Sabtu, 26 Mei 2012

Indera Joned, Kami Tiada Pilihan!

  




Sengaja bermain-main dengan Mr Google pagi ini.

Sengaja menyuruhnya mencari Indera Joned.

Pada peringkat Indera, dia masih menyarankan sama ada sesuatu tentang Indera atau Indira atau Indra . Setelah ditambah menjadi Indera J, Mr Google mencadangkan sesuatu tentang Indira. Sebaik ditambah menjadi Indera Jo, begitu juga keputusannya. Tetapi apabila ditaipkan Indera Jon, kawan kita itu terus mengusulkan Indiana Jones. Barangkali dia menyangka saya tersilap eja...... Sahlah Mr Google mengagak saya sedang mencari-cari sesuatu yang berkaitan dengan watak filem yang dibawa oleh Harrison Ford itu.

Sahlah juga, Mr Google yang dikhabarkan serba tahu itu, tidak menyangka Indera Joned telah muncul menggegarkan Malaysia!

Mr Google, di negara saya, stesen tv swasta banyak. Masyarakat kami pula, kalau bab menonton drama tv, jika diadakan kajiselidik, antara lima terbaik pastilah ada nama kami. Sogoklah cerita apa pun. Rating mesti tinggi. Selain drama tempatan, kami menerima drama Mexico, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan, Filifina, Indonesia dan semestinyalah yang dihasilkan di negara Pakcik Sam. Tidak lama lagi mungkin akan ada drama dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

[Saya bercakap tentang stesen tidak berbayar saja.]

Kerana tuntutan yang besar, pihak produksi cukup seronok. Buatlah drama macam mana pun, kerana percuma pula, tiada komen yang mampu menukarkan sikap penerbit yang bersikap ambil mudah itu. Layan saja.......

Melihat poster Indera Joned saja, Mr Google pasti dapat membayangkan cerita dan corak aksi dalam drama ini. Lihatlah kreativiti kami. Kami ubah watak terkenal barat ke acuan Melayu. Senang.

[Untuk pengetahuan Mr Google, selepas filem Hindi Kabhi Khushi Kabhie Gham - K3G - meletup, ada produser kami keluarkan filem berjodol Qabil Khushry Qabil Igam. Kreatif sungguh kami, 'kan?]


Setakat pengembaraan, kami pun ada cerita yang jauh lebih menarik. Tapi siapa mahu tengok Malim Deman atau Inderaputera atau Panglima Awang. Mereka menempuh  lagi banyak cabaran yang hebat Tapi cukuplah ia setakat kajian untuk anak-anak muda kami mendapat sehelai kertas tanda layak untuk bergelar pegawai di mana-mana jabatan....

Untuk tontonan seisi rumah, kami kutiplah sana-sini cerita dari perahan idea orang barat. Ubah suai mana yang patut. Kalau ada bab Red Indian, kami ubah jadi pendekar yang mahir bersilat, contohnya. Kalau ada pula bab profesor dan pelajarnya, lagilah mudah. Selit saja. Janji ada seorang yang agak gempal atau sekurang-kurangnya seorang yang lurus bendul....Jadi bahan lawak.....

Pelakonnya pula, stesen ada senarai sendiri. Watak utama mesti orang ini, bukan orang itu.

Sekarang di Malaysia tengah panas sedikit dengan Aiman Hakim Redza. Bermula dengan drama Vanilla Coklat dulu, [eleh yang budak IPT 19 dan 20 tahun yang boleh ada kereta mewah dan duduk rumah agam 'tu...he he he], hampir setiap malam kami boleh tengok mukanya. Dalam slot Samarinda ada, dalam drama lain lagi.

Ini juga budaya kami. Kalau Fasha Sandha ....errr... maaf, dia ni infiniti buat masa ini..... tidak ada musim....Kalau musim Aaron Aziz, siang malam ada mukanya, kerana drama ulangan pun akan diambil yang dilakoninya.Begitu juga dengan Johan As'ari. Sejak berjaya dengan watak Botak dalam Juvana, wajahnya makin kerap di tv.

[Seronok lagi, tengah muncul dalam drama rantaian, disiarkan pula cerekarama yang serupa barisan pelakonnya. Watak saja bertukar. Lebih-lebih kalau lokasinya di luar negara. Jimat bajet..... Ini pernah terjadi sekali dua. Terbaru berkaitan Dingin Lavenda. Watak protagonisnya, dalam cerekarama ditukar kepada antoganis. Vice versa. Alang-alang berada di luar negara....]

Mr Google, jangan hairan dengan keadan kami di Malaysia ini. Rakyat marhaen hanya penonton. Sogoklah apa-apa pun. Kami terima. Janganlah terkejut jika selepas ini akan ada cerita bertajuk Hairi Pot dengan posternya gambar seorang budak berkacamata bulat........[Baru teringat kami baru selesai menonton slot aksi SuperMak - kini sedang diulang di TV3 - cerita tentang emak yang ada kuasa boleh terbang woooo...}


Sesungguhnya kami tiada pilihan!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 18 Mei 2012

Di Sini Saja!



Malam AJL 26, saya nampak kelibat Masron Tamsi di hujung lagu  Awan Nano nyanyian Hafiz, yang akhirnya menjadi juara. Saya agak ketinggalan kerana tidak tahu kemunculan beliau dalam klip video sebelumnya.

Tak kisahlah.

Lama dulu, awal 80-an saya menggemari lenggok suara Masron yang menyanyikan lagu-lagu asli di RTM. Kemudian suaranya diselitkan dalam siri album lagu Melayu Deli bersama Sharifah Aini, Sudirman dan Zaleha Hamid. Bertambah tahap kegemaran saya.

Satu malam minggu, 1983/84, saya nampak pertama kali wajahnya di tv1, menyanyikan lagu dari album sendiri, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir. Semasa itu saya berada di rumah seorang rakan di bukit Mertajam. O, ini rupanya Masron Tamsi, hati berdetik.

Besoknya, semasa menonton di sebuah pawagam mini di Penang Road, Pulau Pinang, rakaman siaran tv itu ditayangkan sebelum filem dimainkan. Dapatlah saya menilai sekali lagi lagu dan persembahannya.

Ternyata, lagu dan album tersebut meledak di pasaran. Anak Jawa dengan selempang kain pelikat itu seperti satu fenomena. Album seterusnya juga tidak mengecewakan, dengan janjinya untuk muncul dalam album sebanyak simpanan kain pelikat selempang - sekitar 8, kalau tidak silap.

Saya berkesempatan menonton persembahan live Masron di Padang Sekolah Menengah Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat, Alor Setar ketika zaman kemuncaknya itu. Sekali itulah.

Perkembangannya sentiasa saya ikuti dari jauh. Banyak, tetapi yang diingati ketika ini adalah:

*Dia yang menduda, akhirnya berkahwin dengan Noraini Ibnu, seorang kakitangan RTM yang terkenal.

*Mempunyai grup bimbingannya yang diberi nama Santino - pernah muncul dan popular dengan lagu Bos Bos Bos.

*Entah di mana silapnya, S Atan seolah merajuk/berselisih faham dengan Masron ketika menyiapkan satu album. Untuk meminta maaf, Masron telah melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh artis terdahulu atau terkini - beliau berjalan kaki dari Kuala Lumpur hingga ke Ipoh dengan berharap S Atan akan muncul di ibunegeri Perak itu semasa pelancaran album tersebut. Saya tidak ingat berapa hari perjalanannya itu namun saya ingat S Atan tetap tidak muncul seperti yang diharapnya.

*Lagu Di Sini Saja ciptaannya telah mencetuskan polemik apabila persatuan restoran, kalau tidak silap, memprotes lirik lagu tersebut yang seolah berkempen agar masyarakat tidak ke restoran mewah. Saya terlupa bagaimana akhirnya kes itu. Hayati lirik dan lagunya serta fahami kenapa tuan punya restoran boleh marah.......

 Di Sini Saja
Apakah malam ini
Kita akan disini
Dompet kosong jadi sepi
Cukup minum di warung kopi
Jangan sepi kan diri
Bagaikan orang rugi
Kita bukan kegagalan
Tak mengunjungi kelab malam
Apa enak makan di restoren
Apa indahnya di kelab malam

Apa buruknya di warung kopi
Apa kurangnya minum disini
Bagi yang punya uang
Biarkan dia pergi
Kemampuan kita hanya disini
(Ulang dari mula)
Apakah malam ini
Kita akan disini
Dompet kosong jadi sepi
Cukup minum di warung kopi
Jangan sepi kan diri
Bagaikan orang rugi
Kita bukan kegagalan
Tak mengunjungi kelab malam
*Ada pertelagahannya dengan syarikat rakaman EMI. Puncanya, lagu Di sini Saja tersebut telah ditukarkan senikatanya tanpa persetujuan Masron. Lagu dengan lirik komedi itu dinyanyikan oleh Isma Aliff untuk album komedi. [Isma Aliff pernah muncul dengan lagu komedi dalam dua album pada tahun 1986 dan 1987. Sebuah lagu lain yang ditukar lirik, yang saya ingat, adalah lagu Penyanyi pujaan, dari nyanyian asal DJ Dave] Kesannya, beliau keluar dari syarikat antarabangsa tersebut.

Demikian sedikit tentang Masron bin Tamsi yang bernama pentas Herman Tino - nama yang dicipta oleh A J Ajmain, seorang penyanyi dan petugas di RTM, pada awal kemunculannya.



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 16 Mei 2012

Bermula Di Kertas

 




Sesuatu itu
bermula dari pencetus idea
berakhir dengan pencuci jendela
jumlahnya beribu
semua pernah berguru

Terima kasih guru
ilmu asas atau teratas
memungkinkan yang bermula di kertas
diterjemah membekas.

Selamat Hari Guru
guru juga berguru!



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 15 Mei 2012

Hadiah Harijadi Giannina

Man City news
Man City news
Agüero bersama isteri dan anak 
Saat meraikan gol yang mencipta sejarah [13 Mei 2012]
Masih terus diperkatakan tentang gol minit terakhir yang memberikan kemenangan mutlak Manchester City menjuarai EPL.

Gol yang meranapkan sisa harapan Manchester United itu, dijaringkan oleh Sergio Leonel Agüero del Castillo. Walaupun dia sendiri mengakui sumbangan Mario Balotelli yang mengumpan kepadanya, namun sesiapa pun juga mengakui bahawa dialah pemain terbaik perlawanan - dengan gol itu pula dianggap sebagai bonus.

Maradona [1986]
Sergio Agüero lahir pada 2 Jun 1988, iaitu 27 hari menjelang ulang tahun kedua negaranya menjuarai Piala Dunia FIFA 1986. Takdir meletakkan bahawa Diego Maradona yang menjulang Piala Dunia pada malam 29 Jun 1986, setelah Argentina menumpaskan Jerman Barat 3 - 2 di final, kini merupakan bapa mertua Agüero.

Agüero yang berpindah ke Man City  dengan harga 38 juta pound pada 28 Julai 2011 dari Atletico Madrid adalah suami kepada Giannina Dinorah, anak kedua Maradona.


Masih teresak [1990]
Giannina lahir pada 16 Mei 1989, lebih setahun sebelum dunia menyaksikan ayahnya menangis tatkala menerima pingat selaku naib juara Piala Dunia. Pada kejohanan 1990 ini, Jerman Barat membalas dendam kekalahan di final empat tahun sebelumnya. Mereka menang hasil gol penalti yang disempurnakan oleh Andreas Brehme, lima minit sebelum masa permainan sepenuhnya tamat, pada 8 Julai. Maradona meratap kerana menjadi pemain yang paling dikawal dan dipersalahkan dalam sejarah Piala Dunia.[Tonton di sini]


Berbalik kepada keceriaan sang biru di Manchester, bandaraya ketiga terbesar di England. 

Walaupun belum kedengaran dari mulutnya,  Sergio Agüero pasti menjadikan gol terakhir untuk musim ini sebagai hadiah harijadi paling bermakna untuk isterinya, esok.Juga untuk bapa mertuanya yang sejak mula kurang berpuashati dengan kelab pilihan sang menantu - dengan mengakui pernah mencadangkan kepada Mourinho untuk diambil menyertai Real Madrid.

Untuk sementara ini, si mertua terpaksa membiarkan Manchester dibirukan....... 

 Man City news







Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 14 Mei 2012

Simply Unbelievable!

 


Demikian rumusan terbaik yang keluar dari  mulut pengulas di tv.

Dua puluh empat minit baki masa permainan sebenar, dengan lawan kekurangan seorang pemain, Man City ketinggalan 1- 2. Dengan penguasaan 80:20, pasukan milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan masih gagal mencari gol. Seri, apatah lagi kalau kalah, bermakna abang besar, Man U akan merajai Liga lagi.

Pemain merayakan jaringan awal Pablo Zabaleta
Pemain QPR seolah berkampung di kawasan sendiri bagi mengekalkan kedudukan agar sah terelak dari tersisih ke Divisyen 1. Masa kecederaan lima minit memisahkan mereka dari matlamat itu.

Ketika itulah berlaku keajaiban. Tatkala ramai peminat Man U bersedia untuk berpesta, Edin Dzeko yang masuk di babak kedua, menanduk gol penyamaan. Tatkala wisel penamat ditiup di Stadium of Light, milik Sunderland, dengan Man U menang 1 - 0, di Stadium Etihad pula tuan rumah memperoleh gol yang entah berapa juta pound nilainya, dihasilkan oleh Sergio Agüero.

Peminat Man City yang mulanya bersedia untuk menangisi nasib,  melonjak, malah sebahagiannya menerpa ke padang sebaik wisel dibunyikan panjang oleh pengadil.

Tepat sekali kata pengulas tadi.

The Citizens berhak menang. Peminat Man U, untuk seketika janganlah marah apabila sang baju biru membawa sepanduk menyatakan Manchester tahun ini milik mereka!

 Nyaris "Merah", Manchester Berubah "Biru"
 

MIKE RADCLIFFE (kiri) dan Shaun Donohoe dengan kereta mereka yang dihiasi dengan lambang Man City.
Dua peminat kelab bola sepak Manchester City menghiasi sebuah kereta Chevrolet dibeli di Amerika Syarikat (AS) dengan logo dan wajah bintang kelab tersebut.  Ini cerita hampir setahun lalu. Tahun ini, tepatnya mulai hari ini,kereta tersebut pasti lebih megah menyusuri jalan di seluruh Manchester!

Mike Radcliffe dan Shaun Donohoe membeli kereta buatan 1975 itu pada harga £15,000 (RM72,262) di Carolina, AS dan membayar sebanyak £5,000 (RM24,087) untuk kos penghantaran ke Britain.

Kos menghiasi kereta itu dengan gambar pemilik kelab tersebut, Sheikh Mansour dan wajah beberapa pemain di badan kereta selain kerusi dan bonet dihiasi lambang kelab berkenaan ialah £50,000 (RM240,874). - Kosmo! 7 Julai 2011.


Tahniah City!





Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 12 Mei 2012

Tut...Tut...Tut!

Dinosaur Jenis Sauropods

 


Apabila membaca Cerita Kaki dalam UM pada pagi Jumaat, saya tersenyum sendiri. Makin lama, kerana makin banyak yang melintasi memori, senyum pun makin panjang.

Ceritanya tentang saintis British yang membuat kesimpulan bahawa kentut dinosaur herbivor mungkin menjadi punca awal pemanasan global 150 tahun lalu. Katanya, haiwan bersaiz super itu akan bersendawa dan kentut selepas memakan daun tumbuhan. Kalau lembu menghasilkan gas metana ketika mencernakan makanannya, dinosaur juga lagilah sakan - disebutkan mampu menghasilkan 520 juta tan metana setahun - sama dengan penghasilan oleh semua haiwan dan aktiviti industri pada zaman ini! 


Berita sepenuhnya dalam 
Christian Science Monitor  di sini 

 

Pakar Perubatan Greek, Hippocrates pernah menyifatkan kentut adalah proses penting untuk kesihatan. Justeru, jangan malu kerana kentut. Setiap orang kentut. Tanpa kentut, anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, kentut yang berbau dan ‘dilepaskan’ dengan bunyi yang kuat memang memalukan. Bau dan daya kekuatan kentut dilepaskan bergantung pada makanan yang kita ambil,berapa lama kentut itu ‘disimpan’ dan daya kepantasannya dikeluarkan dari anus.

Dalam definisi perubatan, kentut adalah sebahagian daripada lebihan gas dalam perut atau usus. Ada kala lebihan gas ini menyebabkan anda berasa tidak selesa seperti perut kembung, sendawa atau kentut. Kebanyakan orang melepaskan gas berlebihan ini 14 kali sehari, tidak kiralah sama ada sebagai kentut atau sendawa. [Baca rencana BH sepenuhnya di sini

Dahsyat betul kesan kentut ini.

Saya tersenyum pada pagi Jumaat ini apabila mengenangkan beberapa kes yang melibatkan kentut. Yang pernah didengari dan dialami. Tapi tidak melibatkan kentut sendiri...... cerita tentang orang lain.

i] Pemandu kereta sapu bengang kerana ada gas metana terlepas dalam keretanya yang ditumpangi oleh 4 orang. Mereka naik di satu pekan kecil dengan destinasi yang sama - ibu negeri. Tiada siapa pun yang mengaku, semuanya saling menuduh dan menafikan- memanglah, kalau anda sendiri, mahu mengaku? Akhirnya semua diam sendiri.Masing-masing menekup hidung, dalam hati.....@*^#\|

Sampai di ibu negeri, semua turun setempat di hadapan sebuah restoran makanan segera. Keempat-empat mereka membayar berasingan. Lama juga masa diambil untuk menukar duit kecil antara setiap seorang dengan si pemandu.

Setelah selesai, si pemandu menyakat, "Yang kentut tadi belum bayar lagi!"

"Cakap baik-baik sikit. Yang bayar paling  awal  'tu, siapa?" kata penumpang yang tadinya duduk di tengah di bahagian belakang kereta.....................

ii] Seorang YB sedang menikmati pek nga bersama hampir sedozen orang kuatnya di sebuah gerai di hujung kampung. Sambil mengunyah, ditunda pula dengan kopi pekat, mereka berbual bab ceramah dan masalah setempat. Sambil pula menunggu beberapa pek nga edisi baru yang masih dalam belanga tuan gerai.

Ketika rancak mengunyah dan bercakap itu, tiba-tiba semua terhidu bau yang tarafnya kurang 0.001% sahaja dari bau telur tembelang. Masing-masing terdiam dan berpandangan. Salah seorang yang tangannya baru saja membenamkan pek nga ke dalam gulai ikan kembung, membiarkannya di situ. Halkumnya bergerak-gerak.

Seminit dua kemudian, orang paling kanan yang duduk di kiri YB dalam tersipu, sambil menggosok kedua-dua tapak tangannya, mengangguk-angguk yang ditujukan kepada semua, dan berkata, "Saya minta maaf, saya minta maaf!" Diulangnya ayat itu lebih dari jumlah orang kuat kampung yang sedang makan itu.

Barulah semuanya mula bersuara selepas masing-masing memberikan komen dan markah terhadap bau tadi. Ada yang bertanya apa makanan orang kanan itu semalam. Yang bergerak-gerak halkumnya tadi bertanya, "berapa hari hang tak masuk jamban 'ni?"

Selepas makan, masing-masing bersalam dengan YB lalu berpecah dengan janji akan berjumpa semula di dewan malam nanti. Ketika memasuki kereta, YB menggamit orang paling kanan tadi. Dari poket bajunya YB mengeluarkan sebuah sampul yang mempunyai logo besar parti. Dihulurkannya kepada orang paling kanan yang mengacah-acah menolak.

"Ambillah," kata YB," abang telah menyelamatkan saya tadi!"

Orang paling kanan menggenggam sampul itu erat-erat dan tersengih, "YB makan apa semalam?"

"Melawat kawasan, bang," jawab YB, juga tersengih,"macam-macam ada. Nak tolak takut orang kecil hati, last-last tolak ke mulut.....Itulah pasal...."

iii] Pelajar di kelas sebelah bising. Bunyinya macam ada pergaduhan. Ketika guru muda mula bergerak untuk melihat, tiba-tiba bunyi bising itu terpancung sendiri.

"Ada apa 'ni? Tak tahukah ada orang belajar di sebelah' tu? Cikgu kamu tinggal sekejap saja,'dah riuh!" rupanya Pengetua lebih dulu sampai. Patutlah semua terdiam tadi.

"Ada orang lepas kentut, cikgu! Busuk!" seorang pelajar perempuan bersuara.

"Dah 'tu buat apa riuh-rendah?" balas Pengetua, "Tak usah berebut! Pakat hidu sorang sikit!!"

Kelas tadi terus diam tetapi kelas guru muda pula yang bergegar!

iv] Dulu, setiap kali melihat kertas litmus, saya bayangkan kalau ada alat yang boleh pula mengukur tahap kepekatan kentutan seseorang berdasarkan bau dan bunyinya. Lebih cantik kalau gas yang dibebaskan itu berwarna......

Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Tahu.


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 11 Mei 2012

Cikgu Yati, Semoga Hati Spesiesmu Berkembang!



Senyum Asmayati: Kepuasan Tidak Terucap

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 10 Mei 2012

Wedding Of The...


STATELY NUPTIALS photo | Richard Nixon
Tricia diiringi ayahnya Presiden Nixon, pada hari perkahwinannya:
37 tahun lalu! Sumber: people.com

Program Nona TV3 memiliki rating yang tinggi sejak awal penerbitannya. Antara slot yang paling ditunggu adalah liputan majlis perkahwinan  atau resepsi. Biasanya berkait dengan selebriti atau vip. Setakat perkahwinan anak Paklong kita di hujung kampung, pakat rakam dalam telefon sajalah.........

Demikianlah.

Ingat lagi?
Majlis perkahwinan orang terkenal mempunyai peminat merangkap - kemudiannya - pengulas yang ramai. Lebih-lebih majlisnya dipancarkan langsung secara eksklusif di tv berbayar. Atau diterbitkan buku edisi khas menceritakan kronologi percintaan sehinggalah memuktamadkan dengan pernikahan.  Atau sekurang-kurang berbulan-bulan berteka-teki sebelum mengesahkannya dalam sidang media khas.

Kita pernah melihat atau mengikuti rapat majlis perkahwinan Datuk Siti, Ziana serta Che Ri-Che Ra, mahupun yang terkini sedikit seperti SchaWal, Fasha, Ana atau pernikahan kedua bekas ahli Elite - Watie & Azza.
Ingat lagi?

Maaf jika artis idola anda yang lain tidak disebut. Malas nak ingat. Banyak sangat. Lebih-lebih lagi ketika ini sedang sengkak dijamu hamburan kata-kata pujian pengantin itu terhadap pasangan masing-masing. Biasalah. Wartawan bertanya ketika mereka masih dalam busana pengantin yang ditaja itu. Kalau boleh kentut pasangan pun ingin dibotolkan lalu dipatenkan!

Bagaimana pula seleberiti di peringkat global?

Masih dalam ingatan?
Ingat perkahwinan Diana Spencer dengan bakal Raja England dulu? Betapa bertan-tan kertas digunakan untuk menghasilkan majalah yang diisi dengan gambar dan cerita Lady D itu - sebelum dan selepas majlis serta susulannya.

Apa yang terjadi kepada perkahwinan dan kehidupan semua personaliti itu, lupakan dulu......


Kate & Suami
Bagi generasi kini, ingat lagi perkahwinan Kate Middleton yang menjadi menantu Diana itu? Tentulah ingat, kerana baru setahun peristiwa itu berlangsung. Masih terkenang bagaimana beratus-ratus liter air liur si hidung belang di seluruh dunia menitik melihatkan ketrampilan Pippa, yang menjadi pengiring kakaknya!
Pippa


Malah kita lebih bertuah lagi kerana ada penaja bermurah hati mengingatkan kita dengan membawa program sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka di ntv7 baru-baru ini.

Setiap kita punya era masing-masing.

Ketika anak-anak kita terangguk-angguk mendengar lagu dari artis ngetop Indonesia, jangan lupa, kita pernah terangguk-angguk sambil mengangkat pemetik api yang dinyalakan mengikut rentak lagu kumpulan rock kapak di tapak funfair! Atau ayah dan emak kita pula pernah berseluar ketat, berkacamata hitam terangguk-angguk di satu pantai mengikut rentak lagu pop yeh-yeh yang dimainkan di radiogram di dalam sebuah kedai makan dekat situ!!!!! Datuk dan nenek kita pula.....bla.... bla...R Azmi.....bla...Nona Asiah.. cukuplah....he he he..

Cubalah tanya setiap generasi itu, pastilah masing-masing teruja menceritakan  kehebatan era masing-masing!

Begitu juga tentang perkahwinan selebriti.

Bagi yang sedang remaja pada awal 70-an, pasti mengingati satu perkahwinan yang dipancarkan ke seluruh dunia. Jutaan penonton melekat di depan tv. Itulah perkahwinan Tricia Nixon dengan Edward Cox.

Acara yang berlangsung pada tahun 1975 di White House itu, pasti tidak dikisahkan oleh penduduk kampung saya. Bukan kerana tidak mahu menyaksikan majlis kenduri di rumah Presiden Richard Nixon. Sebaliknya  tiada penaja yang sebaik sekarang - ceritanya setakat muncul sedikit dalam berita. Itupun kami terpaksa membayar 10 sen untuk menonton tayangan gambar melayu kemudiannya di rumah orang ada-ada kerana semasa itu tv adalah benda  asing bagi kebanyakan rumah kami........

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails