Jumaat, 11 November 2011

U T C - Sebuah Kehilangan

Mulai 5 Nov 2011, bas henti-henti United Traction Company (UTC) telah benar-benar berhenti. Di Seberang Perai , Kuala Muda dan Sungai Petani. Kos penyelenggaraan yang meningkat antara puncanya.
Saya sayu tiba-tiba. Sepupunya di antara Alor Setar dan Sungai Petani, serta AS ke Butterwoth iaitu United Transport Company telah lama pergi, diganti Transnasional........

Perkhidmatan sejak sebelum merdeka menghubungkan antara bandar utama di Kedah dan Seberang Perai memang cukup cemerlang. Sesekali berada di SP dan bertemu bas UTC seakan terimbau masa lalu. Tapi kini bas UTC tinggal sejarah....

Tak tahu kenapa kerongkong saya senak membaca berita penamatan khidmat bas itu. Ada sesuatu yang nostalgik......

Mana mungkin kita lupa bas ekspres 516 AS- Butterwoth. Berada di stesen bas Jalan Langgar ketika itu, kami menghafal nombor laluan malah jadual perjalanan setiap bas. Pemandu dan konduktornya pun lebih 50% kami kenal!

Bas No.1 untuk Simpang Empat.

Bas No. 2 ke Sungai Petani.

Bas No. 3 setakat Gurun.

Bas No. 6 ke Pendang.

Bas No. 8 ke Tokai.

Bas No. 4, 5 dan 7 mungkin ada, tetapi agaknya dari Sungai Petani atau Gurun ke bandar lain di luar dari laluan utama AS-Butterwoth.

Demikianlah.

Namun sedikit-sedikit khidmat bas itu pupus. Paling awal bas No. 1. Mungkin kerana jarak AS-Simpang Empat agak dekat. Lagi pula bas AS-Pendang, AS-Tokai, AS-Gurun dan AS-Sungai Petani semuanya mesti melintasi Pekan Simpang Empat. Saya tak ingat tahun berapa tapi tiba-tiba tersedar bas No 1 sudah tiada.

Banyak kejadian yang tersimpan basah di ingatan dalam hal bas UTC. Namun satu yang paling basah ialah satu ketika saya kekurangan 10 sen dari harga tambang ke Simpang Empat setelah separuh hari menghauskan tapak kasut di Alor Setar. Bandar tidak sibuk hari itu. Tak ramai menaiki bas.

Saya memilih untuk menaiki bas No 8 (Tokai). Konduktornya hari itu seorang nyonya berambut keriting, sekitar 40-an usianya. Saya membayar tambang dengan beberapa keping syiling (tak ingat berapa tambangnya tapi memang tak cukup 10 sen untuk sampai ke pekan Simpang Empat). Nyonya konduktor menebuk tiket ikut nilai yang saya beri.

"Tak mau turun Simpang Ampat ka?" tanyanya ketika menghulurkan tiket.

"Taklah. Kita mau singgah rumah rumah adik beradik di Batu 6....." saya menjawab.

Kerana tak ramai penumpang, saya duduk berhampiran tangga bas sambil meletakkan dahi ke atas lengan yang melintang di bahagian penyandar kerusi di depan. Memang niat nak pura-pura tertidur sampai ke pekan Simpang Empat.

Beberapa kali bas berhenti apabila loceng ditekan penumpang. Saya masih dalam kedudukan yang sama. Bas berjalan setelah nyonya konduktor mengetuk besi penyandar kerusi dengan penebuk tiket.

Sekali lagi loceng berbunyi dan pemandu menghentikan bas. Agak lama, tidak pula terdengar nyonya konduktor memberi isyarat jalan.

"Kawan aaa. Sudah sampai. Lu tak mau turun ka?"

Rupanya dia yang menekan loceng tadi. Berpura-pura macam mengantuk, saya pun turun. Betul-betul bertentangan dengan Masjid Batu 6. Saya memandang jalan di depan. Sayup nampak pekan Simpang Empat,

Hari itu sebatu saya menapak untuk sampai ke tempat saya meletakkan basikal di pekan Simpang Empat. Sepanjang jalan saya menyumpah nyonya konduktor itu. Namun sebaik menaiki basikal ke rumah saya sedar siapa yang bersalah.

Nyonya itu mungkin sudah meninggal tapi wajah dan rambut keriting beruniform biru muda masih saya ingat. Lebih-lebih lagi bila bercerita tentang bas UTC.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 7 November 2011

Ayat-ayat dicintai---Ismail Hashim



Hari ini Aidiladha 1432. Bersendirian, dan apabila terdengar bacaan alQuran di Youtube/hajjlive tiba-tiba saya teringat kepada beliau. Lantas mencapai naskah al Quran dan menyemak juz pertama. Terbayang wajahnya, dengan songkok hitam tinggi, mengalunkan bacaan. Terkenang rumah-rumah kenduri yang menyewa pembesar suara (loud speaker) dan seperti satu kemestian memulakan hari itu dengan suaranya, "Bacaan al Quran disampaikan oleh Tuan Haji Ismail Hashim" dan bermulalah semangat kenduri itu!

Tuan Hj Ismail Hashim
adalah qari Malaysia kelahiran Yan, Kedah.Tiada duanya. Bacaannya cukup mengasyikkan. Pernah saya terbaca wawancara bersamanya di akhbar Utusan Melayu (kini sudah tiada) bahawa beliau pernah dibawa ke tempat persembunyian penyamun dan diminta diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci!

Saya antara pengagumnya. Pernah berjumpa beberapa kali, itupun setelah beliau tidak lagi menyertai musabaqah (kini tilawah) al Quran. Beberapa kali itu adalah kebanyakannya ketika beliau datang mengajar nasyid (satu lagi kebolehannya) di SMA Al Falah, Kangkong pada tahun 1983.
Kali terakhir berjumpa adalah pada tahun 1995, malam menjelang pilihanraya umum ke-9. Ketika itu beliau bersama anak lelakinya berdiri bersama orang ramai mendengar ceramah terakhir Dr Mahathir di perkarangan rumah dan kilang Mudim Zakaria , Tobiar (pengeluar kicap jenama Mudim), ketika membantu calon BN Fazil Hanafi menentang Fadzil Noor(PAS) [DUN Bukit Raya] dan Dato Othman Abdul menentang Hj Taulan Rasul [Parlimen Pendang]. Ketika majlis bersurai, saya masih ingat, ketika kami berbaris sepanjang jalan keluar menunggu PM berangkat pulang, beliau mengangkat anak kecilnya dan menunjukkan ke arah Dr M.

Ketika itu juga saya terfikir. Alangkah kecilnya beliau! Seorang qari yang terkenal di peringkat antarabangsa, hanya berdiri dari jauh untuk melihat pemimpin negara! Kalau ikut keadaan sekarang, beliau tentulah sekurang-kurangnya menjadi Dato' bergelar. Yalah, sekarang ini orang yang tidak kita kenal dan tahu sumbangannya pun mudah bergelar Dato', Datuk, atau Dato' Seri! {Beliau mendapat gelaran Datuk selepas kematiannya - 7 Ogos 1996}
Antara bacaan beliau yang paling 'lazat' dan membekas, seingat saya, ialah dari surah al Baqarah. Lagunya saya tak tahu tetapi ayat itu pernah cuba dibaca oleh beberapa qari kampung mengikut lenggok beliau. Hasilnya, 'bolehlah'. Itulah pertama kali saya cuba mencari terjemahan ayat 30 hingga 34 untuk mengetahui maknanya dan kenapa beliau membaca dengan lagu begitu. Sesiapa yang pernah mendengar tentu bersetuju bagaimana cantiknya beliau melagukan qaa luu ataj `a lufi haaaa man yuf si du fi haaaa.......[ayat 31] dan ....usjudu li aadama fasajadu illa ibliis...[ayat 34] di mana beliau berhenti pada fasajadu dan memulakan semula dari perkataan itu. Rupanya itulah cara penegasan tentang kepatuhan untuk sujud kepada Nabi Adam tetapi diingkari oleh iblis. Membaca(kemudian mengerti) terjemahan sambil mendengar bacaan beliau cukup mengesankan. Inilah indahnya tarannum.

Tiba-tiba rindu itu datang.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 4 November 2011

DG75


Armaya Aman Ramli adalah salah seorang anak arwah A R Tompel (Aman Ramli bin Jaafar). Pada tahun 1975, menggunakan nama A R Badul,beliau bergabung dengan R Jaafar untuk menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM. Mereka muncul sebagai juara dengan persembahan lawak yang bersahaja. [R Jaafar sebelum itu pernah menjadi pelakon tambahan dengan watak serius termasuk sebagai hulubalang. Tetapi kemenangan dalam pertandingan itu menenggelamkan imej serius tersebut, malah jika ditayangkan filem lama lakonan beliau, penonton tetap akan tertawa, kerana bagi mereka beliau adalah pelawak! Mereka kemudiannya ditawarkan berlakon di bawah Aziz Sattar dalam filem Si Badul [turut dibintangan oleh Mahmud June, Ahmad Jais dan Milah Hussein]. Biasalah, tengah mencanak naik nama masa itu. Macam Senario dan Sepah ketika zaman puncak masing-masing.]


Antara yang diingati tentang kelibat mereka dalam penyertaan Bakat TV itu ialah Badul yang memakai baju-t bertulis DG di bahagian depannya, dalam beberapa minggu muncul sebelum beraksi di pentas akhir. Ketika diusik oleh Jaafar, Badul memberitahu bahawa DG itu bermaksud Darah Gemuruh. Maka setiap kali melakukan silap(mungkin) dalam sketsa mereka, Badul akan mengisyaratkan ke dadanya, "Darah gemuruh", katanya dan pasti disambut dengan derai ketawa penonton. {Kenapa penonton ketawa? Entahlah, tapi tanyalah peminat Mawi (ketika zaman puncaknya), kenapa mereka ketawa dan bertepuk setiap kali artis itu bercakap hatta ketika beliau menggosok hidung kerana tak boleh spontan bercakap.}

Peredaran masa. Rupanya DG Si Badul, orang dah lupa. Yang dihebohkan sekarang ialah DG berapa gaji anda sekarang? DG 29? DG 32? DG 41 atau 44? Seperti sistem kasta pula. Kalau anda pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dengan DG 32, anda hanya mengundang sindiran jika anda ke sekolah dan menegur guru yang DGnya 41! Betulkan kalau saya silap!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Ahmad Jais Yang Saya Kenang

Mulut tak hangus berkata api
-->
Memang tak nampak sakit di hati

Dia berada tak sampai 10 kaki jaraknya dengan saya. Saya berdiri betul-betul di bahagian kanan pentas. Di tepi tiang.
Dan tidak menghalang pandangan sesiapa..Mata saya selari dengan lantai pentas. Jadi saya perlu mendongak untuk memandangnya. Berpakaian serba putih, dia menyanyi tiga lagu pembukaan. Matanya menghala ke lautan manusia di depannya. Saya tak ingat lagu-lagu itu tapi saya tahu saya turut menyanyi bersamanya secara perlahan. Bohonglah kalau peminat setia tak ikut menyanyi.

Setelah meminta izin berehat, dia kembali ke belakang pentas. Saya dan beberapa lagi rakan sebaya berkejar ke situ. Kasihan juga pada penyanyi selepasnya, yang tak kurang hebat kerana pernah memenangi Bintang Radio tapi ketika itu tiada lagu baru yang popular…..
Di belakang pentas , saya hanya melihatnya dari jarak 10 kaki juga. Kalau mendekat, tak tau nak buat apa. Dia dilihat meneguk air. Berborak dengan seseorang (mungkin promoter) agak lama, kemudian bergurau pula dengan 2 pelawak yang akan muncul di pentas. Kemudian duduk bersandar pada sebuah kerusi sambil mengikut nyanyian rakan di pentas tapi sekadar “la la la la la la…” Saya memerhati dengan penuh minat. Inilah penyanyi yang beberapa tahun sebelum itu meletup dengan lagu Seraut Wajah. Inilah penyanyi yang dijadikan contoh oleh guru BM saya, kerana katanya tak pernah dia dengar nyanyiannya ikut slanga KL.walaupun dia berasal dari dekat-dekat sane. (Cikgu merujuk kepada seorang senior yang menyanyikan lagu itu ketika Malam Pelajar sekolah)

Betapa terasa kecewa
Sampai tiada khabar berita
Sampai hati dikau kiranya
membiarkan hatiku luka
bukan
betape terase kecewe
sampai tiade khabar berite
………………………..
………………………

Anggota Orkes Chandni Batu 5 Sik, band pengiring, berehat.Mereka beratur panjang menghadapnya. Ada yang merokok sambil berbual. Turut serta penyanyi yang menyanyi selepasnya tadi. Ketika penonton disajikan lawak jenaka, saya masih di situ. Memandang wajahnya di bawah cahaya empat lima mentol 60 watt. Sebagai budak menengah rendah, saya memang tak berhajat untuk mendekatinya. Takut kalau disapanya saya, apa nak dijawab? Dia juga tak perasan akan kehadiran saya kerana sepanjang masa itu tak pernah pula matanya menghala ke tempat saya berdiri.

Selepas penonton bergelak, dan diikuti oleh sumbangan suara penyanyi tetap band, tiba giliran dia menyanyi. Saya berlari semula ke tempat di penjuru pentas tadi. Terpaksa juga menolak dua tiga kawan untuk betul-betul berada di kedudukan asal. Kali ini dia menyanyi banyak lagu termasuklah lagu terbarunya ketika itu. Setiap kali habis sebuah lagu, dia berceloteh ala kadar, tapi ada yang lucu sebab ramai orang ketawa. Boleh dikatakan semua lagu yang dinyanyikannya menjadi hafalan saya. Lalu saya ikut dalam perlahan. Hinggalah satu lagu yang tak akan saya lupa kerana ketika menyanyikannya dua baris daripadanya dia memandang ke arah saya sambil mengangkat jari telunjuk dan menggoyangkannya:

Mulut tak hangus berkata api
Memang tak nampak sakit di hati

Saya terpempan.

Saya mungkin lupa sebahagian perjalanan malam itu. Tapi perasaan saya sepanjang berjalan balik dari padang Sekolah Kebangsaan Kangkong, tak akan terungkapkan.[ Bukan tak pernah saya tonton persembahan artis lain di padang sekolah itu. Antara yang pernah dijemput promoter ialah Sharifah Aini, D J Dave, gandingan Jamali Shadat dan Hamid Gurkha. Yang pelik Noor Azizah pun pernah diundang. Pelik kerana beliau adalah pelakon yang tak pun dikenali sebagai penyanyi, Digagahinya menyanyi malam itu (sudah pastilah lagu orang kerana beliau tak penah terbitkan album) sambil menabur gula-gula Kiss Me yang pembalutnya adalah gambar wajahnya. (Adakah lagi gula-gula itu?)]

Yang nyata saya makin meminati lagunya. Dialah penyanyi tunggal yang saya ketika remaja dulu pernah menghantar kad ucapan selamat hari raya. Walau hanya ke alamat syarikat penerbit album, tapi saya puas. Puas jugalah saya dikutuk oleh kawan-kawan yang mengirim kad ucapan mereka kepada artis remaja perempuan.

Peminat dari jauh ini, akhirnya terkedu. 11 Oktober 2011. Sayu bila mendengar dj radio mengumumkan bahawa Presiden Karyawan Freddei Fernandez mengesahkan bahawa Dato Ahmad Jais telah meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un. Saya menghantar mesej kepada beberapa teman yang ‘sekepala’ meminati lagu-lagu arwah. Beberapa daripadanya seperti tak percaya.

Pertama kali kematian seorang seniman meruntun hati saya.

Mana mungkin saya melupakan lirik lagunya yang menyentuh.

Ada kisah di bibirnya
Dalam bisuan hamba mengerti


Antara dua kasih
Pilihan keluarga kauterima
Kini kubersedih
Merintih tak terkata


Hidup kita bukan untuk derita
Juga derita tidak selamanya
Usah dibuang usia yang masih muda
Agar tak kesal di hari muka


Sungguh kasihan bunga bermadu
Ditinggal kumbang sesudah layu
Inikah nasib suratan hidupmu, sayang
Sesudah layu tiada yang mahu


Jangan tergoda bintang di awan
Kalau terbitnya di siang hari
Jinak merpati makan di tangan
Jangan disimpan di sangkar hati

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 7 Julai 2011

9 Julai Yang itu


Saya teruja sungguh. Pagi itu sesi persekolahan seperti biasa. Namun hati saya bagai tak sabar untuk berada di depan tv. Inilah harinya di mana tumpuan seluruh rakyat Malaysia terarah ke Kuala Lumpur. Siaran langsung dipancarkan supaya rakyat setiap ceruk dapat menyaksikan satu peristiwa yang telah lama diuar-uarkan. Telah lama menjadi bahan bualan. Adatlah apabila ada pro dan kontranya.

Akhirnya saya meloloskan diri berada di depan tv di bawah asrama. Pemimpin yang mencetuskan idea hingga peristiwa hari itu menjadi kenyataan sedang berucap. Tidaklah terlalu panjang tapi saya rasa lambat untuk melihat natijah dari ideanya.

Akhirnya, seluruh rakyat menjadi saksi. Satu fenomena baru. Kewujudan Proton Saga. 9 Julai 1985.

Di manakah sebahagian yang pernah memperlekehkan idea menghasilkan kereta sendiri? Ramai yang dah meninggal tapi jauh lebih ramai yang berada di dalam kereta jenama itu , sama ada memandu atau tersengih-sengih menumpang!


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 15 Jun 2011

Muhammad Ali Lwn Joe Bugner



Siapa sangka Stadium Merdeka menjadi pilihan untuk pertarungan merebut juara tinju Heavyweight dunia. Namun itulah yang berlaku pada 1 Julai 1975. Saya di tingkatan dua. Masih jelas betapa hebatnya promosi perlawanan itu. Ditubuhkan Syarikat Tinju Dunia Sdn Bhd untuk mengendalikannya. Kami di sekolah setiap minggu didatangi penjual buku yang menyelitkan majalah dan makalah tentang Muhammad Ali dan Joe Bugner sebagai bahan pelaris sebenarnya.

Di akhbar, iklan semuka penuh memuatkan wajah ceria rakyat Malaysia yang telah membeli tiket untuk menyaksikan pertarungan 15 pusingan itu. Satu wajah yang kekal di memori ialah seorang muda melayu berambut afro dengan tertulis di bawahnya perkataan "Gila" bagi menggambarkan keterujaannya.

Saya tak ingat bagaimana sambutan terhadap ketibaan Muhammad Ali, tetapi tak akan melupakan imej seorang penyanyi wanita terkenal (hingga kini) menyuakan muka dicium oleh Joe Bugner di Lapangan Terbang Subang.

Pada pagi perlawanan, kami berkumpul di kantin sekolah, menghadap peti tv (terima kasih untuk Mr Looi Chee Cheong a.k.a Pak Looi, guru besar yang mengizinkannya---- kalau tidak, sepilah sekolah). Bagi kebanyakan kami, tentulah menyokong Muhammad Ali yang semua orang panggil Mat Ali. Namun kemenangan tko yang kami harapkan tidak menjadi. Terpaksa berpuas hati menang dengan kiraan mata.

Antara yang diingati sepanjang pertarungan itu ialah gelagat Mat Ali membeliakkan matanya setiap kali gadis Malaysia pembawa kad pemberitahuan pusingan memasuki gelanggang. Juga bangganya mendengar suara Datuk Zainal Alam (penyanyi lagu Susu) sebagai pengumum pertarungan dan keputusan. Rasanya itulah pertama kali suara rakyat Malaysia dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Ahad, 1 Mei 2011

Dua Khan & Orkes Chandini



Orkes Chandini, Batu 5, Sik.

Pada tahun 70-an, orang utara kalau tak kenal orkes yang satu ini, sahlah penipu besar. Kalau di Indonesia lagi dahsyat. Dikatanya munafik.

Walaupun kadangkala dipanggil ghazal parti, orkes ini amat versatile. Lagu apa pun boleh dimainkan. Lagu barat, lagu padang pasir (arab), lagu melayu dan pastinya lagu hindi.

Bagi kami, persembahan mereka sampai ke tahap hampir sama dengan muzik asal setiap lagu. Dan tak hairanlah kalau mereka pernah mengelilingi Malaysia mengiringi D J Dave menghiburkan anggota polis. Polis yang bertugas sekitar akhir 70-an pasti boleh mengesahkan tentang kewujudan projek khas menghiburkan anggota PDRM ini. Mereka jugalah biasanya dipilih jika artis terkenal akan mengadakan persembahan di utara. Masa itu mana ada minus one apatah lagi karaoke!

Penyanyinya tentulah M Nasir (bukan M Nasir yang majoriti kita fikirkan), Rohani Sopian, S Mokhtar, S Jamaluddin dan A Rahman. Masih tak akan saya lupa bagaimana terpegunnya mendengar S Mokhtar nyanyikan lagu Highway Star, lagu asal Deep Purple. Masa itu tiada siapa tahu lebuh raya maka saya fikir makna lagu itu tentang jalan tinggi di bintang!!! S Jamaluddin (pemain keyboard -- masa itu disebut pemain organ) saya ingat pernah menyanyikan lagu Duniya bi tikri (lagu arab), A Rahman, gitaris, biasanya menyanyikan lagu dari kumpulan D' Lloyd.

[Difahamkan bahawa S Jamaludin telah meninggal dunia pada awal tahun 1990-an, manakala S Mokhtar masih aktif menerima undangan menyanyi. Anggota lain Orkes Chandini tidak diketahui kedudukannya]

Namun tak akan sah jika tiada lagu hindi. Biasanya lagu jenis ini akan dinyanyikan oleh A Hamid Khan dan A Ghani Khan, dua beradik yang merupakan 'tauke' orkes ini. Kadangkala disertai adik mereka , Mumtaz. (Saya pernah dua kali menonton kelibat Mumtaz ini). Dalam waktu tertentu lagu hindi turut dinyanyikan oleh Hussin Ghulam, seorang yang terkenal di utara sebagai taukeh wayang pacak.

Namun dua Khan ini cukup diingati. Nyanyian mereka yang kadangkala diiringi tarian oleh darai ['maknyah'] amat menghiburkan walaupun seperti majoriti rakyat Malaysia, sepatah pun kami tak faham makna senikata lagu itu.

Nyata, lama sebelum 3 Khan mengungguli filem Bollywood di India, 2 Khan terlebih dahulu menjadi raja lagu-lagu hindi di Malaysia.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 22 April 2011

Juara Kugiran


Kumpulan gitar rancak (kugiran) menjadi fenomena yang menggoncang dunia hiburan pada tahun 60-an. Berpusat di Temasik, cepat pula menular ke seluruh semenanjung. Dalam kemeriahan itu, TV Malaysia telah mengadakan pula pertandingan Juara Kugiran pada hujung 60-an. Muncullah kumpulan anak muda dengan nama-nama unik memperagakan bakat bermain muzik dan menyanyi. Antara yang masih diingat ialah:

The Buglars dari Perlis dengan penyanyinya Zainal Abidin Ahmad. Masih terngiang juruacara malam final berkata ,"Jangan asyik tengok The Buglars bermain, The Buglars lain pula masuk rumah..."

De Westerlies dari Pulau Pinang, dengan lagu popular Gembala Lembu (penyanyinya Jules Oii, yang kemudiannya bersama kuartet MARJ (singkatan Mimi(Norazamimah Tahrim), Ahmad, Rahim dan Jules) menyertai Bintang RTM.

D Latinos juga dari Pulau Pinang, penyanyinya Z Mohamad, popular dengan dua lagu popular Goreng Pisang dan Kelapa Muda!

Band Titiwangsa pimpinan Tengku Idham, di mana pemain gitarnya Eddy Ham menjadi bualan hangat kerana terkena renjatan elektrik ketika bermain alat itu, sesuatu yang jarang terjadi pada zaman itu.....

Banyak lagi kumpulan dari setiap negeri termasuklah Jayhawkers. The Rezas, tapi memori saya terbatas. Namun yang uniknya setiap kugiran akan mempersembahkan lagu ciptaan sendiri.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 21 Mac 2011

M Nasir Yang Lain



Mohd Nasir Mohamad atau M Nasir bagi kebanyakan orang, adalah suami kepada Marlia Musa yang dinikahi setelah lama menduda berikutan kematian Junainah (anggota kumpulan Ideal Sisters) isteri pertamanya.

Ramai terlupa bahawa artis kelahiran Kota Singa ini, sebelum muncul sebagai trio Kembara (turut dianggotai A Ali dan S Sahlan), pernah merakamkan album Untuk Pencinta Seni berlabel Philips(Polygram) dengan nama Mohamad M N.

Namun tahukah anda sebelum kemunculan Dato' M Nasir itu, Malaysia juga pernah ada penyanyi bernama M Nasir yang lebih awal merakam album? Dialah penyanyi kumpulan Chandni dari Sik Kedah. Album iringan kumpulan yang cukup terkenal di utara itu turut memuatkan suara pasangan duetnya, Rohani Sopian. Lagu popular mereka ialah Dalam Sinar Matamu (1975) yang juga menjadi tajuk album yang diterbitkan oleh Life Records.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 11 Februari 2011

Senyum manis mak


Mak jarang menonton tv. Lebih-lebih lagilah rancangan hiburan. Entah kenapa malam itu, satu malam minggu, mak boleh pula berada di depan tv hingga habis satu rancangan yang dihoskan oleh Raja Ismail bin Raja Saat, suami penyanyi lagu asli Aspalela Abdullah.

Raja Ismail yang merupakan adik kepada pelakon Raja Hamidah (isteri pelakon dan pengarah Salleh Ghani) pernah popular sebagai Kutuk, mengambil sempena nama wataknya sebagai pelakon utama drama Si Kutuk yang disiarkan di TV Malaysia -- baca RTM(masa itu TV3 masih tak terjangkau dalam fikiran rakyat Malaysia).

Bagi yang tak kenal lagi, Raja Ismail adalah pemegang watak kaki judi yang kalah teruk ketika berjudi di kelab beca dalam filem Keluarga 69. Ingat bagaimana marahnya watak itu ketika Osman Bakar (lakonan P Ramlee) dua kali tersilap menyebut angka selepas menggoncang macam buah dadu dalam balang. 66 dikata 99, 69 dikatanya 96, hingga terpaksa tauke kelab memberi isyarat, dan akhirnya mencetuskan pergaduhan.

TV Malaysia selalunya menyiarkan rancangan berbentuk hiburan pada malam Ahad. Hiburan Malam Minggu (HMM) dan Hiburan Minggu Ini(HMI) antara slot yang diingati. Selalunya seorang penyanyi menjadi hos. Yang agak popular pernah mengendalikan hingga 13 minggu. Antaranya Dhalan Zainuddin dan (Datuk) D J Dave. Dalam rancangan itu dijemput beberapa penyanyi dari kaum lain (kira ala 1Malaysia) dan tidak ketinggalan beberapa pelawak, juga 1Malaysia. Penyanyi misalnya Albert Phang, Andre Goh, Mary Sia Ling Ling, V Sarangavani (serta adiknya V Jayanti), Roxana Islam dan Chandra Rakesh. Pelawak pula antaranya Lim Goh Poh, A R Ayappan, V I Stanley, P Paramasivam (Param), Tan Ting selain (Dato) Yahya Sulong, A R Badul, R Jaafar, Yusni Jaafar, A K Jailani dan Rohani Kassim. Turut serta adalah kumpulan penari latar yang dinamakan mengikut koreografernya seperti Normadiah, Farah Sulaiman dan Fauzi Abdullah.

Jadi, malam di mana Raja Ismail menjadi hos, saya menonton bersama mak.Tak pasti siapa artis undangan atau lagu apa yang didendangkan. Namun paling saya ingat, di hujung rancangan, berbaju melayu, bersongkok dan sambil menutup sebahagian mukanya dengan kain samping yang mulanya diselepangkan, Raja Ismail menyebut (lebih kurang) “Secantik-cantik wanita, kentutnya berbau busuk juga!”. Rancangan tamat. Saya berpaling ke arah mak kerana terdengar gelak kecilnya dan saya nampak senyum manis yang berbekas hingga kini.


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 5 Februari 2011

RTM Tetap Pilihan Utama


Haiti. 12 Januari 2010. Gempa bumi yang dahsyat pada 7 skala Richter berpusat di Leogane yang terletak 25 km dari Port-au-Prince, ibu negaranya. Kerajaan menganggarkan 316,000 rakyatnya terkorban, 300,000 lagi tercedera manakala 1000000 kehilangan tempat tinggal.

Kejadian yang bermula pada pukul 4.53 petang itu, yang diikuti pula oleh beberapa gegaran susulan dalam seminggu berikutnya,segera mendapat perhatian dunia. Pelbagai bentuk bantuan diberikan.

Malaysia tidak terkecuali. Berita tentang kejadian itu saban hari dilaporkan, mengundang rasa simpati dan insaf sekali gus akan fenomena alam ciptaan Allah ini.

Bagaimanakah anda menyebut HAITI? Lupakan dulu sebutan untuk ibu negara bekas jajahan Perancis itu.

Dalam menyampaikan berita itu, seorang pembaca berita tv1 menyebutnya HAI-TI (hi-tea?) sedangkan sepatutnya ialah HEI-TI (hey-tee).

Dalam suatu kolum sebuah akhbar mingguan, penulis pojoknya telah menghentam kakitangan RTM itu kerana tidak peka dan membuat homework, lantas mungkin menjejaskan nama baik majikannya. Banyak jugalah yang dileternya.

Saya kagum serta menyetujui omelan itu.

MESIR. 25 Januari 2011. Rakyat mula berhimpun di Medan Tahrir, Kaherah menuntut Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan yang disandangnya sejak tahun 1981, menggantikan Anwar Sadat yang mati ditembak tenteranya sendiri.

Ratusan mati dan ribuan cedera sepanjang perhimpunan hampir sebulan itu.

Sekali lagi Malaysia memerhatikan situasi itu. Berita mengenai perkembangan tunjuk perasaan
tersebut dan perkembangan semasa sentiasa dilaporkan.
Termasuk dalam laporan itu adalah tindakan dan ulasan ahli politik negara berkenaan. Antara
parti politik yang disebut ialah Ikhwan Muslimin.

Bukan sekali saya mendengar pembaca berita TV3 menyebut Ik-wan BUKAN Ikh-wan. Ini
antara huruf kaf dengan kha. Amat jauh bezanya.

Saya menunggu bilakah penulis pojok akan mengomel tentang hal ini. Sehingga kini masih tiada.

Saya berbaik sangka. Mungkin TV3 bukan pilihan penulis pojok itu. Beliau penonton setia TV1.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 6 Januari 2011

Mak dan tivi


Tidak banyak pilihan ketika itu. Sama ada TV1 atau TV2. Pukul 8.00 malam tentulah rancangan Berita. Kerana TV2 biasanya dengan berita bahasa Mandarin/Tamil, jadi TV1 sajalah yang boleh kami hadap. Selepas Berita (masa itu tak ada istilah berita mutakhir, terkini atau perdana), akan disusuli pula Ulasan Berita. Tiada pilihan, itu juga kami tonton walaupun ketika itu saya tak peduli sangat apa yang diulas. Antara penyampai slot itu ialah Hashim Embi [gambar] (meninggal pada 26 Februari 2010) dan Baharin Tahir. Saya mengagumi mereka hanya kerana mak selalu menyatakan kekagumannya.

Masa itu jarang orang berpeluang melawat ke stesen tv dan radio. Di utara hanya ada stesen radio di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Burmah, tempat itu semacam menjadi lokasi wajib bagi peserta rombongan, baik pelajar sekolah atau orang dewasa. Itu pun kena menunggu kelulusan dari pihak radio, lama sebelum rombongan pergi ke Pulau Mutiara itu. Di situ ditunjukkan bagaimana siaran radio dipancarkan dan paling menarik bagaimana pula drama radio diterbitkan. Itu sahaja. Hal-hal tentang penerbitan di tv pula, hanya orang bertuah dapat melawatnya di ibu negara.

Dengan keadaan demikian tidaklah menghairankan jika saya menyetujui mak yang berdecit-decit memuji penyampai Ulasan Berita itu. Sambil memegang beberapa helai kertas, Baharin Tahir misalnya, hanya dua tiga kali menjatuhkan pandangan ke atas skrip di tangan. Selebihnya dia merenung ke arah kamera, dan dengan lancar mengulas berita. “Kuat sungguh dia hafal…!” begitu antara kata mak dalam nada kagum.

“Tengok kertas pun sekali-sekala saja,” kadang-kadang ayah turut menunjukkan kekagumannya.

Ketika mak sihat dan hingga akhir hayat ayah, saya terlupa tentang hal ini. Ketika saya teringat kembali, sudah terlewat untuk saya ceritakan proses penerbitan tv (lebih-lebih lagi tentang keadaan dan kemudahan di bilik penyampai berita). Mungkin kerana saya tahu pun melalui pembacaan. Kalaulah saya berpeluang melawat stesen tv masa sekolah dulu, sekampung agaknya akan tahu dengan terperinci……


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails