Ustaz Mohammad Abdullah |
Dalam kesempatan itulah, melalui siaran secara langsung terbitan TV9 dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, beliau menyarankan production house melantik panel syariah supaya skrip dan apa yang berkaitan dengannya sentiasa dipantau agar tidak menyimpang dari kehendak syarak.
Di hadapan tv mendengar jawapan dan ulasan Ustaz Mohammad itu, saya amat menyetujuinya. Memang banyak adegan dalam filem dan drama kita telah tersasar sebenarnya .......
Kebetulan pada malamnya, selepas tarawih, saya tertonton rancangan Kias Ramadan terbitan TV3. Dalam slot kendalian Zainal Ariffin Ismail itu, ada sketsa menantu yang tidak berpuasa. Dia cuba mengelak dari bersalam dengan ibu mertua yang datang secara mengejut. Memanglah niatnya supaya si mertua tidak akan terhidu bau kari di tangannya. Tetapi alasan untuk tidak bersalam itu mengejutkan saya. "Tak boleh bersalam, mak. sebab saya ada wuduk!" Demikianlah lebih kurang dialognya.
Saya terkejut. Sejak bila pula batal wuduk seseorang lelaki jika bersalam dengan ibu mertuanya? Bukankah ibu mertua setaraf dengan ibu sendiri?
Mungkin dalam keadaan gelabah menyebabkan si menantu menjawab begitu. Tetapi penulis skrip yang baik sepatutnya menulis dialog balas dari ibu mertua bahawa tidak bersalahan bersentuh tangan menantu lelaki dengannya....
Demikianlah. Jikalah ada panel syariah yang peka.....
Namun izinkanlah saya memanjangkan sedikit isu panel penilai ini.
Bukan setakat dari segi syariah dan skrip; panel juga perlu ada untuk menilai prop dalam sesebuah drama atau filem. Saya terkenang kepada satu drama menjelang merdeka yang pernah disiarkan oleh RTM. Selalunya saya akan menunggu hingga timbul credit title di hujung drama agar saya tahu siapa punya kerja dalam menghasilkan drama yang cacat. Namun untuk drama berkenaan, saya tidak berbuat demikian. Sebabnya, saya mengalami terkejut yang amat sangat! Dalam adegan orang ramai hendak berhimpun menentang Malayan Union [kalau tidak silap], terdapat beberapa orang membawa kertas putih bertulis "Hidup Dato' Onn" dan satu slogan lagi. Siapa yang tidak terkejut jika dalam cerita pra merdeka itu, kertas berwarna putih itu cantik sahaja tulisan khatnya hasil cetakan komputer!?......
Demikianlah. Jikalah ada panel yang prihatin........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan