Jumaat, 17 Ogos 2012

Cerita Olimpik Yang Tidak Pernah Basi!


 

Seorang rakan bertanya soalan mudah: Kenapa tiada entri tentang Sukan Olimpik selama berlangsungnya acara itu di London?

Apalah yang saya hendak tulis sedangkan pelbagai sudut telah diambil pelbagai media. Dari hal ketidaklayakan beberapa jaguh yang tersisih sampailah kepada kehilangan beberapa atlet negara benua Afrika dari perkampungan sukan. Dari kegembiraan para pemain bolasepak Korea selatan yang terlepas dari kerahan negara setelah menundukkan Jepun untuk pingat gangsa hinggalah kepada

Tentang semangat juang Dato' Lee Chong Wei, sudah ada orang yang lebih diperkatakan sebaik dia menangis terkilan di atas podium. Popularnya orang itu hingga disentuh oleh semua lapisan masyarakat dan muncul di bahagian utama akhbar.

Ketika saya cuba mengulas kegigihan Pandelela Rinong, yang dianggap fenomena oleh CDM, Tun Ahmad Sarji, saya rasa yang diperbualkan orang adalah tentang sahabat kita Johari Pain! Dia yang memaklumkan di fb akan bersunat kali kedua jika Pandelela memperoleh pingat! Kalaulah dia berpegang kepada tema Hari Kebangsaan tahun ini Janji Ditepati, entah bagaimana keadaannya sekarang!

Maka tiadalah entri tentang London 2012.

Namun sewaktu melihat perlawanan bolasepak antara Jepun dan Korea Selatan itu, saya berlari ke tahun 1972 - empat dekad lalu! Ada saya catatkan di dalam blog ini lebih dua tahun lalu [16 Januari 2010]. Saya turunkan di sini entri itu dengan beberapa penambahan, sesuai dengan kebasahan ingatan kini..........

Sukan Olimpik Munich 1972


Namat Abdulah



1972. Ogos.

Sukan Olimpik Munich.

Bolasepak.

Perlawanan pembukaan, Malaysia lawan Jerman Barat. JERMAN!!!! Bukan Maldives atau Filifina!

Riuh sekampung bercakap tentang itu. Di batas bendang ketika berhenti mengambil angin setelah penat mengandar rumput untuk kerbau. Di rumah kenduri tatkala menyiang daging di atas balai. Di tangga beranda semasa melihat anak-anak bermain acilut. Di surau, sewaktu menunggu masuknya waktu Isyak. Semua tempat yang ada orang berbual, itulah topiknya.

Ini detik bersejarah. Malaysia pertama kali layak bermain di Sukan Olimpik dalam acara bolasepak! Malaysia memperoleh hak itu setelah mengetepikan Korea Selatan di Seoul!

Tapi tak ramai yang berpeluang menonton. Semuanya hanya akan mendengar ulasan selari melalui radio transistor. Sebab, walaupun ada siaran langsung di tv, tak ada pula sebuah peti tv pun di kampung!

M Chandran
Setahu saya, TIGA orang saja yang mendapat peluang menonton siaran terus menerus di tv melalui stesen satelit di Kuantan itu. Manusia bertuah itu ialah ayah, seorang jiran iaitu Paklang Chan [arwah] dan SAYA. Kami [tepatnya mereka, saya sekadar penumpang...] bergilir mengayuh basikal tua ayah hampir 10km malam itu [27 Ogos 1972]. Destinasinya adalah rumah datuk saudara sebelah emak, Tuktam, di Batu 6, Simpang Empat. Saya berpeluang kerana dibawa sebagai pemberi salam untuk tuan rumah membuka pintu, agaknya. Sebelum ini, semasa cuti sekolah kerap saya dihantar 'bermain' di situ dua tiga hari dengan anak bongsu Tuktam.

Kami disambut mesra oleh Tuktam dan dua anak perempuannya yang sudah biasa dengan kehadiran saya.

Soh Chin Aun
Maka menontonlah kami. Majlis perasmian diikuti perlawanan bersejarah itu. Tempatnya adalah  Olympiastadion [Stadium Olimpik], Munich, dengan jumlah penonton adalah 60,000. Betapa bangganya melihat kelibat pemain Malaysia masuk ke padang dan seterusnya bergilir menguasai bola.Walaupun kami kenal pemain seperti M. Chandran, Soh Chin Aun, Bhawandi Hiralal, Wong Kam Fook (penjaga gol), Ali Bakar, Shaharuddin dan abangnya,Namat Abdullah serta Wan Zawawi, (Semangat Satu Malaysia rupanya ada sejak dulu lagi) tapi kami menjadi penonton yang berdisiplin. Diam. Rumah orang......Itu pesan emak kepada saya dan ayah sebelum bertolak tadi..... Emak takut ulasan spontan atau sorakan ayah bakal menimbulkan rasa tidak selesa keluarga Tuktam.

Perlawanan pada separuh masa pertama berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. Malaysia bertahan dengan baik dan sesekali menyerap ke bahagian pertahanan Jerman. Saya masih teringat bagaimana pengulas RTM sering menyebut kelincahan pemain terkecil Malaysia,Wan Zawawi, menyaingi pemain Jerman Barat yang semuanya bersaiz besar.... Pada separuh masa kedua barulah Jerman mampu menembusi gawang Malaysia sebanyak tiga kali. Keputusannya Malaysia tewas 0-3.

Kami pulang malam itu dengan membawa kepuasan yang tidak terhingga. Sepanjang perjalanan, ayah dan Paklang Chan sentiasa bertukar ulasan dan kesimpulannya mereka sependapat: Kalaulah saiz badan semua pemain Malaysia setara dengan pemain Jerman.....

Besoknya, kamilah tumpuan rakan sebaya. Saya menceritakan seadanya aksi perlawanan itu, kebanyakannya dikutip dari ulasan yang saya dengar sepanjang perjalanan pulang semalam. Kawan-kawan terlopong. Kalaulah saiz badan semua pemain Malaysia setara dengan pemain Jerman..... Itulah yang saya ucapkan sebagai penutup cerita saya kepada mereka.......

Malaysia kemudiannya menewaskan Amerika Syarikat 3-0! Tetapi tewas pula kepada Maghribi 0-6. Saya tidak ingat samada kedua-dua perlawanan itu disiarkan secara langsung atau tidak di tv. Masalahnya kami tidak tahu jadual perlawanan itu - akhbar ketika itu malah ketika ini di kampung saya boleh dibuat ubat, kata orang......Namun dari berita radio, kami tahu bahawa Malaysia berada di tangga ketiga dalam kumpulan A yang mengandungi empat pasukan itu.

Sebagai info, gol-gol Malaysia ketika menumpaskan USA itu dijaringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi.

Senarai pemain Malaysia bagi perlawanan itu, seperti yang dikeluarkan oleh FIFA adalah seperti berikut:
  • [1]
    Kam Fook WONG (GK)
  • [2]
    Abdullah OTHMAN
  • [3]
    Chin Aun SOH
  • [4]
    Abdullah NAMAT
  • [5]
    Mohamed CHANDRAN
  • [7]
    Hussain HAMZAH
  • [8]
    Abdullah SHAHARUDDIN (-68')
  • [9]
    Wan ZAWAWI
  • Ibrahim SALLEH
  • Choon Wah WONG
  • Loon Teik LOOI
    Substitute(s)
  • [6]
    Huan Khen KHOO
  • V KRISHNASAMI
  • Jusoh HARUN
  • Fung Lee LIM
  • Bakar ALI
  • Bakar MOHAMED (+68')
  • Abdullah RAHIM
  • Hiralal BAHWANDI
Coach
Che Din JALIL (MAS)

Kumpulan A

Pasukan Pld W D L GF GA GD Pts
Jerman Barat 3 3 0 0 13 0 +13 6
Maghribi  3 1 1 1 6 3 +3 3
Malaysia Malaysia 3 1 0 2 3 9 −6 2
 Amerika Syarikat 3 0 1 2 0 10 −10 1

[Sebenarnya pemain [5] Mohamed CHANDRAN itu adalah M. Chandran. Entah bagaimana FIFA boleh merekodkan di laman webnya sebegitu.]

Pingat emas untuk tahun itu dimenangi oleh Poland yang menewaskan Hungary 2-1. Jerman Timur dan Soviet Union berkongsi pingat gangsa setelah seri 2-2.

Demikian ceritera Olimpik saya yang manis.....

Sekarang? Tv merata.
Sekarang? Malaysia nak melawan Jerman di Sukan Olimpik? Mimpilah..... Dengan Korea Selatan, lagilah....


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails