Sabtu, 4 Ogos 2012

Apabila Sudah Ahli Dan Lali.......

 
Entah berapa puluh kali saya menonton filem Seniman Bujang Lapok lakonan Tan Sri P Ramlee, Dato' Aziz Sattar dan S Shamsuddin. Benarlah kata ramai, tayangkanlah berapa kalipun, masih akan ada tawa dari kita.

Malam ini, sekali lagi saya menontonnya. Dan biasanya saya akan mengulangi seperti selalu: soalan-soalan bagi beberapa babak.

Misalnya, kenapa A Rahim menyepak kerusi lalu berjalan masuk ke dalam kawasan studio sedangkan tidak saya jumpa puncanya untuk beliau memarahi 3 sekawan itu. Sampai meludah pula ....
Rose Iskandar


Tetapi kali ini saya ingin mengangkat satu watak lakonan Leng Hussein, bapa saudara kepada penyanyi 70-an dan pelakon, Rose Iskandar itu. Beliau dikenal muncul dengan watak kecil tetapi penting dalam filem-filem Sarjan Hassan dan Ali Baba Bujang Lapok.

Apek pemborong surat khabar lama dan botol itu menarik perhatian saya. Dia muncul hanya dalam satu babak. Dipanggil ke bilik Bujang Lapok untuk mengambil surat khabar dan botol.

Ketika Aziz mengangkat sebeban akhbar lama, Sudin pula teringatkan botol-botolnya di bawah katil. Berdenting bunyi botol-botol berlaga ketika Sudin menggagau mengumpulkan semua botolnya.

Selesai membayar untuk Sudin, dan setelah Aziz bersetuju dengan harga 'bolong' akhbar, dia menoleh ke arah Ramlee, bertanyakan jika ada yang hendak dijual. Dia menolak apabila Ramlee bergurau memberikan seluar jerut cariknya.

Ketika Ramlee, mengambil seluar di bawah bantal, setelah disuruh bergegas oleh Sudin, tentulah Apek tadi mengangkat akhbar dan botol yang sudah menjadi miliknya ke luar dari bilik itu. Adegan itu memang tidak digambarkan di filem.

Tetapi tiada pun bunyi lagaan botol. Sunyi sahaja.Tidak seperti tatkala Sudin mencari danmembawa botol sebelumnya.

Demikianlah. Jika sudah ahli atau lali, kerja yang sukar bagi orang lain, menjadi biasa-biasa saja kepadanya....

Menonton kali ini, itulah yang saya dapat!





Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails