Rabu, 28 Mac 2012

Dari Fana Ke Abadi .......




Abang Dolah dipanggil AD atau Eddy. Ahmad Dassila juga Eddy. Adik Deris juga dipanggil Eddy. Demikian popularnya. Anda pasti kenal sekurang-kurangnya seorang yang dipanggil Eddy atau AD di kalangan kejiranan atau sekitar - walau apa pun nama asal pemberian ayah bonda.

Sama seperti kita ada Bob atau Boy atau Roy masing-masing.

Kemudian ada pula AB @ Ebby @ Abby. Tak kiralah nama asalnya Abu Bakar, Ahmad Busu, Adik Bongsu dan seumpamanya.

Saya, seperti sebahagian anda, kenal dua orang bernama Abby. Satu nama asalnya ArBaiyah dan satu lagi hABsah. Kalaulah panggilan AB itu kerana ada abjad A dan B pada nama mereka, susahlah kita. Terlalu ramai yang kita kena panggil AB atau Abby. Semua yang bernama bermula dengan ABdul saja, sahihlah. Ini diikuti oleh yang lain - ShahABudin, NABil, ABrahah, AlbAB, ZainAB dan seterusnya.....

Lupakan sementara.

Habsah anak Pak Omar menggunakan nama komersil Abby Fana. Manakala Arbaiyah Abdul Manan mahu dikenali sebagai Abby Abadi.

Habsah pernah mengendalikan bual bicara Malaysia Hari Ini (Tv3) dengan rekod panjang sebagai anggota penyiaran dari RTM dan kini Sinar FM. Paling saya ingati kemunculannya berbicara dengan 2 ustaz pada waktu berbeza. Satu tentang aurat sedang beliau tidak bertudung, manakala satu lagi dengan ustaz Mohamad Abdullah yang bercerita kembaranya di bumi Rusia - tentang beberapa rakyat bekas negara komunis yang belajar Bahasa Melayu dan berbangga menukar nama kepada kemelayuan. Ketika itu saya berdoa, moga satu hari Abby Fana akan bertudung....

Doa saya dan anda dikabulkan.

Arbaiyah pula banyak yang saya ikuti di akhbar dan tv. Dari menafikan ala politikus, bertunang dengan Norman kepada keberantakan rumah tangga mereka. Paling terkenang adalah serangannya di lokasi Gerak Khas. Kemudian keintiman dan akhirnya kerenggangannya bersama aktor Zul Ariffin. Ketika mendengar dan membaca ulasannya tentang hubungan itu saya berdoa juga agar satu hari Abby yang ini pula bakal bertudung.

Alhamdulillah, sekembali dari mengerjakan umrah dua hari lalu dia diberi hidayah itu...
Sekali lagi, doa saya dan anda terkabul.

Benarlah sesudah fana barulah abadi.......

Mari kita berdoa lagi. Secara peribadi saya mengimpikan semua artis/seleberiti wanita Islam kita berhijrah. Namun bukan boleh berlaku serentak. Buat permulaan saya doakan untuk Datuk Sheila Majid dan Cheryl Samad.

Datuk Siti? Dia dah pakai pra-tudung.............
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 27 Mac 2012

Sepi kian mencengkam



Ahad lalu adalah kali terakhir coretan Tan Sri Mazlan Nordin di Mingguan Malaysia. Saya membaca kolum itu dengan rasa berbagai-bagai. Sehingga setiap perenggan saya terpaksa ulang kerana fikiran bercelaru antara catatannya dan pemergian tukang catat itu. Lebih-lebih lagi di atas kolum itu adalah tulisan ZAM (Tan Sri Zainuddin Maidin) tentang arwah.

Memang saya akui, antara bahan yang mula saya cari dalam Mingguan Malaysia setiap Ahad ialah kolum Awang Selamat, Siti Jarum serta catatan beliau. Saya tak pasti bagai mana saya akan memulakan membaca akhbar itu minggu berikutnya tanpa ruangan yang saya jadikan wajib baca itu. Sama seperti saya terasa kehilangan ruangan Jarum Emas, di akhbar Metro Ahad setelah penulisnya, Adam Salleh dinaikkan pangkat dan tidak lagi mencatat.

Saya meminati tulisan berdasarkan pengalaman, bacaan atau pemerhatian penulisnya. Dulu saya mengikuti pandangan Dato' Ahmad Boestamam (Ruhi Hayat), kemudian anaknya Rustam A Sani. Kini kedua-duanya sudah pergi.

Kepergian Tan Sri Mazlan, makin menambahkan sunyinya dunia bacaan saya....
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 22 Mac 2012

Petunjuk Ilahi

Ya Allah, petunjuk-Mu di mana-mana!

Biar dikatakan gubahan sang mahir impose, namun bersangka baiklah bahawa bentuk pohon ini bukan mustahil.

Sang mahir foto merangkap penghayat alam merakam untuk tatapan kita.

Kitalah penilai peribadi.

Akuilah kekuasaan Maha Pencipta. Akurlah pada kebesaran-Nya.

Allahu Akbar!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 19 Mac 2012

Di Luar Sana.

Terlalu kerap saya mendengar frasa di luar sana terjemahan harafiah out there.

Berkali-kali saya katakan kepada anak-anak (kerana hanya mereka yang mendengar kata saya) cuba pejamkan mata dan bayangkan kalau pengacara tv, penyampai radio dan penyanyi tidak menggunakan frasa tersebut. Apakah akan cacat ayat yang digunakan?

Peliknya pengacara tv menyebut bagi penonton tv di luar sana dalam rancangan Malaysia Hari Ini, seolah ada penonton di dalam sini!

Peliknya penyanyi yang ditemubual untuk siaran Melodi, berkata kepada peminat di luar sana sedangkan dia hanya berhadapan seorang pemegang mikrofon yang bukan semestinya peminat di dalam sini!

Peliklah lagi apabila penulis ruangan hiburan juga mencatatkan peminat di luar sana di dada akhbar seolah ada peminat di dalam kertas akhbar itu!

Cubalah wahai pengacara tv, penyampai radio, penemubual artis dan artis sendiri membuang frasa di luar sana dari ayat yang dilontarkan. Rasanya tentu lebih sedap....

Bagi penonton, pendengar dan pembaca, sebaik mendapati penggunaan frasa berkenaan, cuba ulang sendiri ayat itu dengan membuang frasa itu. Akan kurangkah kefahaman anda?

Kalaulah Adam Salleh Ghani masih menulis di Metro Ahad......
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Jumaat, 16 Mac 2012

Humajirin?


Kematian Dirang (Nurul Nadirah binti Abdullah) cukup mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Media massa memaparkan secara terperinci detik kehilangan dan penemuan mayat arwah. Sebuah akhbar secara kreatif menukilkan perbualan antara Dirang dan ibunya - hingga ada teman yang mengakui menitik air mata ketika membacanya.

Setelah mayat arwah dikebumikan siangnya(14 Mac 2012), malam itu saya menonton Buletin Utama TV3. Berita pertama adalah tentang tuntutan mayat kanak-kanak malang itu di hospital. Dengan intonasi sayu pembaca berita menyebut jenazah disembahyangkan di Masjid Humajirin ......

Saya tahu pembaca berita itu tersasul. Maksud skrip berita ialah Masjid Muhajirin. Saya tahu manusia biasa melakukan kesalahan. Namun selepas 24 jam, tiada permohonan maaf atau setidaknya pembetulan oleh stesen tv berkenaan.

Ini bukan kali pertama saya mengesan hal demikian. Izwan Azir pernah menyebut pelaburan bagi berita pelacuran pada satu edisi Buletin 1:30. Seorang lagi pernah menyebut kapal mewah terbalik kerana terlanggar tebing pasir sedangkan yang sebetulnya ialah beting pasir.

Kerana penulis pojok tidak menonton TV3, tiadalah komen tentang itu. Dan bila seorang pembaca berita RTM tidak menyebut Haiti dengan betul, beliau dan majikannya disindir....

Kalaulah Adam Salleh Ghani masih menulis pojok, tentu hal ini menjadi kupasannya.....
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 15 Mac 2012

Baling Kasut


Tak tulis bab baling kasut? Soalan dari 3 pembaca setia blog.

Baiklah.

Kami bahagikan kelompok kami kepada dua kumpulan. Campur lelaki perempuan dapatlah 5 orang satu kumpulan. Ketua masing-masing akan buat 0ne-two-som untuk mengetahui siapa yang akan mula membaling.

Satu garisan dibuat di atas tanah sebagai tempat pembaling. Pihak lawan akan berada sekitar 4 meter dari garisan itu. Tiga belah kasut kami yang sama saiz akan mereka dirikan menjadi tugu 3 dimensi!

Seorang pembaling akan membaling bebola yang biasanya dibuat dari gumpalan kertas berikat getah sebanyak tiga kali hingga tugu tadi berserakan. Peranan pihak lawan adalah mendapatkan bebola sebesar penumbuk budak itu dan membaling ke arah badan pihak pembaling. Mereka (pembaling) akan cuba untuk mendirikan semula tugu kasut itu sambil berhati-hati agar tidak terkena balingan bebola dari pihak lawan.

Sekiranya berjaya mendirikan tugu dan tidak seorang pun terkena balingan bebola, pasukan itu dikira mendapat satu mata. Jika terkena pula badan salah seorang ahli kumpulan, pihak lawan akan bertukar menjadi pembaling. Begitulah seterusnya sehinggalah terdengar panggilan dari penjaga masa - emak kami memanggil pulang kerana hari sudah senja.

Mata kemenangan akan dikira berdasarkan keupayaan setiap pasukan mendirikan tugu. Kadang-kala seri. 11-11. Atau menang 10-9 atau 9- 5 atau 15-7. Semuanya bersandarkan kepada kekuatan sesuatu pasukan atau masa permainan. Kadang kala pada hari cuti, mata di sebelah pagi dicampurkan dengan mata di sebelah petang. Angkanya mungkin mencecah 30 ke 40.

Seronoknya ketika mengelak dari terkena balingan, bola akan pergi semakin jauh. Keriuhan tidak dapat dituliskan.

Satu hal yang mungkin mempercepatkan tamatnya permainan ialah pertengkaran antara kena dan tak kena balingan. Jika keadaan tidak terkawal, ketua akan memutuskan untuk walk over sambil mengejek pihak lawan.

Esoknya kami main semula seperti biasa!

Permainan ini juga dikenali sebagai Tuju Kasut.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 10 Mac 2012

Aku Terima Nikahnya.....



Dalam rancangan Melodi minggu itu, ada dua paparan perkahwinan artis.

Satu, pernikahan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani Mohamed. Betapa disebut dengan sekali lafaz akad, sahlah ikatan mereka sebagai suami-isteri. Tahniah. Walaupun bukan wedding of the year, namun sebagai muslim marilah kita mendoakan kesejahteraan rumahtangga mereka.

Dua, pernikahan Ana Nur Hidayah Mohd Raffali dan Ahmad Aznaim Abdullah. Seperti untuk Yusry-Lisa, marilah kita mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut.

Namun yang agak musykil, hingga akhir laporan, tidak pula disebut dengan berapa kali lafaz oleh Naim barulah sah Ana menjadi isterinya. Sedangkan menurut laporan akhbar, lafaz Naim juga hanya sekali.

Takut juga kalau sesiapa yang sumber ilmunya hanya dari Melodi, akan terfikir mesti suami Ana lafazkan banyak kali, sebab itu tak disebut.....

Teringat lagu Yuna:
ini tidak adil
tidak adil baginya......

Kalaulah Adam Salleh Ghani masih menulis pojok.....
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 8 Mac 2012

Eja Betul-betul


Siti Shariza Saifuddin.

Saya mengaguminya. Tidak hanya pada perawakan atau lakonannya.

Ketika facebook seperti rukun kepada artis untuk mempromosi diri dan mencipta kontroversi, beliau mengakui tiada akaun. Jadi tiada kepeningan baginya untuk mengemaskini atau menjawab apa-apa. Saya membayangkan betapa damai kehidupan artis ini bersama suami dan anak-anak.

(Saya masih kagum dengan 2 orang di Pulau Pinang: Dr Dzulkifli Abdul Razak dan S M Mohd Idris. Dr Zul (ketika itu Naib Canselor USM, kini berjawatan sama di Albukhary Internasional University) adalah anak kepada pelajar di Jepun yang terselamat ketika bom atom meledak di Hiroshima , Cikgu Abdul Razak, manakala Mohd Idris adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Kedua-duanya mengaku tidak pernah ada telefon genggam!)

Terkini, ketika muncul dalam sesi temubual bersama akhbar Utusan Malaysia (6 Mac 2012), beliau mengakui agak selektif memilih skrip dan watak. Dan yang paling mengesankan, beliau menyatakan:

........pemikiran peminat dan penonton hari ini sudah jauh berbeza apabila mereka mampu menilai serta mengkritik apa sahaja yang ditonton dengan pantas.

"Bukan hanya filem tetapi begitu juga dengan drama. Tawaran memang banyak tetapi ada kalanya saya begitu sedih dengan skrip yang tidak begitu realistik.

"Saya tidak kisah dengan apa-apa watak termasuklah menjadi ibu. Asalkan ia mencabar dan memberi kelainan, itu sudah memadai buat saya.

"Tetapi, kalau watak ibu yang berusia pertengahan tahun 30-an tetapi mempunyai anak yang umurnya awal tahun 20-an, bukankah itu sesuatu yang tidak logik? Saya sendiri tidak akan menerimanya walaupun watak itu cukup mencabar.

Teringat, baru baru ini, saya melihat isteri baru Joey , Watie, berlakon sebagai ibu tua dengan rambut beruban dalam sebuah drama. Umur pelakon yang menjadi anaknya?........

Saya kian mengagumi Siti Shariza. Nyata dia artis yang cerdik. Spesies yang amat kurang dalam komuniti hiburan.

*foto dari www.budiey.com


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails