Jiran seberang menyebutnya Sepakbola.
Tosah gaduh. Jangan gaduh. Jangan sesiapa tukar ikut jiran pula. Nanti tak pasal-pasal kedutaan kita di sana terpaksa hadapi demo, macam kes popia serta kes lain sebelumnya.
Baiklah. Bolasepaklah yang terus kita guna.
Malam ini Liga Super Malaysia meneruskan aksi. Tentu hebat. Maklumlah namanya pun SUPER. Di England pun ada setakat Liga Premier...
Selain permainan itu sendiri, ada dua lagi hal yang menarik perhatian saya.
Pertama, ulasan komentator di tv.
Kedua, ulasan jurulatih pasukan yang kalah.
Lupakan dulu hal pertama itu. Suka atau tidak, saya rasa belum ada pengulas sehebat Allahyarham Dato Hj Hasbullah Awang dan generasi terdahulu - Dato Rahim Razali, Aziz Ibrahim, Bahrin Tahir dan Zulkarnain Hassan.
Saya mahu terus kepada hal kedua.
Sejak lama, apabila kalah, pengurus atau jurulatih pasukan yang kalah akan memberikan pelbagai jawapan jika ditanya wartawan.
Saya berikan lima yang biasa.
i] Kami tidak bermain pada tahap sebenar.
ii] Pengadil telah merampas kemenangan kami.
iii] Jadual perlawanan amat ketat.
iv] Demikianlah bolasepak. {Ada kalah dan menang}
v] Keadaan padang yang tidak memuaskan.
Saya tak mahu kata apa-apa pada empat yang awal. Itu cukup biasa, mengikut tahap dan taraf perlawanan.
Yang luar biasa itu adalah pada yang kelima [terakhir].
Saya nampak macam kampungan sedikit bunyinya. Tidak profesional langsung.
Kampungan, sebab saya pernah mendengar ulasan itu di peringkat kampung sahaja.
Tidak terjangka di peringkat Liga Super, akan ada jurulatih [import pula] memberikan jawapan sebegitu, apabila pasukannya kalah.
Saya teringat pada perlawanan peringkat kampung satu masa dahulu.
Apabila pulang dengan kekalahan, seorang tua bertanya punca kegagalan itu, sedangkan dilihatnya pasukan kampung itu berlatih sakan setiap petang, dan menang dalam beberapa perlawanan terdahulu.
Maka dijawab oleh seorang bintang kampung, " Macam mana nak menang, main tengah bahang panas....."
Soalan orang tua itu seterusnya, "Lawan hangpa tu pulak main dalam redup ka?"
Terkedu si bintang.
Berbalik kepada Liga Super Malaysia.
Jika jurulatih import yang sama masih memberikan jawapan serupa andai pasukannya kalah lagi nanti, sila kemukakan soalan ini: Pasukan lawan main di padang lain ka...?
Hehehe.
Apa yang direpekkan ni?
Entahlah....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan