Khamis, 3 Mei 2012

Naza: Mengenang Tan Sri Nasimuddin

SM Nasimuddin
Ketika kita bercuti Hari Pekerja dan sebahagiannya kita habiskan dengan mengulas dan mengomel tentang Perhimpunan Bersih 3.0 tiga hari sebelumnya, tidak ramai rasanya yang masih mengingati kehilangan besar negara genap empat tahun lalu.

1 Mei 2008 adalah hari berpulangnya Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin ke rahmatullah.[Lihat sini] Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Zaleha Ismail, dan lima anak.Mungkin hanya keluarga dan ribuan pekerja Kumpulan Naza yang masih mengingati detik sedih itu.

Meninggal dalam usia 53 tahun, anak jati Kuala Pilah ini merupakan kebanggaan negara.

Menjejak langkah-langkah kejayaannya dari awal, sepatutnya beliau dijadikan idola sesiapa saja, terutamanya bumiputera.

Setiap sen wang saku sekolah serta pemberian  ketika membantu perniagaan kontraktor bapanya hinggalah pendapatan sebagai kerani disimpannya. Tidak hairanlah ketika menginjak usia 21 tahun, akaun banknya menunjukkan beliau memiliki RM80,000.

Dengan wang sebanyak itu, beliau memulakan perniagaan dan mencapai keuntungan RM1 juta setahun kemudian.

Mulanya, beliau membeli 20 AP (Approved Permit) yang kerajaan peruntukan kepada pengimport kereta bumiputera. Tiga bulan beliau berada di Jepun, menguruskan kemasukan 20 unit pertama kereta terpakai negara itu ke Malaysia. Tiga bulan pula digunakan untuk menjual kesemuanya.

Bermula dengan di lot kedai di Taman Maluri dengan jualan 10-15 kereta sebulan, pada tahun 1979 beliau suadah mempunyai cawangan di Kampung Baru dengan membeli serta menjual sekitar 40-60 buah kereta sebulan.

Selepas itu, peniaga yang berhemah ini tidak berpaling lagi. Dan kejayaan terus dilakar meskipun ada ketikanya tidak terlepas dari rintangan dan dugaan.

Pelbagai bidang perniagaan diceburinya namun bidang automotif adalah keutamaannya. Ia adalah cintanya sejak remaja. Demikian pengakuannya dalam satu wawancara.[di sini]

Kumpulan Naza kini ada 14 bahagian perniagaan yang meliputi industri-industri seperti pengedaran rokok, kredit dan sewaan, kejuruteraan, hotel, insurans, alat ganti jentera, pengilangan, automotif, hartanah, pengangkutan, penanaman dan kenderaan air. Kumpulan Naza kini memegang hak francais Malaysia untuk kenderaan Kia dari Korea Selatan, dan Peugeot dari Perancis serta juga permit import untuk kenderaan Mazda. Naza kini telah menjadi pengimport kenderaan mewah seperti Mercedes-Benz yang terbesar dan terpenting di Malaysia  melalui usaha-usaha seperti Naza-Brabus. Kini, diikuti jenama motorsikal terkenal dunia.
Gambar: Kosmo

Nasimuddin turut memiliki TTDI Development yang merupakan salah sebuah syarikat hartanah terpenting di ibu negara.

Nasimuddin dilaporkan berminat untuk membeli 40% kepentingan dan mengambil alih perusahaan kereta kebangsaan Malaysia, PROTON, yang dilaporkan menghadapi kemelut kewangan. Beliau berkata bahawa beliau sudah menggariskan rancangannya untuk memulihkan Proton jika kerajaan Malaysia merestuinya agar membeli kepentingan kawal syarikat tersebut Beliau juga pernah merancang pembinaan kilang yang bernilai RM1.2 bilion di Bertam, Pulau Pinang. [Rujuk di sini]

Demikian cerita kegigihan dan kejayaan beliau.

Cerita sisi positif pengasas Naza inilah yang sepatutnya ditonjol dan dicanang di kalangan pelajar dan golongan pekerja sebagai iktibar. Kita sebenarnya tidak kekurangan tokoh untuk dicontohi. Kisah ini antara yang cukup elok didendangkan walaupun beliau telah meninggalkan kita.

Semoga keluarga Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan Puan Sri Zaleha Ismail akan meneruskan kecemerlangan arwah dan marilah kita doakan kesejahteraan roh orang berjasa ini agar ditempatkan bersama-sama insan mukmin. Amin.



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Semoga akan lahir ramai lagi insan seperti arwah Tan Sri.
Semoga anak-anaknya meneruskan usaha arwah..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails