Jumaat, 17 Ogos 2012

Cerita Olimpik Yang Tidak Pernah Basi!


 

Seorang rakan bertanya soalan mudah: Kenapa tiada entri tentang Sukan Olimpik selama berlangsungnya acara itu di London?

Apalah yang saya hendak tulis sedangkan pelbagai sudut telah diambil pelbagai media. Dari hal ketidaklayakan beberapa jaguh yang tersisih sampailah kepada kehilangan beberapa atlet negara benua Afrika dari perkampungan sukan. Dari kegembiraan para pemain bolasepak Korea selatan yang terlepas dari kerahan negara setelah menundukkan Jepun untuk pingat gangsa hinggalah kepada

Tentang semangat juang Dato' Lee Chong Wei, sudah ada orang yang lebih diperkatakan sebaik dia menangis terkilan di atas podium. Popularnya orang itu hingga disentuh oleh semua lapisan masyarakat dan muncul di bahagian utama akhbar.

Ketika saya cuba mengulas kegigihan Pandelela Rinong, yang dianggap fenomena oleh CDM, Tun Ahmad Sarji, saya rasa yang diperbualkan orang adalah tentang sahabat kita Johari Pain! Dia yang memaklumkan di fb akan bersunat kali kedua jika Pandelela memperoleh pingat! Kalaulah dia berpegang kepada tema Hari Kebangsaan tahun ini Janji Ditepati, entah bagaimana keadaannya sekarang!

Maka tiadalah entri tentang London 2012.

Namun sewaktu melihat perlawanan bolasepak antara Jepun dan Korea Selatan itu, saya berlari ke tahun 1972 - empat dekad lalu! Ada saya catatkan di dalam blog ini lebih dua tahun lalu [16 Januari 2010]. Saya turunkan di sini entri itu dengan beberapa penambahan, sesuai dengan kebasahan ingatan kini..........

Sukan Olimpik Munich 1972


Namat Abdulah



1972. Ogos.

Sukan Olimpik Munich.

Bolasepak.

Perlawanan pembukaan, Malaysia lawan Jerman Barat. JERMAN!!!! Bukan Maldives atau Filifina!

Riuh sekampung bercakap tentang itu. Di batas bendang ketika berhenti mengambil angin setelah penat mengandar rumput untuk kerbau. Di rumah kenduri tatkala menyiang daging di atas balai. Di tangga beranda semasa melihat anak-anak bermain acilut. Di surau, sewaktu menunggu masuknya waktu Isyak. Semua tempat yang ada orang berbual, itulah topiknya.

Ini detik bersejarah. Malaysia pertama kali layak bermain di Sukan Olimpik dalam acara bolasepak! Malaysia memperoleh hak itu setelah mengetepikan Korea Selatan di Seoul!

Tapi tak ramai yang berpeluang menonton. Semuanya hanya akan mendengar ulasan selari melalui radio transistor. Sebab, walaupun ada siaran langsung di tv, tak ada pula sebuah peti tv pun di kampung!

M Chandran
Setahu saya, TIGA orang saja yang mendapat peluang menonton siaran terus menerus di tv melalui stesen satelit di Kuantan itu. Manusia bertuah itu ialah ayah, seorang jiran iaitu Paklang Chan [arwah] dan SAYA. Kami [tepatnya mereka, saya sekadar penumpang...] bergilir mengayuh basikal tua ayah hampir 10km malam itu [27 Ogos 1972]. Destinasinya adalah rumah datuk saudara sebelah emak, Tuktam, di Batu 6, Simpang Empat. Saya berpeluang kerana dibawa sebagai pemberi salam untuk tuan rumah membuka pintu, agaknya. Sebelum ini, semasa cuti sekolah kerap saya dihantar 'bermain' di situ dua tiga hari dengan anak bongsu Tuktam.

Kami disambut mesra oleh Tuktam dan dua anak perempuannya yang sudah biasa dengan kehadiran saya.

Soh Chin Aun
Maka menontonlah kami. Majlis perasmian diikuti perlawanan bersejarah itu. Tempatnya adalah  Olympiastadion [Stadium Olimpik], Munich, dengan jumlah penonton adalah 60,000. Betapa bangganya melihat kelibat pemain Malaysia masuk ke padang dan seterusnya bergilir menguasai bola.Walaupun kami kenal pemain seperti M. Chandran, Soh Chin Aun, Bhawandi Hiralal, Wong Kam Fook (penjaga gol), Ali Bakar, Shaharuddin dan abangnya,Namat Abdullah serta Wan Zawawi, (Semangat Satu Malaysia rupanya ada sejak dulu lagi) tapi kami menjadi penonton yang berdisiplin. Diam. Rumah orang......Itu pesan emak kepada saya dan ayah sebelum bertolak tadi..... Emak takut ulasan spontan atau sorakan ayah bakal menimbulkan rasa tidak selesa keluarga Tuktam.

Perlawanan pada separuh masa pertama berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. Malaysia bertahan dengan baik dan sesekali menyerap ke bahagian pertahanan Jerman. Saya masih teringat bagaimana pengulas RTM sering menyebut kelincahan pemain terkecil Malaysia,Wan Zawawi, menyaingi pemain Jerman Barat yang semuanya bersaiz besar.... Pada separuh masa kedua barulah Jerman mampu menembusi gawang Malaysia sebanyak tiga kali. Keputusannya Malaysia tewas 0-3.

Kami pulang malam itu dengan membawa kepuasan yang tidak terhingga. Sepanjang perjalanan, ayah dan Paklang Chan sentiasa bertukar ulasan dan kesimpulannya mereka sependapat: Kalaulah saiz badan semua pemain Malaysia setara dengan pemain Jerman.....

Besoknya, kamilah tumpuan rakan sebaya. Saya menceritakan seadanya aksi perlawanan itu, kebanyakannya dikutip dari ulasan yang saya dengar sepanjang perjalanan pulang semalam. Kawan-kawan terlopong. Kalaulah saiz badan semua pemain Malaysia setara dengan pemain Jerman..... Itulah yang saya ucapkan sebagai penutup cerita saya kepada mereka.......

Malaysia kemudiannya menewaskan Amerika Syarikat 3-0! Tetapi tewas pula kepada Maghribi 0-6. Saya tidak ingat samada kedua-dua perlawanan itu disiarkan secara langsung atau tidak di tv. Masalahnya kami tidak tahu jadual perlawanan itu - akhbar ketika itu malah ketika ini di kampung saya boleh dibuat ubat, kata orang......Namun dari berita radio, kami tahu bahawa Malaysia berada di tangga ketiga dalam kumpulan A yang mengandungi empat pasukan itu.

Sebagai info, gol-gol Malaysia ketika menumpaskan USA itu dijaringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi.

Senarai pemain Malaysia bagi perlawanan itu, seperti yang dikeluarkan oleh FIFA adalah seperti berikut:
  • [1]
    Kam Fook WONG (GK)
  • [2]
    Abdullah OTHMAN
  • [3]
    Chin Aun SOH
  • [4]
    Abdullah NAMAT
  • [5]
    Mohamed CHANDRAN
  • [7]
    Hussain HAMZAH
  • [8]
    Abdullah SHAHARUDDIN (-68')
  • [9]
    Wan ZAWAWI
  • Ibrahim SALLEH
  • Choon Wah WONG
  • Loon Teik LOOI
    Substitute(s)
  • [6]
    Huan Khen KHOO
  • V KRISHNASAMI
  • Jusoh HARUN
  • Fung Lee LIM
  • Bakar ALI
  • Bakar MOHAMED (+68')
  • Abdullah RAHIM
  • Hiralal BAHWANDI
Coach
Che Din JALIL (MAS)

Kumpulan A

Pasukan Pld W D L GF GA GD Pts
Jerman Barat 3 3 0 0 13 0 +13 6
Maghribi  3 1 1 1 6 3 +3 3
Malaysia Malaysia 3 1 0 2 3 9 −6 2
 Amerika Syarikat 3 0 1 2 0 10 −10 1

[Sebenarnya pemain [5] Mohamed CHANDRAN itu adalah M. Chandran. Entah bagaimana FIFA boleh merekodkan di laman webnya sebegitu.]

Pingat emas untuk tahun itu dimenangi oleh Poland yang menewaskan Hungary 2-1. Jerman Timur dan Soviet Union berkongsi pingat gangsa setelah seri 2-2.

Demikian ceritera Olimpik saya yang manis.....

Sekarang? Tv merata.
Sekarang? Malaysia nak melawan Jerman di Sukan Olimpik? Mimpilah..... Dengan Korea Selatan, lagilah....


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 16 Ogos 2012

Punch, Raket dan Ayah.....

Raket jenama Gold Cup
Di depan rumah datuk, ada dua pokok kelapa - masing-masing terpisah sejarak 25 kaki. Pokok yang sebaya itu sebesar dua pemeluk saya ketika itu. Sekitar 5 kaki dari paras tanah terdapat beberapa paku panjang ditusukkan ke batangnya.

Di situlah, pada paku di kedua-dua pokok itu, Paktam dan rakan-rakannya mengikat tali jaring untuk bermain badminton. Supaya menjadi tegang, mereka menungkat tali itu di kiri dan kanan dengan buluh yang sama tinggi.

Setiap petang, mereka turun bermain. Paktam memiliki sebatang raket jenama Bluebird - berbingkai kayu tetapi berbatang besi - antara raket termahal di kalangan mereka.  Kebanyakan rakannya hanya memiliki raket yang seluruhnya, bingkai dan batang, dibuat daripada kayu.

Gelanggangnya tidaklah mengikut saiz rasmi BAM. Cukup ada garisan tepi dan belakang yang dibuat dari buluh kecil beraut yang dipakukan pada kayu yang dicacakkan terbenam separas tanah.

Di tepi gelanggang, di bawah salah satu pokok kelapa, Paktam buatkan satu kerusi tinggi untuk 'jurubilang'. Sayalah yang biasanya berada di atas itu, sambil memahirkan diri menghitung hingga lima belas atau 'tambah' tiga atau empat lagi, kalau kedudukan mata terikat  pada 13-13 atau 14-14.

Sekali-sekala ada seorang dua budak Alor Pulai datang bermain di situ.

Pendeknya, memang meriah setiap petang di laman itu.

Sesiapa yang tidak mempunyai raket, terpaksalah menjadi penonton. Istilah meminjam dibuangkan dari kamus mereka kerana tiada yang mahu berisiko jika tali raket putus.

Saya pula hanya sesekali berpeluang bermain bersama rakan sebaya. Itupun jika tiada pemain senior, yakni pada awal petang atau lewat senja. Raketnya? Selipar kami sendiri ..... manakala bulu tangkisnya adalah yang tidak lagi digunakan oleh Paktam dan rakan-rakan. Ada juga saya menggunakan raket Paktam, namun tidak lama. Sebaik dia nampak atau tahu, itulah saat akhirnya....Saya juga takut talinya terputus. Kata Paktam, upahnya mahal untuk 'menarik' tali raket itu. Saya mana mampu.....

Sesekali juga, ketika pemain berehat, terutamanya ketika ada dua pasang pemain sahaja pada hari itu, ayah akan turun ke gelanggang. Dengan menggunakan raket Paktam, dia akan mengajak salah seorang rakan Paktam berlawan dengannya. Ayah jarang menang tetapi semua seronok tatkala dia melakukan 'smash' yang gagal dikembalikan lawan. Semasa itu. dia akan melompat dan memukul bulu tangkis sambil menyebut nama idolanya yang baru diumumkan di radio, memenangi satu kejohanan di luar negara. Demikianlah. Setiap smashnya akan disertai dengan menyebut begitu.

Apabila dirasakan permainannya meningkat, ayah lebih kerap muncul di gelanggang, Namun status peminjam raket tidak menyelesakan saya di kerusi tukang bilang. Setiap kali ayah melakukan smash dan berteriak menyebut idolanya, semua - termasuk pemain lawan - bersorak, saya memerhati ke arah Paktam. Dia hanya tersenyum kelat. Kami berkongsi kebimbangan - takut tali raket Paktam putus.....

Saya pernah beberapa kali menyuarakan kebimbangan itu kepada ayah. Ayah hanya diam.

Satu petang, hingga hampir jam enam suku, ayah tidak muncul. Selalunya, kalau tidak bermain, dengan berkain pelikat, ayah akan duduk di tangga beranda rumah datuk - menjadi penonton - bersama rakan-rakan seusianya. Ada rakan Paktam bertanya saya. Saya hanya mampu mengangkat bahu. [Di gelanggang, mereka tidak memanggil ayah saya, 'Pakngah', sebaliknya dipanggil nama yang menjadi sebutannya tatkala melakukan smash itu.....]

Hampir senja barulah saya nampak kelibat ayah yang baru turun dari basikal tuanya di bawah rumah. Dari pakaiannya, saya tahu paling kurang ayah baru balik dari Simpang Empat atau mungkin juga dari Alor Setar. Dia naik ke rumah, membawa barangan yang dibeli, sambil diterpa oleh adik-adik.

"'Ni dia! 'Ni dia!"

Tiba-tiba ayah menerpa ke tengah gelanggang, ketika perlawanan sedang berlangsung. Terkejut juga kami semua, lebih-lebih lagi dua pasang pemain yang sedang di dalam gelanggang. Ayah yang masih dalam pakaian baru pulang dari Simpang Empat atau Alor Setar itu, memperagakan sebatang raket baru berwarna merah! Dia meminta bulu tangkis untuk membuat pukulan rasmi. Sambil memukul, dia menyebut nama idolanya. Semua yang ada bersorak riuh.

Ayah keluar dari gelanggang setelah tiga empat kali memukul bulu tangkis. Saya mendapatkannya dan meminta untuk melihat raket itu. Rasa bangga menyelinap tatkala pertama kali menggenggam batang raket tersebut. Jenamanya Gold Cup, buatan Taiwan, berbingkai dan berbatang kayu. Dua tiga kali saya memukul ke arah lutut maka segera pula disambar ayah dengan sekali 'Hush!"

Gunalan beraksi
Menjelang senja petang itu, masih dengan pakaian baru pulang dari Simpang Empat atau Alor Setar, ayah sempat bermain berpasangan, satu game. Riuh anak seusia saya melihat dia beraksi sambil mengharapkan akan ada bola tanggung....


Punch Gunalan
Jika ada, ayah akan memukul sekuat hati sambil memekik serentak dengan penonton: P Gunalan!


Mendengar berita kematian Datuk Punch Gunalan, malam tadi, saya terkenang gelanggang di depan rumah datuk itu. Di situlah, sekitar tahun 1972/73, ayah beraksi dalam semangat Gunalan!

Sebetulnya, saya sedang  teringatkan ayah dan Paktam [berselang 40 hari] yang telah 15 kali Ramadan meninggalkan kami.......



Titip Rindu Buat Ayah  - Ebiet G Ade

Di matamu masih tersimpan selaksa peristiwa             
Benturan dan hempasan terpahat di keningku
Kau nampak tua dan lelah
Keringat mengucur deras
Namun kau tetap tabah
Meski nafasmu, kadang tersengal, 
memikul beban yang makin sarat
Kau tetap bertahan

Engkau telah mengerti hitam dan merah jalan ini

Keriput tulang pipimu, gambaran perjuangan
Bahumu yang dulu kekar, legam terbakar matahari
Kini kurus dan terbungkuk
Namun semangat tak pernah pudar
Meski langkahmu kadang gemetar
Kau tetap setia

Ayah...

Dalam hening sepi ku rindu
Untuk menuai padi milik kita
Tapi...
Kerinduan tinggal hanya kerinduan
Anakmu sekarang
Banyak menanggung beban.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 15 Ogos 2012

Maafkan Saya: Cerita Buat Penulis Skrip


Zahrana seorang pensyarah  yang memiliki pencapaian akademik membanggakan. Pada usia pertengahan tigapuluhan dan masih membujang, beban beratnya adalah memenuhi harapan ayah ibu agar si anak tunggal ini segera berkahwin.

Persoalan meruncing kerana tahap penyakit jantung ayah Zahrana makin buruk. Zahrana yang ingin membahagiakan kedua orangtuanya, kian terdesak dikejar waktu. Di tengah situasi tersebut, calon yang datang melamar adalah dekan fakulti tempat Zahrana mengajar yang terkenal selalu berganti isteri. Dengan batin bergolak, ia menolak lamaran si dekan, menanggung risiko dipecat, dan sekali lagi mengecewakan ayah ibunya.

Ia kemudian membulatkan hati: satu-satunya syarat bagi calon suaminya adalah kesalehan. Taraf sosial, pendidikan, dan ekonomi tak lagi masuk dalam pertimbangan. Maka silih berganti calon berikutnya datang. 

Ketika Zahrana merasa sudah menemukan bakal suami, diduga pula oleh satu tragedi.......[*]

Tentu menarik cerita begini. Tentang tragedi itu, biarlah kita reka kemudian....

Semoga ada penulis skrip yang ingin menulis cerita begini. Apabila diterbitkan, sama ada dalam bentuk filem atau telefilem atau drama berantai, tentu banyak yang memuji.

Kalau ada insan yang tidak berhati perut, dengki dan seumpamanya berkata ia menyamai sebuah filem dari negara lain, kita peduli apa? Bukankah kita telah menyediakan jawapan skima: ini adalah kebetulan. Ini adalah ilham pemberian Allah. Kami tidak pernah pun mendengar atau menonton filem itu. Kami mendapat idea semasa melintasi sebuah universiti di Lembah Kelang. Memang mereka, termasuk yang bersembang di fb itu busuk hati, tidak ada kerja dan suka merosakkan industri.....

Tentang judulnya, pilihlah tajuk lagu yang tengah popular. Jadikan lagu tema juga. Mesti meletup punyalah.....

Habiburrahman El Shirazy
Habiburrahman El Shirazy pasti terus tersenyum.......

Demikianlah mimpi ngeri saya menjelang sahur malam tadi. Saya terkejut sebaik melihat senyuman jiran kita itu.....
Kang Abik sekeluarga

Sebenarnya saya baru menyaksikan trailer filem Cinta Suci Zahrana. Ia diarahkan oleh Chaerul Umam, diadaptasi dari novel berjudul sama tulisan Habiburrahman El Shirazy. Bagi yang lupa, Kang Abik, panggilan untuk suami Muyasaratun Sa'idah ini, adalah penulis novel-novel terkenal yang sebahagiannya telah difilemkan, seperti Ayat-Ayat Cinta (telah dibuat versi filmnya, 2004), Di Atas Sajadah Cinta (telah disinetronkan Trans TV, 2004), Ketika Cinta Berbuah Surga (2005), Pudarnya Pesona Cleopatra (2005), Ketika Cinta Bertasbih (2007), Ketika Cinta Bertasbih 2 (Desember, 2007) Dalam Mihrab Cinta (2007), Bumi Cinta, (2010) dan The Romance. Kini senarai itu bertambah dengan Langit Makkah Berwarna Merah, Bidadari Bermata Bening, dan Bulan Madu di Yerussalem.

Chaerul Umam
Novel itu pernah dibaca. Menarik, seperti novel tulisannya yang lain. Manakala filem tersebut khabarnya dijangkakan untuk musim perayaan Aidilfitri tahun ini. Skenarionya merupakan karya terakhir Misbach Yusa Biran, tokoh perfileman Indonesia yang meninggal pada bulan Julai lalu. Selain pelakon muda, seperti Meyda Sefira, Miller Khan dan Kholidi Asadil Alam, Chaerul Umam juga menggandingkan pelakon veteran seperti Amaroso Katamsi, Lenny Marlina, Sitoresmi Prabuningrat dan El Manik

Maha Besar Allah, sekiranya ada penulis skrip di Malaysia ini bakal menulis cerita seperti Cinta Suci Zahrana, dan kemudian diakui sebagai kebetulan sama termasuk di segi watak dan plot...... Dan sang penulis itu pula tidak pernah mendengar apalagi membaca dan menonton Cinta Suci Zahrana. Maha Suci Allah!

Saya terkenang cerekarama Maafkan Aku yang sebiji seperti Dalam Mihrab Cinta. Sebuah kebetulan yang payau. Maaf, contoh kecil kebetulan: Kedua-duanya menggambarkan anak kecil orang kaya mahukan seorang ustaz yang pandai menyanyi, maka bernyanyilah.....Kedua-dua Ustaz itu pula baru keluar tahanan, ingin memulangkan dompet yang dicuri..... Sebab itu saya rasa payau.......hehehehe.

Dua tiga kali saya menonton hujung filem seberang itu untuk melihat siapa penulis skenarionya. Beliau adalah Adra P. Daniel yang meninggal dunia pada tahun 2010, tahun filem itu diterbitkan. Ada tertulis in memorium untuknya sebaik filem itu berakhir.

Kebetulan, penulis skenario filem Cinta Suci Zahrana juga meninggal pada tahun filem diterbitkan......

Kalau kebetulan ada drama Malaysia yang sama plotnya dengan filem itu, apalah daya kita.......

El Manik dan Dato Rahim Razali. Kedua-duanya kebetulan memegang watak bapa untuk Dalam Mihrab Cinta dan Maafkan Aku. Kalau takdirnya kebetulan Cinta Suci Zahrana ada kebetulan sama dramanya di Malaysia, maka Dato itu sekali lagi mungkin kebetulan dipilih......

Berapa banyak kebetulan daaa.......

Maha Suci Allah!


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 14 Ogos 2012

Rohingya: Bagaimanakah Kita?


 

Melihat beberapa foto tentang orang Islam Rohingya di Myanmar cukup meruntun rasa. Begitu besar cabaran untuk mereka, sementelah ketika kita sedang berpuasa dan sedang pula hendak berseronok menyambut rayanya...

Betapa berbezanya nasib mereka dengan untung kita. Hanya hati yang tertutup tidak mengakuinya........

Perkampungan dibakar, diusir puak junta Myanmar. Bangladesh, sebagai jiran, tidak pula menerima. Maka mengertilah kita dengan riak muka wanita bertudung hijau serta lelaki ini. Pembunuhan menjadi perkara biasa, tidak kira yang dewasa atau bayi. Memang penghapusan etnik yang dahsyat.


Semalam saya menonton temubual dengan pelarian. Paling tersentuh, ketika ditanya kenapa semua itu terjadi, jawabannya ialah: kerana mereka Muslim! Mereka tidak diizinkan bersolat Jumaat di masjid, sebaliknya disuruh mencuci kuil! Mereka dipaksa memakan daging babi atau ditembak!
Nampaknya nasib mereka masih seperti dahulu atau pun mungkin semakin buruk. 

Kata orang sekeping gambar lebih baik dari seribu perkataan. Maka tolong jumlahkan berapa juta perkataan bagi foto-foto di bawah untuk menggambarkan kekejaman junta Myanmar itu...

 

Sementara menunggu untuk ke bazar Ramadan, saya dedikasikan foto saudara-saudara kita di bawah ini untuk anda.....
   


Apa juadah kita hari ini? Ayam percik? Kambing bakar? Tom Yam? Terubuk berinti?......Kuih talam? Karipap inti daging? Roti John?... Sirap bandung? Jus markisa? ABC?

Slurppppppp!

Bersyukurkah?

Kita akan ditanya!

Bagi yang terlebih untuk berbuka itu, jika ingin menghulurkan sumbangan, ini antara pihak yang sepatutnya dihubungi:


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Apabila Sudah Ahli Dan Lali.......

 
Entah berapa puluh kali saya menonton filem Seniman Bujang Lapok lakonan Tan Sri P Ramlee, Dato' Aziz Sattar dan S Shamsuddin. Benarlah kata ramai, tayangkanlah berapa kalipun, masih akan ada tawa dari kita.

Malam ini, sekali lagi saya menontonnya. Dan biasanya saya akan mengulangi seperti selalu: soalan-soalan bagi beberapa babak.

Misalnya, kenapa A Rahim menyepak kerusi lalu berjalan masuk ke dalam kawasan studio sedangkan tidak saya jumpa puncanya untuk beliau memarahi 3 sekawan itu. Sampai meludah pula ....
Rose Iskandar


Tetapi kali ini saya ingin mengangkat satu watak lakonan Leng Hussein, bapa saudara kepada penyanyi 70-an dan pelakon, Rose Iskandar itu. Beliau dikenal muncul dengan watak kecil tetapi penting dalam filem-filem Sarjan Hassan dan Ali Baba Bujang Lapok.

Apek pemborong surat khabar lama dan botol itu menarik perhatian saya. Dia muncul hanya dalam satu babak. Dipanggil ke bilik Bujang Lapok untuk mengambil surat khabar dan botol.

Ketika Aziz mengangkat sebeban akhbar lama, Sudin pula teringatkan botol-botolnya di bawah katil. Berdenting bunyi botol-botol berlaga ketika Sudin menggagau mengumpulkan semua botolnya.

Selesai membayar untuk Sudin, dan setelah Aziz bersetuju dengan harga 'bolong' akhbar, dia menoleh ke arah Ramlee, bertanyakan jika ada yang hendak dijual. Dia menolak apabila Ramlee bergurau memberikan seluar jerut cariknya.

Ketika Ramlee, mengambil seluar di bawah bantal, setelah disuruh bergegas oleh Sudin, tentulah Apek tadi mengangkat akhbar dan botol yang sudah menjadi miliknya ke luar dari bilik itu. Adegan itu memang tidak digambarkan di filem.

Tetapi tiada pun bunyi lagaan botol. Sunyi sahaja.Tidak seperti tatkala Sudin mencari danmembawa botol sebelumnya.

Demikianlah. Jika sudah ahli atau lali, kerja yang sukar bagi orang lain, menjadi biasa-biasa saja kepadanya....

Menonton kali ini, itulah yang saya dapat!





Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Production House: Berkatalah Ustaz.....

Beberapa hari yang lalu, dalam rancangan Tanyalah Ustaz, Ustaz Mohammad Abdullah telah memberi satu usul untuk pengeluar filem dan penerbit drama. Ia bukan isu baru sebenarnya.


Ustaz Mohammad Abdullah
 Seseorang bertanya tentang hukumnya sepasang suami isteri yang bergiat di bidang lakonan melakonkan babak perceraian. Dalam responnnya, Ustaz Mohammad menjawab jatuhlah talak, sekali pun sekadar lakonan, jika si suami melafazkan "aku ceraikan engkau" kepada isterinya. Lainlah jikalau adegan itu ada voice over menyatakan mereka telah bercerai, tambah ustaz yang juga peguam syarie itu.

Dalam kesempatan itulah, melalui siaran secara langsung terbitan TV9 dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, beliau menyarankan  production house melantik panel syariah supaya skrip dan apa yang berkaitan dengannya sentiasa dipantau agar tidak menyimpang dari kehendak syarak.

Di hadapan tv mendengar jawapan dan ulasan Ustaz Mohammad itu, saya amat menyetujuinya. Memang banyak adegan dalam filem dan drama kita telah tersasar sebenarnya .......

Kebetulan pada malamnya, selepas tarawih, saya tertonton rancangan Kias Ramadan terbitan TV3. Dalam slot kendalian Zainal Ariffin Ismail itu, ada sketsa menantu yang tidak berpuasa. Dia cuba mengelak dari bersalam dengan ibu mertua yang datang secara mengejut. Memanglah niatnya supaya si mertua tidak akan terhidu bau kari di tangannya. Tetapi alasan untuk tidak bersalam itu mengejutkan saya. "Tak boleh bersalam, mak. sebab saya ada wuduk!" Demikianlah lebih kurang dialognya.


Saya terkejut. Sejak bila pula batal wuduk seseorang lelaki jika bersalam dengan ibu mertuanya? Bukankah  ibu mertua setaraf dengan ibu sendiri?

Mungkin dalam keadaan gelabah menyebabkan si menantu menjawab begitu. Tetapi penulis skrip yang baik sepatutnya menulis dialog balas dari ibu mertua bahawa tidak bersalahan bersentuh tangan menantu lelaki dengannya....

Demikianlah. Jikalah ada panel syariah yang peka.....

Namun izinkanlah saya memanjangkan sedikit isu panel penilai ini.

Bukan setakat dari segi syariah dan skrip; panel juga perlu ada untuk menilai prop dalam sesebuah drama atau filem. Saya terkenang kepada satu drama menjelang merdeka yang pernah disiarkan oleh RTM. Selalunya saya akan menunggu hingga timbul credit title di hujung drama agar saya tahu siapa punya kerja dalam menghasilkan drama yang cacat. Namun untuk drama berkenaan, saya tidak berbuat demikian. Sebabnya, saya mengalami terkejut yang amat sangat! Dalam adegan orang ramai hendak berhimpun menentang Malayan Union [kalau tidak silap], terdapat beberapa orang membawa kertas putih bertulis "Hidup Dato' Onn" dan satu slogan lagi. Siapa yang tidak terkejut jika dalam cerita pra merdeka itu, kertas berwarna putih itu cantik sahaja tulisan khatnya hasil cetakan komputer!?......

Demikianlah. Jikalah ada panel yang prihatin........



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails