia yang lama di Malaysia sebagai pensyarah Universiti Malaya. Lahir di Silungkang, Sumatera Barat dan meninggal di Pusat Perubatan Universiti Malaya.





Pernah pula mengenali  Sapardi Djoko Damono.dengan puisi-puisinya yang dikagumi khalayak sastera di seluruh Nusantara. Sebuah puisinya ialah

AKU INGIN

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
dengan kata yang tak sempat diucapkan
kayu kepada api yang menjadikannya abu

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
dengan isyarat yang tak sempat disampaikan
awan kepada hujan yang menjadikannya tiada



Johan Wahjudi bersama Tjun Tjun
Bagi peminat badminton, tentu pernah menyimpan rekod kemunculan pasangan Tjun Tjun dan Johan Wahjudi memenangi kejohanan All England 6 kali antara tahun 1974-1980, selain membantu negara mereka mengungguli Piala Thomas 1973, 1976 dan 1979. Sahlah pada era tersebut, pasangan ini adalah dalam kedudukan tertinggi di dunia.

Demikian  beberapa tokoh di bidang masing-masing kelahiran Indonesia, yang lama menjadi jajahan Belanda.

Setelah persetujuan bersama penggunaan ejaan baru Bahasa Malaysia-Indonesia pada awal 1970an, banyak ejaan masing-masing yang ditukar. Kalau mereka dengan ejaan ala Belanda, kita pula dengan Inggeris.

[Sekadar ingatan:   Di Malaysia  dulu  baca ditulis bacha syarat dieja sharat manakala IsnindiejaIthnin/Ithnain........]

Di Indonesia pula, baca asalnya batja
                            rahmat aslinya rachmat
                            sayang asalnya sajang
                            hanya dari hanja
                            jangan aslinya djangan 
                            dulu malah dieja doeloe!


Maka mengikut sebutan biasa, tokoh-tokoh yang saya pilih di atas bernama Yenny Rahman, Khairul Umam, Ahmad dan anaknya Fahri Albar, Khairil Anwar, Umar Yunus, Sapardi Joko Damono, Cun Cun serta Yohan Wahyudi.


Arwah Umar Junus khabarnya pernah marah disebut Junus sedangkan sepatutnya berbunyi Yunus. Bagi yang tidak biasa dengan Tjun Tjun, sila rujuk tokoh Cut Nyak Dhien.[Filem tentangnya berjodol Tjoet Nja' Dhien dengan tokoh itu diserahkan kepada Christine Hakim] Johan Wahjudi pula sila rujuk sebutan kita bagi legenda bolasepak Belanda Johan Cruyff.
                                                           
Demikianlah.

Kita di Malaysia, ada melibatkan nama yang sudah tercatat di rekod Jabatan Pendaftaran dan tentulah dikekalkan ejaannya. Contohnya Fadzil/Fadzilah, Harith, Che Amah, Mahathir/Mahadzir, 'Aishah dan Othman atau Yaacob.

Namun sebutan tetap serupa.

Moechtar Awang, seorang penyair, tetap dipanggil Mokhtar. Bachtiar Djamily disebut Bakhtiar Jamili.

Ingat pasangan Rexy Mainaky yang menjuarai acara badminton di seluruh dunia? Ya, Ricky Subagja. Tetapi sebutannya Subagia/Subagya.

Peliklah jika anda bernama Rahman mahu dieja Rachman dan disebut Racman............sedangkan Rachmat Kartolo [1938-2001] pelakon dan penyanyi  Indonesia, sejak dulu disebut Rahmat, bukan Racmat......

Kenali sejarah, terjumpalah punca perkara.

                            
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Messi, Memang Ronaldo Setarafmu!


Real gagal ke final.

Meski menang 2 - 1 ke atas Bayern Munich, ia sekadar menyamakan agregat. Tiada juga kelebihan gol di tempat lawan. Akibatnya, laluan ke Allianz Arena dibuka dengan tendangan penalti.

Casillas
Tertulis Bayern seolah bermain di Bundesliga pada final nanti, di padang mereka sendiri menentang Chelsea. Iker Casillas, penjaga gol Barca, menyatakan mereka kalah dalam permainan loteri.......

Ronaldo, Kaka dan Sergio Ramos tidak berjaya meletakkan bola ke dalam gol. Dengarlah nanti bagaimana Mou mengaum mencipta alasan kenapa dia tidak mengucapkan tahniah kepada pengurus kelab dari Jerman itu.

Dua puluh empat jam sebelumnya, Messi gagal memanfaatkan hadiah penalti. Ronaldo pula, meski berjaya melakukan dalam perlawanan sebenar, juga gagal ketika saat penentuan.

Demikianlah.

Kalau hari ini di liga kampung anda, ada rakan gagal menjaringkan sepakan penalti, janganlah mencemuh. Mereka setaraf sekelompok pemain terbaik dunia....

Messi
CR7
Maka Messi mungkin berkata kepada Ronaldo, "Kau juga, CR?" dalam nada ucapan Julio Caesar kepada Brutus, apabila diketahui Brutus turut mendendaminya, "Et tu, Brutus?"!

Benar, ada frasa yang berulang disebut: bola itu bundar!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Pak Pandir, Di Manakah Dikau?


Ketika mual membaca dan mendengar  komen beberapa orang pandir seni mempertahankan lirik lagu Bawaku Pergi, saya  teringat Pak Pandir, penyanyi yang asalnya seorang pemain belakang tabir syarikat rakaman. Azmi, nama asalnya, terus meledak apabila muncul dengan album pertama yang mengandungi lagu  Yang Remeh-Temeh.

Berkaca mata, bercelana panjang, bersamping kain pelikat serta bertanda nama Pak Pandir di kiri baju; itulah corak penampilan pilihannya. Beliau membawa lagu yang liriknya penuh berkias dan menyimpang sedikit dari aliran semasa. Album terbitan EMI pada tahun 1982 itu memuatkan sepuluh lagu [ditambah sebuah lagu instrumental dari salah satu lagunya itu - Wasiat]:

  1. Yang remeh-temeh
  2. Sarat seorang suri
  3. Subsidi
  4. Karat
  5. Wasiat
  6. Di kancah kerinduan
  7. Kau campak cintaku
  8. Mencari sekelumit ketawa
  9. Andirku
  10. Menunggu lamaran
Namun yang paling popular adalah Yang remeh-temeh. Dalam lembut, sindirannya tajam menikam. Meneliti setiap baris liriknya, sesiapa juga akan mengakui kebenaran hakikat sekeliling atau tentang diri sendiri! Mengangguk dalam hati......

Lagu seperti inilah yang diperlukan. Membuatkan kita berfikir tentang diri, masyarakat dan negara sekali gus. Bukan berfikir bagaimana untuk melarikan anak orang atau bagaimana mahu dilarikan!

Kepada sesiapa yang turut mual, dengar dan hayati lagu ini.

Yang Remeh-Temeh

Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang

Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu

Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong
Suruh angguk-angguk
Suruh geleng-geleng

Oh puji lah aku
Ampulah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku

Di manakah Pak Pandir kini? Dia pernah muncul dengan album kedua yang mengandungi lagu Yang Ramah-Tamah, namun gagal mengulangi kejayaan album sulung. [Biasalah, kalau berjaya lagu atau filem atau novel, akan adalah sekuelnya... Nasiblah, kalau gagal]

Atau adakah lagi Pak Pandir lain untuk benar-benar memartabatkan seni?

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 25 April 2012

"Mes que un club"



Catalan terpaksa terus menangis!

Beberapa hari selepas tunduk kepada musuh senegara, Real Madrid, episod duka berterusan di Nou Camp.

Setelah mendahului dua gol hingga minit terakhir babak pertama, mereka tunduk kepada hanya dua peluang yang diperolehi dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Chelsea.

Kegembiraan penyokong selepas menyaksikan jaringan oleh Busquets dan Iniesta tidak bertahan lama. Menguasai 73% permainan, menentang 10 pemain sepanjang 53 minit, barisan bintang terbaik Barca terpaksa menelan hakikat kempunan beraksi di Allianz Plaza pada 19 Mei nanti.

Ulasan terbaik dari Fernando Torres, "pasukan terbaik tidak selalunya menang!" Pemain Chelsea kelahiran Sepanyol itu mengakui peritnya bermain tanpa John Terry yang dibuang padang dan menikmati keputusan akhir dengan kepuasan maksima.

Benarlah, pemain terbaik juga tidak selalunya bernasib baik. Simpati kita untuk Messi yang gagal menyempurnakan sepakan penalti. Kalaulah bola itu menerjah jaring!

 "Mes que un club" bererti bukan sekadar sebuah kelab. Ia mewakili sebuah wilayah - Catalan. Maka,
Catalan terpaksa terus menangis!



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

.....Chandini Lagi




Seperti tidak puas menulis tentang Orkes Chandini, Batu 5, Sik.Ceritanya di sini tentang Dua Khan dan
 M Nasir [asli Malaysia]

Baru saja rasanya saya melihat S Mokhtar menyanyikan lagu yang dipetik dari albumnya bersama kumpulan itu di Simpang Empat bulan lepas.Ceritanya di sini.

Dua malam lalu saya mendengar semula lagu tersebut di Youtube. Sambil itu saya membaca ulasan/komen yang dicatat. Antaranya oleh Mizal yang merupakan anak Hamid Khan, pengurus/penyanyi lagu hindi. Ada catatan dari peminat generasi lama dan baru.

Paling memilukan kerana baru tahu bahawa S Jamaludin telah lama meninggal dunia. Anaknya turut memberikan nombor  telefon. Saya terus hubungi. Andy, anak arwah mesra melayan soalan saya walaupun dalam masa yang sekejap.

Tidak tahu apa yang mahu dicakapkan sebenarnya untuk takziah yang terlewat itu. Rupanya pemain organ itu telah meninggal pada tahun 1990.

Beberapa minit selepas meletakkan telefon, Andy menghantar mesej perihal dirinya yang bakal memulakan perniagaan kek  berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Dia mempelawa saya bertemu , berkenalan dan berborak. Insya Allah akan saya sampai ke premisnya.

Sementara itu marilah kita doakan yang terbaik untuk bintang yang pernah menyerikan dunia kita - S Jamaludin. Saya terkenang ketenangan beliau menyanyikan lagu Arab, Duniya bi Tikri....sambil menekan punat organ......
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 24 April 2012

Lakonan Hidup, Pelakon Mati


Setiap tahun, The Passion Of  Christ dipentaskan di seluruh Brazil sempena Good Friday - memperingati hari kematian Jesus.

Dalam usia 27 tahun, Tiago Klimeck tentulah belum mencecah klimak dalam kerjayanya sebagai pelakon.

Dalam salah satu pementasan di Itarare, Sao Paolo, pemuda itu memegang watak Judas Iscariot, seorang dari 12 murid Jesus. Ketika wataknya itu perlu membunuh diri kerana mengkhianati Jesus yang disalib, Tiago benar-benar memainkan peranannya, Empat minit tergantung dengan sebahagian rakan pelakon menyangka dia merealisasikan skrip, sebelum mereka terlewat untuk menyedari sesuatu yang tidak kena.

Ketika dia diangkat turun, aktor itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.Imbasan ke atas tubuhnya mendapati ada halangan pada perjalanan oksigen ke otak. Lebih dari dua minggu dia koma, sebelum disahkan meninggal.Antara cerita tentangnya di sini dan di sini

Keterujaan dan takdir menamatkan karier dan hayat Tiago. Demikian nasib seorang pelakon.


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Malam Pertama


Di sebuah kedai kopi di pinggir kampung Antah Berantah.

Seorang suami bercerita kepada rakan baiknya tentang pengalaman malam pertama bersama isteri yang baru dinikahi. Setelah menjangkau usia hampir 4 dekad, inilah perkahwinan sulungnya.

"Aku terlupa. Lepas saja bersamanya, aku terus bangun. Buka dompet dan berikan RM100 kepadanya!"

Rakannya tertawa berdekah-dekah dalam terkejut awalnya. Sahlah sahabat akrabnya itu masih terbayangkan perlakuan di negara jiran di utara yang sering mereka kunjungi.

"Dah 'tu? Isteri kau tentu terkejut besar, ya?"


"Tak adalah.... Selamba saja dia bagi balik RM30............"

"Ooo........" Itu saja yang mampu si rakan sebut.

Demikianlah.

Benarlah seperti ustaz sebutkan: lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Sebaliknya.........
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Ahad, 22 April 2012

Coca-Cola: Sebuah Ingatan

Natasha Harris

Ibu beranak lapan, Natasha Harris, pastinya tidak menyangka bahawa tabiatnya yang mereguk 10 liter Coca-Cola sehari secara berterusan mengakibatkan masalah kesihatan dan membawa kepada kematiannya.

Demikian kesimpulan koroner yang menyiasat sebab kematian wanita tersebut di New Zealand.

Menurut laporan harian Otago Daily Times , wanita yang berusia 30 tahun menderita kegagalan  jantung dan menurut suaminya disebabkan kerana begitu banyak Coca Cola yang diminumnya dalam sehari.

Natasha dilaporkan muntah-muntah sebanyak enam kali dalam seminggu, beberapa bulan menjelang kematian mengejutnya pada bulan Februari 2010.Pada awalnya beliau mengatakan muntahnya disebabkan stress.

Apabila dia tidak minum Coca Cola, Natasha akan merasa lemas dan suka marah-marah. Namun keluarganya tidak menyangka kematiannya  disebabkan minuman ringan tersebut.

Suaminya, Chris Hodgkinson mengatakan kepada koroner Otago-Southland, David Crerar bahwa si isteri akan meneguk sekurang-kurangnya 10 liter Coca Cola setiap hari.

"Hal pertama yang dilakukannya di pagi hari adalah minum Coke, dan yang terakhir sebelum tidur juga adalah minum minuman yang sama." kata Hodgkinson.

"Saya tidak pernah menduga. Ini kan hanya minuman ringan, seperti minum air biasa. Saya tidak pernah menduga minuman ringan boleh membunuhnya," katanya.

Ahli patologi, Dr Dan Mornin di depan sidang koroner mengatakan bahawa mangsa besar kemungkinan menderita hypokalemia - iaitu kurangnya potassium di dalam darah- kerana tingginya penggunaan Coca Cola.

Dia mengatakan Natasha meninggal kerana kegagalan jantung, dan kebiasaannya minum Coca Cola, dan juga pengambilan gizi yang  terlalu banyak kafein, menyebabkan kematiannya.

Dalam kenyataan akhbar yang dikirimkan kepada The Southland Times, seorang juru cakap Coca Cola mengatakan, "meminum  minuman apapun dalam jumlah besar, termasuk air, boleh memudaratkan."

"Semua makanan dan minuman akan bermanfaat sekiranya merupakan bahagian dari pola makanan yang seimbang disertai dengan gaya hidup aktif," kata kenyataan tersebut.

Seperti keluarga Natasha, sebagaimana diucapkan , semoga pengalaman ini memberi pengajaran kepada semua. Dalam apa-apa hal, bersederhanalah.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Madu Empat

Mempelai menari mengikut adat.

Dia pernah beristerikan seorang berjawatan menteri tapi berpisah akhirnya manakala seorang lagi isterinya, Kate, membunuh diri ketika dunia melangkah ke milennium baru (pada tahun 2000).

Hingga 19 April 2012, isterinya berjumlah tiga orang. Lelaki itu memang telah terlalu lama diketahui mempunyai seorang kekasih, malah telah memiliki seorang anak berusia tujuh tahun hasil hubungan terlarang itu - menjadikannya bapa kepada 21 anak.

Jumaat 20 April 2012, dia dengan rasminya menikahi kekasihnya itu - menggenapkan isterinya kepada empat. Dalam masyarakatnya yang menghalalkan poligami, perkahwinan itu memang dijangkakan, melihat akrabnya pasangan kekasih itu.  Betapa tiga lagi isterinya, Sizakele, Nompumelelo dan Tobeka ditinggalkan di rumah, ketika dia dan sang kekasih yang merupakan bekas petugas di bidang IT, menemaninya dalam banyak tugasan di luar negara.

Tiadakah persengketaan dari isteri-isteri atas sikapnya itu?

Biasalah agaknya dalam mana-mana rumahtangga.

Namun, dikhabarkan, ketika pasangan itu dinikahkan, semua isteri turut berada di majlis tersebut. Dengan selamba pula menyaksikan sang suami turut menari bersama madu baru mereka, Ngema, mengikut adat sebaik upacara pernikahan berjalan.

Demikian nasib seorang suami beristeri empat. Kisah yang pastinya hanya menjadi anganan bagi hampir keseluruhan kaum lelaki.......

Siapakah lelaki bertuah itu?

Beliaulah Jacob Zuma, Presiden Afrika Selatan.

Selamat Pengantin Baru, Tuan Presiden!


[Pasangan itu bernikah mengikut adat Zulu, suku kaum mereka]


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Barcelona 2 - 3 Real Madrid!


Itu bukan gol tetapi bilangan kad kuning!

Keputusan setelah tamat permainan adalah:

Barcelona 1 -  2 Real Madrid.

Hanya 3 minit peminat Barcelona bergembira dalam hampir 95 minit permainan.

Setelah berdebar sebaik Khedira menjaringkan gol pertama Real seawal minit ke 17, penyokong tuan rumah terpaksa menanti hingga minit ke 70 untuk meraikan gol sulung. Bukan oleh Messi, sebaliknya Alexis Sanchez.

Kegembiraan itu bagaimanapun dicantas oleh Cristiano Ronaldo tiga minit berselang. CR7 memdapat umpanan Mesut Ozil.

Mou pegang petua: Jangan tentang mata Pep!
Permainan memang mengasyikkan. Namun di hujung permainan, Mou ternyata mampu melemparkan senyum kelat kepada Pep Guirdola setelah pada awalnya digambarkan bagai tidak mahu bertentang mata ketika bersalam.

Mungkin Barca menunggu final peringkat benua pula.

Sementara itu, buat masa ini biarlah Catalan menangis........
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 21 April 2012

Cinta Terakhir

Tuah dan rezeki Habiburrahman Elshirazy. Ayat-ayat Cinta, novelnya meletup lalu difilemkan. Muncul lagi siri CINTAnya. Di Atas Sejadah Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Mihrab Cinta, Di Atas Sejadah Cinta. Ada yang difilemkan malah dijadikan drama bersiri yang memakan masa beratus jam untuk dihadam semuanya. Pak Habib juga sempat mengarah dengan dipantau oleh Khaerul Umam, pengarah kebanyakan filem adaptasi dari novel-novel itu.Demikian cerita di negeri seberang.

Malaysia kesayangan kita juga tidak kurang penulis yang menggarap kisah cinta, walaupun tidak Islami  seperti yang dipertukangkan oleh Pak Habib. Tidak salah. Kisah cinta adalah kisah universal, berasal dari Adam dan Hawa juga.

Yang membosankan bukan ceritanya tapi tajuknya. Ketika Ayat-ayat Cinta difilemkan, berderet novel di kedai buku bertajuk  dengan akhiran Cinta. Sekarang pun kalau anda rajin ke kedai buku, saya jamin sekurang-kurangnya ada setengah dozen novel dengan tajuk .......Cinta. Tv pun makin galak menayangkan drama dengan tajuk yang seakan wajib ada akhiran cinta. Anda tentu boleh menyenaraikan setengah dozen lagi ....

Satu lagi akhiran terakhir. Selepas bergelas airmata penonton diperah pada satu hari raya dengan drama Salam Terakhir lakonan Rosyam Nor dan Fauziah Nawi, berbelas pula drama yang mesti ada terakhir dalam tajuknya. Sejadah Terakhir, Makmum Terakhir, Takbir Terakhir dan mungkin nanti Tahajjud Terakhir atau Tahiyat Terakhir dan seumpamanya. Sahih kalau ada terakhir saja, anda , peminat drama, kenalah menyediakan tisu beberapa kotak. Mesti cerita sedih....

Malam ini anda disogok  pula dengan Menara Cinta. Setelah menontonnya, cuba anda gunakan idea anda untuk menukar tajuk itu , asalkan jangan ada CINTA. Tentu boleh, dan percayalah ia tidak akan mencacatkan cerita atau lakonan Fasha dan Fahrin. Bubuhlah apa-apa pun....Menara saja pun elok.

Saya wakilkan anda melakukannya kerana saya menyertai kempen Minggu Tanpa Skrin yang diadakan setiap tahun sejak 1995, dan malangnya bermula pada 21 hingga 27 April. Jadi hanya sinopsis cerita yang sempat saya baca...... dan saya tetap beranggapan, tanpa kata CINTA, drama itu tetap mendapat rating yang tinggi. Tengoklah siapa pelakonnya.....

Teringat ketika Mastika muncul sebagai majalah popular dengan laporan alam misterinya dengan lenggok bahasa yang santai. Di rak majalah ada lebih dua dozen majalah dengan bentuk dan isi yang hampir sama - hingga terfikir orang kita hidup dikelilingi segala macam misteri.....

Orang kita!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 19 April 2012

Lo.....


Ada kebakaran tidak jauh daripada rumah saya.

Ketika saya di tempat kejadian, kelihatan anggota bomba sedang membawa seorang lelaki keluar dari rumah yang terbakar itu dan meletaknya di atas tempat lapang.

Ketika masih terketar-ketar, si mangsa mengeluarkan sebatang rokok, menyalakannya lalu bangkit bertinggung sambil menikmati rokoknya.

"Kesian, kenapa dengan lelaki itu?" saya bertanya seseorang yang berdiri di sebelah.

"Lemas asap," dia membalas...
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Noorkumalasari: Caranya Yang Cerdik.....


Telah 16 tahun Nookumalasari meninggalkan dunia glamor.

Glamor? Terkenal sangatkah Noorkumalasari? Baca ini.

Bagi generasi muda, namanya mungkin jarang didengar. Maklumlah ketika dia sedang glamor dulu, anak-anak SPM kini masih di dalam buaian.

Bermula pada tahun 1977 dalam filem Menanti Hari Esok arahan Jins Shamsuddin ( ada lagi 2 Esok sebagai tajuk filem lakonannya). Noor atau Kak Noor, seperti bahasa pada dirinya, telah berlakon 13 filem. Terakhir adalah filem Penghujung Malam pada tahun 1992, selain meminjamkan suaranya untuk filem Silat Lagenda (1998).

Noor juga terkenal sebagai penyanyi - segenerasi dengan arwah Sudirman. Mereka pernah berduet dalam album terbitan EMI. Banyak lagu popular beliau seperti Selamat Pagi Sayang, Hati Seorang Kekasih Lama, Mata dan Kau Dalam Ingatanku serta menyanyikan semula lagu Jikalau Mahu Kenal.

Dan sebelum terlibat berlakon dan menyanyi, dia punya pakej lengkap bermula sebagai peragawati.

Bagaimana anak seniman S Romainoor dan seniwati Umi Kalthom ini berubah/berhijrah?

Bacalah pengakuannya yang dipetik dari buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung susunan Ir. Endok Sempo Mohd. Tahir terbitan PTS.


Saya mula bertudung pada usia 40 tahun. Bagi saya kehidupan sebenar bermula pada usia 40 tahun. Saya sentiasa bertudung walaupun di dapur! Inilah yang sebenarnya, bukan lakonan lagi. Sungguh menakjubkan bagaimana kita mendapat ketenangan hanya dengan mematuhi perintah Tuhan. Tidak perlu berdalih-dalih lagi. Faktor yang mempengaruhi keputusan saya supaya bertudung adalah sebuah hadis yang mengatakan bagi setiap helai rambut yang terdedah kita akan diseksa selama 60 tahun di dalam neraka. Walaupun saya maklum ini hadis daif tetapi ia menjadi perangsang kepada saya. Pastinya sumber yang pertama adalah daripada ayat 31 surah an-Nur yang diterangkan oleh suami saya. Memandangkan ini perintah Tuhan, siapalah kita hendak menyangkalnya.


Suami saya menasihatkan saya supaya menetapkan tarikh untuk bertudung. Katanya, "Awak yang tentukan bila, tapi pohonlah kepada Tuhan semoga dipanjangkan usia sehingga tarikh itu." Saya memilih saat pulang daripada mengerjakan haji tahun 1997. Saya bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan kesihatan bagi saya mengerjakan umrah pada tahun 1994 dan seterusnya haji di mana sata terpaksa meninggalkan anak keempat saya yang baru berusia enam bulan. Pada masa itu, semuanya berlaku dengan pantas, ayah saya meninggal dunia di Mekah pada tahun sebelumnya.


Oleh kerana saya dikenali sebagai seorang yang sentiasa bergaya dan seorang artis yang sentiasa berani mencuba gaya baru, tidak ramai yang mengendahkan perubahan itu. Lagipun kami mula kurang menghadiri majlis-majlis, tidak seperti sebelumnya. Jadi tidak ramai yang sedar perubahan ini. Saya jauhi publisiti. Saya jalani kehidupan penuh glamor dulu. Cukuplah. Tidak perlu kita mengulangi cara hidup seperti itu lagi. Ada juga yang menganggap perubahan itu disebabkan kami baru balik daripada umrah dan itulah alasannya.

Keputusan saya bertudung menerima maklum balas yang negetif, kecuali daripada suami saya. Semua yang lain menganggap saya dipaksa oleh suami saya. Jauh sama sekali! Cara suami saya mengajarkan saya mengenai Islam membuat saya bertambah-tambah cinta kepada Tuhan. Jika dia memaksa saya membuat sesuatu, mungkin saya akan buat juga tetapi perasaan cinta tentu tidak ada.


Bukan sahaja saya bertudung malah saya perlu berpakaian seperti yang dituntut oleh Tuhan. Bajunya mesti longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identiti saya jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti dipakai wanita Arab. Kadangkala saya menambah lagi dengan mengenakan abaya pula. Mestilah berani untuk lain daripada yang lain. Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Tuhan, di samping rasa gembira apabila melakukannya.
 Demikianlah.

Tidak perlu maklumkan di pentas, di depan khalayak, betapa kita telah menjadi baik.......... amat baik. Lalu diperoleh pula lesen untuk membedal dunia dan rakan-rakan yang baru ditinggalkan.....

Noor boleh berbuat begitu lama dulu - pada tahun 1998 itu, misalnya..... Tapi ternyata dia cerdik!


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 18 April 2012

Mengapa Air Rebusan Mi Segera Harus Dibuang?




Membuang air rebusan mi tidak menghilangkan bahan kimia berbahaya dalam mi
Mi segera merupakan salah satu makanan yang paling mudah disediakan, praktis, dan digemari banyak orang kerana rasanya yang enak. Bole disimpan lama juga membuat mi segera kerap menjadi pilihan untuk mereka yang tinggal sendiri, namun tidak mempunyai waktu untuk memasak.

Meski begitu, terlalu banyak menggunakan mi segera dikhuatiri akan menimbulkan banyak kesan negatif kepada tubuh oleh kerana kandungan bahan pengawet atau penyedap rasanya. Selain kandungan karbohidrat, mi segera tidak memiliki kandungan vitamin, mineral, atau serat yang mencukupi, yang bermanfaat bagi tubuh. Sehingga, pada dasarnya mi segera tidak cukup memiliki nutrisi bagi keseimbangan gizi tubuh manusia.

"Namun yang paling berbahaya adalah adanya kandungan bahan pengawet, MSG (monosodium glutamat), dan bahan pewarna makanan yang ada di dalam mi segera," kata dr Patricia Wijaya, pakar kecantikan dari Beauty Inc. selepas pelancaran produk mi segera baru di Swiss Bel Hotel, Jakarta Pusat, Ahad (8/1/2012) lalu.

Kandungan bahan berbahaya dalam mi segera ini didapati dari proses pengolahanhingga proses pengawetan yang dilakukan dengan cara menggoreng mi sampai kering. Proses penggorengan biasanya menggunakan minyak goreng, yang membuat air rebusan menjadi keruh dan sedikit berminyak ketika direbus.

"Banyak orang yang mengatakan bahwa air rebusan pertama ini harus dibuang agar pengawetnya hilang. Namun sebenarnya zat pengawet ini tidak akan hilang," tukas dr Patricia.

Air rebusan mi segera yang pertama akan mengeluarkan minyak dan zat kimia lainnya yang mungkin saja digunakan untuk membuatnya. Namun, bahan pengawet dan kandungan lain yang berbahaya bagi kesihatan ketika diolah lebih lanjut ini tidak akan hilang 100 peratus. Ia hanya akan berkurang sedikit ketika air rebusan pertama dibuang.

Kandungan minyak, bahan pengawet, MSG, dan zat pewarna masih akan tetap menempel pada mi segera meski kadarnya sudah berkurang beberapa persen. Perlu anda ketahui, penggunaan bahan pengawet tak selamanya membahayakan, kerana pengeluaran mi segera tentunya harus mengikuti standard piawai pihak berkuasa.

Namun kandungan bahan kimia ini masih berpotensi untuk menyebabkan berbagai gangguan kesihatan bila digunakan secara rutin. "Kesan yang dirasakan memang adalah kesan jangka panjang, misalnya gangguan pencernaan,  hingga kanser usus, dan lainnya," tambahnya.
.
Dalam jangka panjang, bahan kimia tersebut juga akan sangat berbahaya bagi kecantikan wajah dan kulit. Kulit menjadi lebih kering, yang kelak akan menimbulkan berbagai gejala penuaan awal. Selain itu, mi segera juga akan merosakkan  program diet anda, kerana kadar kalorinya tinggi.

Sekali lagi, memang boleh menikmati mi segera, tetapi sebaiknya tidak diambil dengan kerap. Jangan menjadikan mi segera sebagai makanan utama, melainkan sebagai jajanan selingan saja. Tetaplah mengambil makanan dengan gizi seimbang untuk sarapan, makantengah hari  dan makan malam.

-Sumber Kompas.com
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Izrail, Seperti Yang Tertulis Itu....


Seperti yang tertulis,
maut menjemput.
cara dan keadaan
klik dan bacalah
iktibar dari akhbar
bagaimanakah mati
bersediakah kita

Pembantu kedai kopi maut dilanggar 2 kenderaan
Penyelia balak maut tergelincir ke dalam sungai 
Remaja perempuan, lelaki Indonesia dibunuh 
Polis tembak mati dua suspek samun kedai emas 
Lelaki maut terkena tayar lori tercabut
Mati mengejut ketika peras ugut 
Maut digilis selepas jumpa tunang
Temui ajal akibat lebihan dos 
Lelaki mati disyaki mangsa liwat
Mati bogel dalam hotel
Lelaki maut motosikal langgar bongkah batu
Dua maut bila motosikal mereka berlanggar 
Pemandu maut, kereta bertembung bas
Remaja maut motosikal langgar lembu melintas
Lelaki mati ditembak dengan senapang
Dua warga Bangladesh maut dipanah petir 
Pemain bola mati di padang

bersedialah kita
semoga beroleh husnul khatimah.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 14 April 2012

Robin Sedang Bertarung

Ketika kemuncak bersama Barry(tengah) dan kembarnya Maurice (kanan)
Robin Gibb kini koma. Doktor merasakan inilah hari-hari akhirnya.

Dwina, isterinya, Barry [abangnya yang juga anggota The Bee Gees], serta 3 anaknya berada di sisi katilnya.

Robin menghidap kanser hati dan usus. Ketika bertarung untuk pulih selepas pembedahan, para doktor percaya ada ketumbuhan baru.

 Selain kanser yang dideritai sejak 2010, dimulai dengan usus dan kemudiannya merebak ke hati, dia dikesan menghidap pneumonia [melibatkan pernafasan di paru-paru]


Wajahnya pada Oktober lalu
 Kembarnya, Maurice meninggal pada tahun 2003, pada usia 53 tahun kerana komplikasi perut. Adik mereka Andy terlebih dahulu meninggal dikatakan kesan ketagihan dadah.

Awal bulan lalu, dalam satu temubual, Robin membayangkan bahawa tragedi yang menimpa keluarganya -  Andy dan Maurice yang meninggal dunia dalam usia muda dan semua yang berlaku ke atasnya adalah 'karma' yang diperolehi atas kemasyhuran dan keberuntungan nasib mereka. Namun dia menegaskan bahawa mereka bertarung keras untuk pencapaian itu
Kini dia sedang bertarung .........lagi.
.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails