Saya menonton Perfect Match awal pagi tadi. Tidak pasti sama ada siaran ulangan atau sebaliknya, kerana rancangan dari Tiongkok ini turut disiarkan pada waktu petang. Sebenarnya, kalau ada kelapangan dan terbuka rangkaian tv berkenaan, saya akan menonton. Isinya, kalau dinilai, lebih baik dari drama seberang, berkisar dendam, dengki serta penganiayaan kepada watak utama yang amat terlalu baik, yang berlarutan hingga 400 episod, dilangut oleh jutaan orang. Kata kawan, pernah ada rancangan seumpama ini di Malaysia, tiru atau francais rancangan itu. Entahlah. Tapi kalau bab tiru, kita memang di tahap tersendiri.....
Dua 'botak inilah yang dimaksudkan! |
Selepas itu, dipaparkan klip video pertama tentang lelaki tersebut. Hos akan memberi peluang para gadis yang belum memadamkan lampu, mengemukakan soalan kepada si jejaka atau kadangkala dua panel, yang mereka panggil cikgu akan mengomentar atau turut bertanya. Lampu di depan semua gadis berkenaan boleh dipadamkan selepas menonton dan mendengar klip video dan jawapan jejaka.
Kemudian klip video kedua akan dipaparkan. Mana-mana gadis yang masih menyala lampunya tetapi tidak menggemari jejaka berdasarkan apa yang ditonton ataupun apa yang dihurai jejaka, bolehlah memadamkan lampu.
Selepas pusingan itu, sekiranya masih ada lampu menyala bererti si gadis berkenaan berkenan dengan si jejaka dan berharap dipilih menjadi teman yang mungkin berakhir dengan percintaan dan perkahwinan.Jika ada lebih dari dua lampu yang belum terpadam, hos akan meminta jejaka berjalan bagi memadamkan lampu di depan gadis yang tidak pula menarik hatinya. Setelah tinggal dua lampu menyala, kedua-dua gadis itu akan dipanggil ke depan.dan diberi peluang untuk dipilih oleh jejaka, atau menolaknya sekiranya gadis- gadis itu bukanlah pilihannya pada awal tadi. Jika gadis pilihan awal jejaka tidak termasuk dalam dua itu, ia turut dipanggil ke depan. tetapi si jejaka akan berkemungkinan ditolak sekiranya memilih gadis itu kerana dia telah memadam lampu lebih awal tadi - bermaksud dia tidak berminat dengan jejaka.
Jika si jejaka memilih seorang dari dua yang mara ke depan tadi, mereka akan beriring keluar - tamatlah proses mencari teman/jodoh itu dengan jayanya.
Ada juga yang hingga ke akhir proses itu, pulang hampa, bukan kerana dua gadis tidak digemarinya. Sebaliknya selepas dua klip video dipaparkan dan dikemukakan beberapa pertanyaan, satu demi satu lampu dipadamkan hingga keputusannya 0/24. Dalam keadaan demikian, sendiri mau ingatla......
Siaran malam tadi, dari lima jejaka, dua pulang hampa. Seorang guru matematik yang penuh humor berusia 32 tahun, manakala seorang lagi, saya umurnya sekitar 28 tahun, tetapi kemunculannya mengingatkan saya kepada seseorang atau mungkin beberapa orang yang saya kenali.... Apa yang mahu dikatakan, kalau sudah berkait begitu....
Dia muncul berbeza dari semua jejaka yang pernah saya lihat. Hos sendiri mengakuinya. Selalunya lelaki akan muncul dengan memfokuskan pada kaki dahulu sebelum naik hingga ke muka - seluruh badan. Tetapi Awang [pastilah bukan nama sebenar] ini lain. Ditunjukkan klip video yang dilakonkannya, di mana dia bercanda di taman/tempat lapang dan di tepi tasik bersama gadis yang telah sepuluh tahun dinantinya, yang hadir dalam mimpinya, ketika dia berusia 18 tahun. Wajahnya dipaparkan tetapi wajah gadis pelakon itu dilindungkan.
Mimpi itu datang pada pukul 05:25:36 pagi! Lama dia menanti gadis itu dan berharap benar-benar hadir dalam hidupnya - 10 tahun. Dia mahu muncul di rancangan Perfect Match kerana gadis di dalam mimpi itu dilihatnya berada dalam senarai 24 peserta, dalam beberapa episod. Senarai gadis sebenarnya kekal setiap episod, cuma diganti setelah ada yang 'disunting'. Maka apabila Awang melihat rancangan di tv, nampak gadis dalam mimpinya dulu, muncul, maka dia mahu menyertai rancangan tersebut, walaupun dianggap bodoh oleh rakan-rakan.
Sebab itu kemunculannya dikatakan unik, tidak mengikut kebiasaan jejaka lain. Tidak juga ditanya siapa gadis pilihan awal - kerana pilihan hatinya telah sedia ada. Panel lelaki bertanya bagaimana dia boleh tahu waktu mimpinya hingga kepada saat. selamba saja jawapannya yang membuatkan saya tersenyum: Awang mengunci jam penggera untuk bangun pada pukul 05:30. Biasanya, dia akan mematikan jam itu selepas berbunyi selama 36 saat. Biasanya lagi, orang bermimpi lima minit sebelum terjaga......Jadi kiralah....
Setelah bersoal jawab sedikit tentang mimpi dan impiannya bersama gadis berkenaan, Awang , yang wajahnya bagi saya ada iras Dato' Lee Chong Wei edisi pipi sedikit berisi, diminta menyebut terus nombor gadis yang dimaksudkannya.
"Nombor 10!" Tegas dan yakin suara dan jawapannya.
Terpempan gadis manis putih melepak yang bernombor 10. Dia menekup mulut tanda terkejut atau terharu. Auditorium riuh. Ketika diminta menyoal, gadis itu sebaliknya menyuruh Awang meluahkan isi hatinya dahulu.
Bermula bahagian ini yang cukup meruntun hati saya.
Awang dengan selamba bercerita tentang mimpi dan penantian serta harapannya. Untuk gadis itu dia berkata,"sejak dulu, sekarang dan akan datang hanya awak kecintaan saya. Saya berjanji akan membahagiakan awak, akan bekerja keras......
Gadis bernombor 10 nampak terharu. Panel lelaki juga berkata, mungkin berdasarkan rupa paras dan penampilan yang terlalu berbeza, gadis itu terlalu 'tinggi' bagi Awang. Selamba lagi Awang menanti.
Hos bertanyakan kesudian gadis bernombor 10 untuk mengikut Awang. Si gadis mengambil masa yang lama, berfikir, mencari ayat yang sesuai. Akhirnya dia berkata, "Maaf, saya tidak sudi....." Awang tetap selamba.
Gadis itu menghargai niat Awang, tetapi tidak mungkin mencintai Awang hanya kerana mimpi si selamba itu. Mereka perlu berkenal dan memahami diri masing-masing dahulu. Ayat akhir ini sekadar melapik kata. Pasangan yang lain pun bukan terus berkahwin tetapi tetap beriring pergi - untuk berkenal dan saling memahami. Jelas, si gadis mengharapkan bukan Awang yang mengiringinya nanti....
Panel dan hos saling bergilir menyoal Awang. Semuanya secara selamba juga Awang menjawab. Dia puas kerana sudah mengeluarkan isi hatinya. Dia tidak kesal kerana telah melakukan sesuatu yang wajar. Dia merasa lega.Dia menerima hakikat cintanya ditolak
Hos yang terharu berkata, bukan semua orang mahu dan berpeluang melakukan seperti yang telah Awang buat!
Pada akhirnya, Awang mengeluarkan satu kenyataan atau kesimpulan terbaik, yang perlu kita fikirkan dan hayati. Selepas dia berkata itu, saya sebak. Teringat jejaka malang kenalan saya, teringat beberapa lagi si malang [itu hanya tanggapan orang, sedang Allah mempunyai rahsia-Nya] di tempat-tempat lain, yang kecundang dalam memasang impian indah bersama pilihan masing-masing......
Ketika Awang akan beredar, gadis tadi meminta untuk memeluk Awang. Dengan selamba, lagi, Awang melangkah menghampiri tempat gadis itu berdiri. Mereka berpelukan beberapa saat. Gadis-gadis yang lagi 23 menyaksikannya. Demikian pula penonton semua.Tidak terbilang penjuru mata insan di seluruh auditorium yang basah, namun si selamba bergerak keluar dengan tenang. Dalam temubual kemudiannya, dia mengakui hilang kata-kata untuk menghuraikan perasaan ketika si gadis impian memeluknya...
Apakah kenyataan akhirnya yang relevan dengan jejaka/gadis yang cintanya tidak kesampaian itu? Awang tidak menyebutnya sebagai ketentuan takdir. Maklumlah Awang orang Tiongkok.... Tapi susunan ayatnya cukup berkesan. Katanya:
"Menyayangi seseorang bukan bererti - semestinya - memilikinya!"
Fuhh! Selamba sungguh si Awang...... Dia mungkin membujuk hati tetapi memang pun demikian hakikatnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan