Saya menggemari kuliah Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki baik di tv, Youtube, vcd serta secara langsung ketika di Masjid AlBukhori, Alor Setar.
Bersahaja dia mengupas dan memperinci persoalan. Wajahnya serius tetapi ada sesekali dengan ungkapan sinis berbaur lucu menegur atau berkisah tentang sesuatu. Namun lucunya tidaklah sehingga mengundang dekahan tawa audien seperti yang dihidangkan oleh beberapa ustaz popular di kalangan masyarakat kita kini. Memadai dengan senyum terpukul.....
Hari ini, paling saya terkenang bagaimana Syaikh berasal dari Banjarmasin, Kalimantan itu bernyanyi di dalam satu kuliahnya di TV AlHijrah tidak lama dulu. Ketika itu, beliau berkisah tentang kekhusyukan di dalam solat.
Beliau menyanyikan dua rangkap lagu yang sejak lama saya pernah dengar dan ikuti perlahan... Sebuah lagu saduran dari lagu dalam filem Hindi - Sasural - yang dihasilkan setahun selepas kelahiran Syaikh (1960)....
Tajuk lagu asalnya Teri Pyari Pyari Soorat Ko. Tidak diketahui siapa yang mula merakamkan lagu saduran tersebut, tetapi besar kemungkinannya penyanyi dari negara asal Syaikh, kerana saya pernah mendengar versi itu. Namun setakat ini carian dari Youtube cuma menemukan hasil nyanyian penyanyi yang mendapat jolokan Mohd Raffi Singapura - Hussien Marican. Syaikh berkata bahawa penyanyi yang dilihatnya itu sampai berlinang airmata tatkala mendendangkannya - suatu tanda penghayatan yang baik.
Lagu berkenaan adalah Bunga Hati.
Mendengar lantunan lagu darinya, saya terkedu. Tidak sangka Syaikh berusia 53 tahun itu mampu mengingat liriknya dengan jelas, terutama pada bahagian:
walau berjuta bunga indah
datang menggoda dan merayu
untuk memikat diriku ini
tak mungkin kuterpedaya
kerana cintaku kepadamu
sungguh suci dan mulia
duhai kasih......
Khusyuk serta kesungguhan dalam solat, kata beliau, seperti lirik lagu itulah, tidak peduli apa yang lain - godaan apa pun. Siap menangis lagi.....
Sejak itu minat saya untuk mendengar kuliah Syaikh - yang dahulunya, kerana tidak jemu mengajar penuntut Nusantara, terutamanya,semasa di Universiti Al Azhar itu sehingga digelar Azharuth - Thani, yakni Al Azhar Kedua - semakin mendalam. Beliau terbukti luas pengalaman serta bijak menyesuaikan diri untuk mudah difahami bicaranya.....
Bukan satu jalan untuk menyampaikan ilmu.......