Selasa, 26 Jun 2012

Sulaiman Masri Yang Selayaknya Dikagumi







 

 

 


Ketika saya terlalu muda pada tahun 1970, Rukun Negara dilancarkan. Kami diminta menghafal perisytiharan dan ikrar rukun tersebut:
  
Perisytiharan
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden:

Ikrar

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Malah ada pertandingan melafazkan ikrar rukun tersebut sebagai persediaan menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan  pada 31 Ogos 1970. Saya antara yang dipilih guru dalam tapisan akhir bagi mewakili sekolah. Saya gagal, dan paling diingat sebabnya adalah kerana saya hanya berselipar jepun ketika muncul di depan barisan juri sekolah.....

Namun tahun itu rukun negara telah meresap ke seluruh jiwa pelajar. Kami akan menjerit kuat-kuat ' Maka kami, .... setiap kali ternampak bendera Malaysia berkibar - sesuatu yang amat sukar dijumpai dipasang ketika itu. kalau ada pun , selain di sekolah, adalah di premis-premis milik kerajaan seperti klinik dan pejabat pos.

Ketika itulah, pada suatu hari saya mendengar lagu Rukun Negara dimainkan di radio. Saya masih ingat, juruhebahnya, arwah Karim Mohamad, cuba menyuruh pendengar meneka nama penyanyinya. Semasa itu bukan ada talian terus ke konti. Maka bertekaan sesama pendengar setempat. Ramai, termasuklah bapa saudara saya, yang meneka itu adalah suara A Ramlie. Suaranya 'sebiji' A Ramlie. Namun jawapannya adalah Sulaiman Masri. Menurut Karim Mohamad, Sulaiman ketika itu adalah penuntut Universiti Malaya.
Saya kagum dan setelah 2-3 kali mendengarnya, saya dapat menyanyi sebaik Sulaiman!

Sulaiman [ belakang] ketika menadi editor DM
Ketika saja menginjak remaja, Dewan Masyarakat menjadi antara bahan bacaan pilihan. Dari bacaan kulit ke kulit, saya temui nama Sulaiman Masri sebagai penolong editor majalah pilihan pelajar tingkatan enam itu.
Walaupun tanpa maklumat sahih, saya tahu itulah Sulaiman, bekas penuntut UM yang sempat merakam album suaranya bersama band The wanderers dulu. Saya semakin kagum.

Satu hari, ketika membelek-belek buku di Pustaka Union, Alor Setar, saya terpandang sebuah buku di bahagian linguistik. Hasil tulisan Dr Sulaiman Masri. Saya tahu orangnya masih sama dengan penyanyi awal 70-an tersebut. Membaca sedikit biodata di belakang buku, tebakan saya tidak meleset. Saya semakinlah kagum.

Ternyata,  Malaysia juga memiliki artis yang selayaknya dikagumi!

Berikut petikan tentang Sulaiman Masri dalam Wikipedia:

Dr Sulaiman Masri merupakan penulis tersohor di Malaysia berhubung bahasa Melayu. Beliau pernah bekerja di DEwan Bahasa dan Pustaka. Kini menjadi pensyarah di UPSI, Tanjung Malim,Perak,Malaysia.
Dr. Sulaiman Masri mendapat didikan dalam bidang linguistik, kewartawanan dan penerbitan. Pernah bertugas sebagai guru, pensyarah, perancang bahasa, dan editor. Beliau memimpin pelbagai kursus komunikasi untuk pelajar, mahasiswa dan pekerja.

Sulaiman Masri lahir di Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor pada 23hb. April, 1949. Beliau mendapat pelajaran dasar di Tanjung Karang, Selangor dan di Sekolah Menengah Alam Shah,Bandar Tun Razak.Kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya dan mendapat MA dan PhD di luar negara.

             

Penulisan

  1. Bahasa Melayu rujukan menengah ,(Sulaiman Masri, Mashudi Bahari, Juliliyana Mohd. Junid ), ,Utusan Publications, 2007
  2. Bahasa Melayu : dimensi pengajaran dan pembelajaran ,(Sulaiman Masri, Abdullah Yusof, Mohd Ra'in Shaari), , Utusan Publications & Distributors, 2006.
  3. Tatabahasa Melayu mesra pengguna (Sulaiman Masri, Ahmad Khair Mohd Nor), ,Utusan Publications & Distributors, 2006.
  4. Komunikasi pejabat : petua pelayanan pelanggan serta panduan umum penulisan memo, surat, laporan, minit, ucapan dan iklan (Sulaiman Masri, Ahmad Khair Mohd Nor), Utusan Publications & Distributors, 2005.
  5. Tuju cemerlang peperiksaan, Utusan Publications & Distributors , 2005.
  6. Kaedah penyelidikan dan panduan penulisan (esei, proposal, tesis),Utusan Publications & Distributors , 2005.
  7. Panduan belajar di universiti, Utusan Publications & Distributor, 2002.
  8. Komunikasi kewartawanan : penulisan berita, rencana dan ulasan ,( Sulaiman Masri, Razali Ayob Sulaiman Masri), Utusan Publications & Distributors, 2002.
  9. Target bestari : cemerlang peperiksaan ,Alaf 21, 1999.
  10. Tatabahasa Melayu , Fajar Bakti, 1997.
  11. Media dan komunikasi dalam Bahasa Melayu ,Fajar Bakti, 1997.
  12. Komunikasi berkesan jilid 2 : penulisan memo, surat, iklan, laporan (minit mesyuarat) ,Fajar Bakti, 1997.
  13. Penggunaan bahasa Melayu ,Fajar Bakti, 1997.
  14. Teori tatabahasa : keterbatasan dan kemungkinannya (oleh Frederick J. Newmeyer ; Penterjemah Sulaiman Masri) , DBP, c1996.
  15. Kursus amali dalam pemprosesan istilah (oleh Juan C. Sager; bibliografi oleh Blaise NKwenti- Azeh, Penterjemah Sulaiman Masri), DBP, 1995.
  16. Penulisan berita dalam bahasa Melayu ,Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  17. Inilah bahasa baku , Fajar Bakti, 1989.
  18. Sebutan baku : panduan dan senarai perkataan ,Syarikat S. Abdul Majeed , 1988
  19. Bahasa Inggeris mudah , Teks Publishing, 1986.
  20. Saripati Bahasa Malaysia , Oscar Book International, 1983.
  21. Kamus utama dengan daftar kata istilah (Penyunting Sulaiman Masri), Pustaka Zaman, 1980.
                                                                                                                            
[Selain album yang memuatkan lagu Rukun Negara, Madah Untuk Adek, Tak Guna Kata Dan Janji serta Pertemuah Di Malam Pesta itu, Sulaiman Masri & The Wanderers turut menghasilkan satu lagi album yang diisi dengan lagu-lagu Setiamu Abadi, Korban Chinta Suchi, Riwayat Lembah Pantai dan Mahsuri Malinja Ria Bahagia.]
Sayang sekali hanya sebuah lagu yang dapat dikesan. Peminat tegar A Ramlie bolehlah menilai suara Doktor Bahasa ini. Saya tidak terkejut apabila salah satu lagu nyanyiannya dicipta oleh Salamah Basiron, yang sebelumnya terkenal dengan ciptaan lagu Oh Fatimah [A Ramlie].......


                                    


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Adam Salleh Ghani: Tontonlah TV3!



Pagi itu MHI TV3 buat hal lagi. Ketidaktelitian atau ketidaktahuan?

Satu slotnya menyelitkan berita pemberian bantuan kewangan kepada artis veteran. Antara penerima adalah Dato' Yahya Sulong dan Karim Latiff. Penerima, tetapi tidak dapat hadir pada majlis anjuran sebuah syarikat kosmetik dan kesihatan bumiputera itu, adalah Seniwati Azean Irdawaty dan Latifah Omar.

Yahya Sulong adalah artis veteran yang cukup saya senangi.Paling diingati lakonannya dalam filem DaDiDu dan Talak. Pada usia tuanya, pernah di dalam satu rancangan TV1 yang dihoskan oleh Samiha Omar, saya melihat kerukunan hidupnya bersama Datin Alisah Ali. Perkahwinan yang menjangkau lima dekad itu kelihatan cukup harmoni. Jenakanya pada zaman lakunya juga cukup saya gemari. Bekas polis tahun 50-an itu juga  berbakat bermain drum. Saya pernah terbaca bahawa abangnya turut berbakat sebagai pelawak. Malangnya beliau kehilangan suara sejak muda. Abangnya pernah muncul dalam sitcom Santan Berlada pada era 80-an dulu di RTM. Menurut Yahya, jika abangnya tidak mengalami masalah pertuturan, dia mungkin lebih baik jenakanya dari Yahya sendiri. Kini beliau sendiri terlantar di rumah.


Seniman Karim Latiff pula cukup versatile lakonannya. Selain mengingatinya sebagai menantu Tompel dalam filem Ahmad Albab, saya cukup mengingati lakonan berkesannya dalam drama terbitan RTM pada tahun 70-an dan 80-an. Antaranya sebuah drama tulisan Jaafar Khan (Dato Johan Jaafar) yang menggandingkannya dengan Faezah Noor. Beliau memegang watak suami yang baran. Keberkesanan lakonannya membuatkan saya membencinya ketika itu! Kini beliau juga terlantar dan hilang penglihatan.

Seniwati Azean Irdawaty Yusoff adalah primadona layar kaca dan perak sejak era 70-an. Siapa yang boleh lupa dialog spontannya apabila diberikan anugerah dahulu: "Lihatlah dunia......!"  Pada saya, beliaulah artis pertama yang berani berambut perang pada zaman kemuncaknya. Saya terserempak sendiri wajahnya di bawah rambut berwarna itu ketika beliau melintasi Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, pada satu tengah hari. Ketika itu dia cukup popular berpasangan dengan Ahmad Tarmimi Serigar. Kini Kak Yan kita itu juga terlantar dan khabarnya tidak lagi kuat berdiri dan berjalan akibat barah payudara yang dideritainya. Rawatan kimoterapi untuknya turut meragut keceriaan pada wajahnya.


Seniwati Latifah Omar sejak lama dikenali dalam filem hitam putih. Lakonannya yang dalam pelbagai watak filem sentiasa hidup. Jelitawan era 60-an ini mudah dikenal dengan tahi lalat di penjuru bibirnya. Antara filemnya yang saya senangi adalah Bawang Puteh Bawang Merah, Chuchu Dato' Merah, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Lanchang Kuning. Beliau kelihatan secocok sekali apabila digandingkan dengan Nordin Ahmad, terutamanya dalam filem purbawara. Hanya sekali beliau sempat digandingkan bersama Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, menerusi filem Putus Sudah Kaseh Sayang.

Demikian yang boleh saya catat segera untuk keempat-empat bintang kita itu. Demikian besar nama mereka. Malangnya, untuk acara yang dihadiri artis lama dan baru itu, wartawan TV3 telah tidak teliti. Ketika ditunjukkan wajah artis yang tidak hadir kerana sebab-sebab kesihatan, pada sorotan wajah bertahi lalat milik Latifah Omar, disebutkan Latifah Ibrahim!

Ada tiga kemungkinan keana ini berlaku:
1. Wartawan keliru sebab turut berada di atas pentas adalah Dato' Khadijah Ibrahim dan kakaknya, Sofia Ibrahim.

2. Apabila disebut Latif...., dia teringat arwah Latif Ibrahim! Ini biasa, kerana ada pengulas sukan menyebut Zami Mohd Nor [ketika itu bermain untuk NS] sebagai Zami Ismail [Pak Uda], atau seorang dj menyebut Jaafar O [penyanyi era 60-an] sebagai Jaafar Onn!

3. Wartawan itu memang tidak peduli!

Maka dua hari juga sebelum mencatat ini untuk menunggu adakah pembetulan dari pihak TV3 dan paling dinanti adakah Harian Metro akan menyiarkannya cerita ini. Sekali lagi, saya pasti Adam Salleh Ghani tidak menonton TV3. Kalau tidak tentu sudah diarahnya pemberita Harian Metro menulis kesilapan itu, sebagaimana cepatnya keluar cerita TV1 tersilap menulis nama menteri dahulu.....Rujuk di sini.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 11 Jun 2012

Sam: Lara Seorang Pencinta

 

Saya membesar ketika D'Llyod cukup popular.

Petikan gitar Bartje van Houten, tiupan flut Andre Gultom, dentuman bass Sangkan Panggabean [Papang], dibantu bunyi keyboards di bawah jejari Budiman Pulungan serta ketukan drums Chairoel Daud, cukup mudah dikenal. Berdasarkan intro, kita tahu itulah D'Lloyd. Kemudian muncullah suara lunak Syamsuar Hashim [Sam]. 

Walaupun beberapa penyanyi, termasuk Alfian dan Emillia Contessa pernah merakamkan lagu Cinta Hampa, persembahan Sam dan rakan-rakan tetap paling enak didengar. Keagungan Tuhan, tetap mendayu lebih baik dipersembahkan oleh D'Lloyd berbanding penyanyi dan band lain. Juga lagu Semalam Di Malaysia. Atau lagi Khayal dan Penyair. [Tiga yang tersebut ciptaan S Effendi dan pernah dinyanyikannya sendiri]. Apa lagilah lagu asal mereka yang kebanyakannya dicipta oleh pemimpin kumpulan, van Houten. Sebut saja, pasti dengan mudah memori saya akan segera menyampaikan bagaimana intro dan lirik lagu tersebut!


Di tempat anda mungkin lain ceritanya. Tetapi bagi saya, pada peringkat remaja dahulu, muzik kumpulan itu hanya mampu dimainkan dengan hampir sempurna secara live oleh Orkes Chandini, Batu 5 Sik. Penyanyinya A Rahman, merangkap gitaris. Beliau selalunya memilih lagu Mengapa Sekejam Itu, Rambut Sama HItam [Rambutmu Rambutku] serta saduran lagu Inggeris Dance Little Lady Dance dengan antara liriknya berbunyi:
alangkah sakit hatiku
kena tipu si gadis manis
....................

Di sekolah, terutama di asrama, Sam dan D'Lloydlah artis pilihan. Semua lagu, kalau dimulakan oleh seseorang, mesti beberapa yang lain akan menyambungnya. Paling tidak, adalah hmmmmm hmmmmnya.

Bagaimanapun keenakan lagu-lagu D'Lloyd hanya terdapat pada album yang diterbitkan dengan dokongan anggota asalnya. Setelah ketiadaan Papang, Budiman dan Andre, persembahan dan rakaman semula oleh anggota baru, termasuk wanita tunggal, Yuyun, sebagai peniup flut, tidak lagi menarik perhatian saya.

Demikianlah saya mengagumi kumpulan yang asalnya dinamakan mengikut tempat kerja awal mereka - Syarikat Perkapalan Djakarta Lloyd.

Setiap perkembangan mereka, terutama ketika muncul di Malaysia saya ikuti.

Masih terbayang bagaimana dalam satu artikel akhbar berbunyi "Sam juga orang Islam" apabila ada gambar penyanyi itu dicium peminat wanita di atas pentas semasa konsert di Stadium Negara pada pertengahan tahun 70-an! Walaupun gambar bekas gincu di pipi penyanyi lain - antaranya M Rizal dan Bagio [Damasutra] pada zaman kemuncak masing-masing -  gambar Sam itu ternyata mencetuskan kontroversi. Semasa itulah. Kalau zaman ini........[Di manakah gadis yang mencium Sam ? Yang pasti kini sudah bergelar nenek!]

Paling dikenang cerita cinta hampa Sam dengan seorang gadis Malaysia... Saya ikuti dengan penuh minat cinta yang tidak kesampaian itu. Makin hiduplah nyanyiannya. Mendayu, berhiba dan terbuai rasanya.

Bagai ada pertautan ketika mendengar Mengapa Harus Jumpa

Mengapakah kita harus berjumpa
Di kala kau telah berdua
Berdosakah diriku kepadanya
Pabila aku mencintaimu

Namun kini apalah dayaku
Semua kini telah terjadi
Walaupun kau sayang kepadaku
Tak mungkin oh tak mungkin


Oh Tuhan yang Kuasa 
Berilah petunjuk-Mu
Betapa pedih kurasakan
Kasihku tak sampai

Kembalilah kau ke-padanya sayang
Biarkanlah kini kusendiri
Doaku selalu menyertaimu
Semoga kau berdua bahagia



Uuuh... uhhhh

dengan Cinta Hampa

Ibarat air di daun keladi
Walaupun tergenang tetapi
Tak meninggalkan bekas
Pabila tersentuh
Dahannya bergoyang
Airpun tertumpah tercurah
Habis tak tinggal lagi


Begitu juga cintamu padaku
Cinta hanya separuh hati
Kau lepas kembali
Nanti di suatu masa
Kau juga akan merasa
Betapa sakitnya hati kecewa
Karena cinta


Bila kau lihat pemuda yang lebih gaya
Cintamupun segera berpindah kepadanya


Tapi biarlah kau cari yang lain
Kan kau buat sebagai korban
Cinta palsu hampa
Nanti di suatu masa
Kau juga kan merasa
Betapa sakitnya hati kecewa karena cinta


dengan Rintihan Hidup
 
Mengapa terjadi di dunia ini
Derita yang pernah kualami
Mungkinkah percobaan bagi diriku
Karena dosa dan kesalahanku

Walaupun apa yang akan terjadi
Akan kutempuh juga hidup ini
Namunku harus dapat menerimanya
Biarpun sampai di akhir nanti

Hanya doa yang dapat kupanjatkan
Agar hidupku nanti kan bahagia
Oh Tuhan mengapa harus terjadi
Rintangan hidup yang kualami
Semua ini hanya datang darimu
Kurela diriku menerimanya

Kurela diriku menerimanya

diikuti Tak Mungkin

Oh tak mungkin tak mungkin aku kembali
Oh tak mungkin tak mungkin ku datang lagi
Cukup sudah kau menyakiti hatiku
cukup sudah kau berdusta padaku


Jangan kau datang lagi
Jangan kau hina lagi diriku ini
Tiada sakit hati tiada arti lagi
walaupun kau sayang pada diriku

Oh tak mungkin tak mungkin aku kembali
Oh tak mungkin tak mungkin ku datang lagi
Cukup sudah kau menyakiti hatiku
cukup sudah kau berdusta padaku

la..la.. la... la..la.. la.. la... 

atau Apa salah dan Dosaku


Haruskah hidupku terus begini
Dengan derita yang tiada akhir
Kemanakah jalan yang harus kutempuh
Agar kubahagia ..aa

Oh Tuhan berikan petunjuk-Mu
Untuk kujadikan pegangan hidupku
Apakah salahku dan apa dosaku
Sampaiku begini ......

Aku tak sanggup lagi
menerima derita ini
Aku tak sanggup lagi
menerima semuanya

Oh Tuhan berikan petunjuk-Mu
Untuk kujadikan pegangan hidupku
Katakan salahku dan apa dosaku
Sampaiku begini


dan Titik Noda

Sore itu langit menjadi gelap
Mendungpun kian menebal
Terdengar tetesan air hujan
Semua menambah kepedihan


Hujanpun turun semakin deras
Begitu juga air matanya
Dia menangis mengenangkan
Dirinya yang ditinggalkan


Kasihnya telah pergi
meninggalkan titik noda
Tinggallah dia kini
Dengan hati yang kecewa


Hapuslah air mata-mu
Jangan ditangisi kisah yang lalu
Sudah suratan ini terjadi
Jangan disesalkan lagi


Sebetulnya saya sedang mendengar lagu-lagu ini ketika mencatat di sini. Sayu mengenang lara hidup seorang yang pernah menyenangkan hati saya semenjak hampir empat dekad.

Sebelum ini, D'Lloyd kehilangan 3 anggota asal. Kini menjadi empat......Lihatlah foto di bawah. Empat dari kanan telah tiada.....
D'lloyd - Mengapa Harus Berpisah
D'Lloyd (dari kiri) :Chairoel Muluk (drums),Bartje Van Houten (gitar),Syamsuar Hasyim (vokal),Papang (bass), Budiman Pulungan (keyboards) dan  Andre Gultom (vokal,flute,saxophone).
Dia telah pergi menghadap Khaliqnya. Hari Sabtu 9 Jun 2012.

Saya membaca belasungkawanya dari ramai orang. Di akhbar dan di blog. Mungkin saya yang paling lambat. Meski tidak pernah bertentang mata, hiba tetap ada. Hanya AlFatihah mampu dihadiahkan serta doa selayaknya untuk insan muslim....

Oh Tuhan yang Kuasa 
Berilah petunjuk-Mu
Betapa pedih kurasakan
Kasihku tak sampai.......

**********************
Aku tak sanggup lagi                                       
menerima derita ini
Aku tak sanggup lagi
menerima semuanya
**********************
Oh tak mungkin tak mungkin aku kembali
Oh tak mungkin tak mungkin ku datang lagi 
**********************

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 9 Jun 2012

Nasib Johan.....

 


Kampung kami tiada bekalan elektrik. Dengan demikian, televisyen tidak mudah ditonton. Ia barang mewah kerana mesti ada generator sebagai pelengkap.

Setiap bulan Ramadhan, surau Hj Dahari (sebenarnya Hj Azhari) di persimpangan antara Permatang Ibus, Hj Kg Jamal dan Kangkong, akan menyewa tv dan generator sepanjang majlis tilawah berlangsung. Ketika itu, tilawah dikenali sebagai Musabaqah. Peringkat kebangsaan dan antara bangsa akan diadakan berturutan.


Oleh kerana diadakan pada bulan Ramadhan, kami yang tinggal jauh akan berjalan kaki ke laman surau tersebut sebaik lepas berbuka puasa dan sembahyang Maghrib. Ketika sampai, orang sedang bertarawih di surau Hj Dahari [sudah biasa disebut begitu]. Kami tidak ikut serta. maklumlah kepenatan berjalan tadi, lagi pula ketika itu seseorang yang diamanahkan, telah siap memasang generator dan tv. Kami yang di peringkat kanak-kanak akan berada di bahagian depan. Menanti siaran langsung majlis musabaqah bermula.

Ketika siaran sebenar bermula, keadaan akan kian sesak. Semua mata melekat ke skrin tv hitam putih itu. Mendengar dan melihat seorang demi seorang qari dan qariah muncul memperdengarkan bacaan masing-masing. Kami bertepuk jika wakil Kedah atau Malaysia mengambil tempat. Pada bahagian tertentu, umpamanya fasohah pada ayat yang panjang, apalagi dengan lagu yang menarik, orang dewasa akan bertempik "Allahu Akbar" atau Allah Allah". Sesekali kekhusyukan itu diganggu oleh penjual kacang putih atau maruku, yang mencelah di antara penonton menjinjing jualan mereka.

Apabila acara ditangguhkan untuk malam berikutnya, kami akan berjalan pulang beramai-ramai. Sesetengahnya sedia untuk bersahur, bimbang tidak terjaga di awal pagi......

Besoknya, rutin malam berikutnya diulangi sehinggalah malam pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah - ketika ini jumlah penonton akan melimpah hingga ke jalan raya.Semuanya berdebar dan berharap agar wakil negara akan menjadi juara. Terkadang harapan itu bertukar menjadi kenyataan. Riuh-rendahlah suasana di laman surau Hj Dahari....

Kini, semua rumah memiliki seskurang-kurangnya sebuah peti tv. Tilawah berlangsung dalam suasana tenang.Penuh warna-warni.Ada terjemahan di skrin ketika sesuatu ayat diperdengarkan.Peserta pula datang dari seluruh pelosok dunia - hatta dari Russia dan China. Mutu bacaan peserta keseluruhannya semakin baik.

Di rumah anda, berapa orang yang akan marah jika saluran yang menyiarkan siaran langsung tilawah, bertukar menjadi saluran lain oleh kesilapan satu jari menekan butang alat kawalan tv?

Zaman telah berubah. Tidak ramai yang menunggu hingga habis bacaan peserta terakhir. Malah ada yang tidak tahu adanya acara tahunan itu.........

********************************************************************************

Antara bintang dalam musabaqah ketika itu, yang saya ingat, selain The Only Dato' Hj Ismail Hashim, adalah:

Hj Abdul Majid Awang [Malaysia]
Mohamad Taghi Morowat [Iran}
Hjh Nur Asiah Ismail [Indonesia]
Hjh Faridah Mat Saman [Malaysia]
Hjh Rogayah Sulong [Malaysia]
Hjh Rodziah Abdul Rahman [Malaysia]
Ahmad Al Tarabulsi [Kuwait]
Hj Abdul Ghani Abdullah [Malaysia]

Hjh Nur Asiah Ismail [Jamil] kemudiannya terkenal sebagai penasyid [menyanyi dan mencipta lagu]. Antara lagu nasyidnya yang terkenal adalah Panggilan Kaabah, Adikku Sayang, Ciptaan Tuhan, Petani serta Al Quran.

 ... : 1982 FIFA World Cup (Italy Team Squad
Kuwait di Espana '82

Paling menarik adalah tentang Ahmad AlTarabulsi. Beliau.pernah datang ke Malaysia dalam dua acara berbeza. Selain selaku qari, beliau pernah menyertai Pestabola Merdeka bersama pasukan Kuwait. Penjaga gol kelahiran Lubnan ini kemudiannya berpeluang muncul di Piala Dunia FIFA 1982!



*********************************************************************************

 

[Berakhir sudah majlis Tilawah AlQuran peringkat  kebangsaan. Johan kedua-dua kategori akan mewakili negara pada peringkat antara bangsa kelak - dalam bulan Sya'aban nanti.


Betapa sepinya kita menyambut juara tilawah berbanding juara Mentor minggu ini atau juara Versus minggu lepas......]

*Catatan ini saya dedikasikan kepada Encik Muhammad Annuar Ghazali (Kelantan) dan Puan Che Minah Che Awang (Wilayah Persekutuan) yang bakal mewakili Malaysia. Mereka johan kebangsaan tahun ini.


******************************************************************************


Di bawah ini, satu petikan blog seorang anak muda untuk renungan kita:

 

 Isnin, 10 Ogos 2009


Ke mana Pengganti Hj Ismail Hashim



Salam sume.Terlanjur skg ni time tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa,aku ada terdengar mak ayah aku borak pasai Ismail Hasim.Diorg ckp smpai skunk ni malaysia xda pengganti beliau.Aku xtahu sape Ismail Hashim,macam mana muke ke suara ke,padahal aku da tenet kt umah.Mcm mana ari ni aku dgr mak ayah aku borak,aku pun truss la cr kt youtube.Siot xde.....aduss mane nk cr ni.Aku pon gatai tgn la g kt google cr gambar ke,mp3 Ismail Hashim ke.Tupx3 aku dpt gmbar ni.Ayah aku kt,betul la ni la gmbar beliau.Dh dpt gmbar aku pun truss kan perjuangan tuk cr mp3 beliau.Cari punya cari,aku dpt la kat IMEEN.COM(http://www.imeem.com/fauzanibrahim/music/GcfLsD_Z/ismail-hashim-al-baqarah-30-39/) xsilap aku.PEHHHHH mmg dasyat la Ismail Hashim ni.Dia pnya stly lagu mmg merdu abis,dgn suara yg agak besar gitu aku dgr,PEHHH rasa mcm bergaung mcm mane tah susah nk ckp la.Pas 2,ayah aku da bersuara kt blakang aku,Ismail Hashim 8x dh menang tilawah ni.Aku dgr cm xcaye beb,8x.Aku da terpikir gak,apsal name beliau xde dlm guinness world book of records.Rare ni nak dpt smpai 8x menang ni..Geng tok arab pun xbleh cr makan ni...Klu la korang terbuka tenet la,try la cr mp3 Ismail Hashim.Mmg best,lain dari yg lain..Malaysia book of records xsure la ada ke x..mybe ada kot..k..assalamualaikum

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails