Sesuatu yang minta dijauhi, kiranya telah melekat!
Mohd Nazmi punya keistimewaan dalam bolasepak. Dikurniakan bakat yang tidak hanya dinilai di kalangan pengendali serta peminat sukan itu di Malaysia. Nazmi berjaya menarik perhatian kelab dari Portugal - SC BEIRA-MAR. Sesuatu yang tidak terjangkau oleh ribuan remaja sebaya di seluruh negara.
Gabungan tuah, kebolehan dan kesungguhan bakal melonjakkan nama Nazmi di peringkat yang lebih tinggi. Insya Allah.
Seperti remaja lain, hati Nazmi juga tergoda untuk disayangi dan menyayangi. Dicintai dan mencintai. Seseorang gadis pasti bertakhta di hati. Demikian lumrahnya.
Sebagai peminat bola sejati, kami tidak kisah dengan siapa Nazmi bercinta atau siapa yang bertamu di hati. Kami tidak menghiraukan gosip di luar padang. Kami mahu mengikuti hanya persembahan dan perkembangan Nazmi di padang. Lainlah peminat hiburan yang sampai ingin tahu apakah jenama pewangi ketiak yang digunakan oleh idola mereka.....
Namun, mengikuti kes Nazmi membabitkan seorang bintang bolasepak negara [......] - walaupun luahan di Twitter ditarik balik - amatlah menyedihkan.
Nazmi belumpun mencecah usia dua dekad. Amatlah dibimbangi permasalahan buah hati akan memberi kesan kepada komitmen Nazmi di padang, meragut sebahagian masa untuk berkreatif melakar gerakan atau mencipta jaringan.
Kami telah melihat terlalu ramai anak muda yang berpotensi, diberikan serta menjanjikan harapan - di bidang apa pun - akhirnya terkulai dek kerana godaan cinta yang selalunya melahirkan cabaran yang pelbagai. Dalam mencari penyelesaian atau melayan kerenah perasaan, mereka selalunya terlupa betapa cepat masa berlalu. Kealpaan terhadap kerjaya sebenar memerangkap mereka.Maka, bakal bintang bertukar menjadi bekas bintang!
Semoga Nazmi dan orang terdekat sentiasa mengambil iktibar dari kejatuhan awal beberapa bintang yang pernah menjanjikan sinar indah kepada pengagumnya. Semoga Nazmi bijak mengawal perasaan dan mengetahui kehendak dunia bolasepak profesional. Kelekaan akan hanya mencalarkan peluang yang luas terhidang.
Tidak semua orang mendapat peluang itu. Hargailah.
Sebagai peminat sukan, kami mendoakan yang terbaik untuk Nazmi. Kami ingin melihat Nazmi sentiasa cemerlang dan terus menaikkan nama negara. Mencipta nama yang sama tinggi dengan bintang-bintang dari negara-negara lain.
Nazmi telah berkorban dengan meninggalkan keluarga dan kampung halaman serta keselesaan seorang remaja biasa. Nampaknya, Nazmi mesti banyak lagi melakukan pengorbanan untuk mencapai cita-cita sebagai pemain bolasepak profesional. Tidak terlalu memikirkan 'si dia' adalah satu daripadanya!
Nazmi masih muda. Si dia yang sebenar akan muncul pada masa yang sesuai. Insya Allah.
Sementara itu, jangan hampakan kami!