Selasa, 22 Januari 2013

Namamu Terukir Di Bintang Dan.... Di Hati, Uji

       


Tertulis takdir untuk Fuziah Haroun Al Rashid [Uji Rashid], penyanyi dari era 70-an. Dia tidak  berpeluang mengalunkan lagu Terukir Di Bintang di pentas Anugerah Juara Lagu meski menjadi pilihan pencipta dan penyanyi asalnya, Yunalis Zarai [Yuna].

Alasannya pelbagai. Anda cari dan bacalah di dalam pelbagai media.

Cuma penonton paling ulu seperti saya masih tidak faham.
 
Nama anugerah ini adalah Juara Lagu. Lagu-lagu yang dipertandingkan adalah lagu rakaman yang telah diterbitkan sepanjang tahun lalu.Ertinya bukanlah seperti acara pertandingan mencipta lagu dalam pelbagai tema yang hanya diperdengarkan buat pertama kali pada malam kemuncak. Bukan acara mencipta lagu kanak-kanak atau pertandingan mencipta lagu Hari Wilayah atau mencipta lagu patriotik atau mencipta lagu buah-buahan tempatan.....

Juri sudah boleh memilih atau memberi markah lama sebelum malam kemuncak itu. Cuma juri perlu hadir memilih artis dengan persembahan terbaik [ ini pun khabarnya dipilih sepenuhnya oleh penonton yang ikhlas 'menderma'....] atau vokal terbaik.

Maka, kalau suara Uji yang telah hampir 4 dekad berkumandang di udara tidak sesuai untuk pilihan juri, dia akan tewas hanya di bahagian vokal terbaik. Kalau peminat sebaya saya tidak rajin menghantar sms, Uji tidak akan pula memenangi kategori persembahan terbaik. Biarlah.

Namun, lagu ciptaan anak Malaysia yang sedang bertapak di negara Pakcik Sam itu tetap berpeluang menang di dalam bahagian perdana -  antara tiga lagu terbaik!. Takkanlah lagu yang telah berkumandang selama setahun, hanya mendapat markah pada malam itu sahaja - kalau demikian anugerahnya harus berbunyi 'Gubahan Lagu Terbaik'......

Demikianlah.

Maka, peluang yang diberi oleh Yuna itu memungkinkan peminat - bukan penjerit! - melihat Uji memperagakan bakatnya di pentas yang dikatakan berprestij itu? Ataukah, akan jatuh rating tontonan jika seorang artis veteran dibiarkan muncul membuat persembahan?

Rumah telah lama siap.

Hadapilah ujian ini, Fuziah

Apapun alasan yang telah atau bakal menyusul, namamu tetap terukir di hati kami. Malah engkau telah lama menjadi bintang!

 




Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails