Rabu, 1 Ogos 2012

Maafkan Aku, Kerana Tamparan Itu!

1978.

Saya sedang membuat kerja sekolah. Seorang rakan yang memang selalu meminta saya merangka kerja sekolah berkaitan karangan, menghulurkan sebuah buku nota. Dia menyuruh saya membuka bahagian bertanda daun kering lebar. Dia tersenyum. "Baca dan bagi komen..." katanya.


Rupanya semuka buku itu ditulis tangan sebuah puisi. Saya membaca dan tersenyum. Ia puisi yang ditulis mengenang kematian Jo Dahlan atau Zulkifli Dahlan, seorang pelukis. Saya tidak mengenali Jo, namun dari rencana yang menyelitkan cerita kematiannya, beliau adalah anak Ustaz Dahlan, seorang yang cukup digeruni dalam serbuan maksiat di KL sekitar tahun 70-an. Ustaz Dahlan itu pun saya tidak kenal. Mungkin seorang pegawai di Majlis Agama Islam.Wilayah Persekutuan.

Baha Zain
Rencana dan puisi itu tersiar di dalam salah satu edisi majalah Dewan Sastera, ditulis oleh Baha Zain. Saya membaca puisi asli dalam majalah yang saya beli, manakala rakan saya itu mungkin menyalinnya dari majalah yang terdapat di perpustakaan. Bahasa dalam puisi belasungkawa itu cukup puitis. Sesuai ditujukan kepada sesiapa sahaja yang baru meninggal. Saya mengulang membacanya berkali-kali di rumah, lama sebelum rakan saya meminta saya membaca dan memberi komen itu. Lebih-lebih lagi kami sekelas baru saja kehilangan seorang rakan baik - Hamdan Hamid - pada 10 Julai 1978.

Saya lupa akan tajuk puisi itu, namun wajah arwah Jo yang berdahi luas dan berkemeja t berbelang kekal dalam minda saya hingga kini.

Selesai membacanya dan tahu sumbernya, saya tersenyum. Apakah layak saya mengulas puisi tulisan seorang Baha Zain yang sejak lama menjadi nama besar penyair Malaysia? Saya yakin, rakan saya akan bertanya di manakah dia menjumpai puisi itu - sekadar untuk menguji minda saya, kerana dia tahu minat saya di dalam bidang sastera walaupun ketika itu kami sedang menyiapkan diri menghadapi SPM aliran sains.

Saya menyerahkan kembali buku nota tersebut. "Mana boleh komen," kata saya, "bahasanya terlalu indah."

Rakan itu tersenyum.

"Mana hang ambik?" Saya bertanya setelah agak lama dia tersenyum begitu sambil membelek buku notanya itu. Sekadar sebuah pertanyaan basa-basi, menghormati rakan yang mula menunjukkan minat terhadap puisi.

"Aku karang petang tadi," katanya. "Sajala apabila teringatkan arwah Syeikh...."

[Syeikh adalah merujuk kepada Hamdan yang cukup berbangga dengan namanya - menyamai nama seorang tokoh pendidikan ketika itu iaitu Tan Sri Hamdan Syeikh Tahir. Dari SM Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz] hingga ke SM Dato Syed Omar, arwah cukup mesra dipanggil Syeikh].

Saya terkejut. Tanpa sedar saya bangun menamparnya! Dia pula terkejut. Saya menariknya ke luar kelas sebelum rakan lain menerpa.....

Di luar, dalam kesamaran malam, di tepi pagar menghadap bendang [ kini sudah menjadi kawasan 2 stesen minyak], saya meminta maaf dan menjelaskan perasaan. Saya cukup menyampah apabila sesiapa juga mendapat nama [apa lagi wang] bukan dari hasil kerjanya...... Mujur rakan ini faham dan kejadian ditampar itu tidak langsung menjejaskan hubungan kami selepas itu.

"Maafkan aku!" demikian putaran ucapan saya. Sebenarnya, saya berkali-kali berkata, "Aku minta maaf!". Kenapa ucapan saya diputarkan? Sekadar mengikut komersilnya sebuah permintaan......

Demikianlah.

Saya pernah menulis kepada editor majalah Dewan Siswa tatkala tersiar sebuah sajak dari pelajar dari Kelang yang menciplak sepenuhnya puisi tulisan Shamsuddin Jaafar tentang burung gagak yang lama sebelumnya pernah disiarkan di dalam majalah Dewan Sastera.

Saya pernah meninggalkan majlis bacaan puisi di Menara Alor Setar dengan radang apabila seorang membaca puisi ciptaan Lim Swee Tin di depan Tan Sri sanusi Joned [MB Kedah semasa itu] tetapi mengakui itu puisi karyanya.......

Maka apabila, tv menyiarkan drama yang diciplak oleh penulis skripnya dari karya orang lain, saya terkenang pipi rakan saya yang merah 34 tahun lalu...........

Inilah jawapan saya kepada rakan pembaca yang bertanya kenapa saya berang dengan drama Maafkan Aku itu.



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails