Rabu, 26 Jun 2013

Pada Sebuah Nama

Hak Kelima  binti Yahya.
Pernah saya terjumpa nama tersebut di dalam sebuah buku penyata mesyuarat agung sebuah persatuan, lama dahulu. Ada beratus nama lain, namun nama yang satu itu sahaja yang saya ingat sampai kini.
Lama dahulu, saya juga pernah mendengar lagu Arab dalam persembahan ghazal parti dan penyanyinya bernama Tempawan Yahya.
Baru-baru ini, ketika mengunjungi sebuah kiosk Petronas di selatan Alor Setar, saya terbaca tanda nama pada baju seorang pekerjanya – Aduka. Segera nama itu mengingatkan saya kepada watak di dalam filem Semerah Padi  arahan P Ramlee. "Saiful Aduka." kata anak muda itu apabila saya tanyakan nama sebenarnya. Dia tersenyum. Pastilah saya bukan orang pertama berminat dengan nama di dadanya itu....

Unik sekali nama-nama tersebut.
Sejak lama saya cukup suka membaca senarai nama untuk mencari keunikan. Nama orang Melayu di Malaysialah. Kalau nama orang Uzbekistan, Tionghua, India, Jepun  dan lainnya tidak payahlah. Demikian juga kalau nama samaran…..
 
Pernah sekali – dalam tahun 1973, kalau tidak silap – Paktam saya yang sedang berkursus tiga tahun di Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Selangor, membawa pulang dua buku cenderamata bagi dua perlawanan bolasepak. Satu, perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Selangor dan Terengganu. Kedua, kejohanan bolasepak MSSM.
Di dalam buku pertama tidak banyak nama disenaraikan – hanya pegawai dan pemain kedua-dua pasukan serta nama AJK beberapa pihak yang terlibat mengendalikan final di Stadium Merdeka itu. Semua nama saya baca. Memanglah saya kenal beberapa nama besar di dalam kedua-dua pasukan tersebut – Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, R Arumugam, Haron Jusoh, Sulaiman Rejab – namun saya tidak lupa nama Mohd Nor Botok. Bagi saya ketika itu, BOTOK [bukan botox] adalah nama unik, kerana di Kedah nama itu bersangkut dengan bentuk kepala – kalau tidak disebut kepala DONGGA [anda tahu maknanya?], disebut pula kepala BOTOK, dengan huruf K itu bukan QAF dalam ejaan jawinya tetapi menghampiri kepada huruf  ‘AIN. Nama pemain lain yang beraksi pada final itu tetapi tidak pernah mewakili Malaysia terus hilang dari ingatan……
 
Di dalam buku kedua, ada senarai pemain dari pasukan semua negeri. Setiap pasukan  sekurang-kurangnya menyenaraikan 18 pemain. Semuanya saya baca. Cuma dua nama yang saya ingat. Kebetulan, kedua-duanya dari pasukan Terengganu.
Pertama, Yunos Aliff kerana dia kemudiannya menjadi penyerang berkaliber negara, selain mempunyai abang yang juga terkenal di bidang bolasepak, iaitu Abdah Aliff [segenerasi dengan Mokhtar Dahari & Geng]. Yunos pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan bolasepak di dalam Liga Super.
Nama kedua yang saya ingat adalah Dingka Yutoh. Dia tidak menonjol seperti Yunos di persada bolasepak negara. Tidak diketahui perkembangan terkini beliau yang mungkin berusia sekitar 57-58 tahun. Namun nama itu tetap saya ingat sejak 40 tahun dahulu!
 
Awang Had Salleh
Saya terpikat pada nama Dr Awang Had Salleh, seorang profesor dan penulis buku ilmiah. Seorang anak perempuannya, Azlina, pernah menjadi pembaca berita di NTV7 sebelum stesen itu bergabung di dalam Kumpulan Media Prima. Adiknya pula, Dr Samad Salleh, bekas pensyarah di USM yang aktif berlakon drama tv dengan imej misai tebalnya. Saya sempat membeli dan membaca novel karangan Awang Had yang bertajuk Biru Warna. Pernah juga membaca tulisan memoirnya yang menyebut betapa beliau menangis – ketika cerdik sedikit – mengenang namanya yang lain dari adik-beradik dan kawan-kawan!
Triana Yul
Di RTM dahulu, saya terpesona pada nama Helan Abu dan Nornikman Dadameah. Di TV3 dulu – kini di NTV7 – ada Ras Adiba Radzi. [Ras Adiba mempunyai seorang adik bernama Ras Alita]. Stesen tv swasta pertama di Malaysia itu juga mempunyai pembaca berita, Triana Yul atau nama penuhnya, Praevitriana Yuliawiratman, tapi ini nama Jawa. Biasalah. Herman Tino itu pun nama pentas untuk Masron Tamsi…….
 
Rabuan Pit
Saya ingat nama Basri Kerana Jemadi – seorang ahli binabadan pada tahun 70-an. Lama sebelum Jehan [yang kini beristerikan wanita Korea] muncul di dalam drama tv, saya tertarik pada nama penuh kakaknya, atlet gimnastik negara, Faiznur Miskin. Demikian juga dengan nama Rabuan Pit – pemenang pingat emas 100 meter Sukan Asia 1982 di New Delhi serta dua beradik atlet sezamannya, Thalatha dan Ithnin Mahadi [pelari berpagar 110 meter].
 
Demikianlah.
Makndak saya tinggal di sebuah kampung di pinggir bandaraya Alor Setar. Suatu hari dia menyebut satu nama anak jirannya. Saya bertanyanya dua kali bagi memastikan nama tersebut memang benar dan apabila disahkan, saya bertanya pula adakah itu nama samaran?  Makndak menafikan malah menyebut lagi tiga nama anak jiran tersebut yang cukup unik.
Nama empat beradik itu, khabarnya diberikan oleh datuk mereka, ialah Nuri Merindu, Bayan Merayu Jeragan Budiman dan Samantra Beradu…….. Seorang sahaja perempuan.  Nama ayah dan datuk mereka juga sama unik dan klasiknya.
Sebagai peminat nama klasik begitu, segera saya menyimpannya di memori. Sampai kini nama mereka saya ingat walaupun tidak pernah sekali kenal dengan wajah pemilik nama tersebut.
 
Pasti ada sebab-sebab tertentu menamakan anak dengan nama seunik itu, namun saya kagum dengan keberanian pemberi nama berkenaan. Bukan senang sebenarnya berhadapan dengan pandangan dan tanggapan masyarakat. Si pembawa nama tersebut pula, sepanjang hayat mereka - baik di sekolah, di klinik, di kaunter pendaftaran hatta di depan kadi - hinggalah ke upacara pembacaan talkin untuknya, akan dipanggil dengan nama itu.....
 
Anda berani?

Tiba-tiba saya teringat pada dua watak dalam drama pentas tulisan Dinsman [Che Shamsuddin Othman] pada tahun 70-an dahulu. Seorang bernama Sa manakala pasangannya bernama Di. Tajuk drama tersebut? Di Pulau Sadandi!


 

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

2 ulasan:

zulhisham mohd berkata...

Dingka Utuh sekarang berjawatan tinggi dalam pasukan Polis di Sabah ..senior saya masa di Sekolah menengah ibrahim sp, tak pernah jumpapun cuma kenal nama beliau dalam Majallah sekolah

Usop Lobe berkata...

Terima kasih En. Zulhisham. Sememangnya nama beliau unik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails