Saya membesar semasa Ahmad Jais sudah popular. Saya meniti usia dewasa ketika nama Sudirman melonjak. Jadi janganlah hairan jika lagu-lagu mereka berada elok di memori saya, walaupun bukan sampai ke tahap hafiz. Senikatanya saya ingat betul.
Jadi marahlah saya jika ada penyanyi yang menyanyikan semula lagu mereka, seperti tidak peduli tentang senikata. Seperti tidak ada kesungguhan dan menganggap asalkan nyanyi, cukuplah. Ketika diundang oleh mana-mana stesen tv, anggaplah diri anda bertuah dan gunakanlah peluang itu sebaiknya, sebab berduyun-duyun lagi yang menunggu peluang sebegitu.
Baru-baru ini RTM mengadakan konsert Budi Setahun Segunung Intan bagi mengenang Datuk Ahmad Jais. Alyah muncul menyanyikan lagu Seraut Wajah tanpa penghayatan lalu terbabas liriknya. Saya yang mulanya mengikut dalam hati, tersentak. Lagu ciptaan M Faris (1974) itu hilang indahnya di mulut Alyah.
Malam tadi, TV3 pula mengenang Datuk Sudirman di pentas fun fair bernama Konsert Jom Heboh. (RTM mengenang 20 tahun pemergian arwah 2 malam sebelumnya dengan konsert orkestranya)
Sekali lagi Alyah bertuah. Dipilih bersama beberapa artis yang tak berkesempatan melihat aksi live Sudirman. Antaranya beliau nyanyikan medley Milik Siapakah Gadis Ini dan Terasing. Siapakah yang memilih lagu pertama itu, saya tak tahu. Bila seorang wanita menyebut lama sudah kunantikan gadis sepertinya, saya rasa lain macam. Dalam lagu kedua, Alyah hilang di hujung korus - kau takkan kembali..............lupa atau tak mampu dengan nada tinggi...
Seorang lagi penyanyi lelaki pula terbabas ketika menyanyikan lagu Mat Disko. Isteri rasa tak sabar diganti untuk hero tak putus asa sebelum dibetulkan pada ulangan selepas korusnya.
Tertanya-tanya kenapa TV3 mengabaikan Kenny Lee yang digelar Sudirman Melaka kerana konsert itu diadakan di Melaka. Pada 22 Februari, MHI TV3 boleh pula memanggil penyanyi itu sempena 20 tahun kita kehilangan Sudir. Rasanya nyanyian Kenny lebih enak, baik untuk lagu-lagu arwah.
Teringat saya pada tahun 70-an, Che Shamsuddin Othman (Dinsman) penulis drama Bukan Bunuh Diri dan Ana ditanya kenapa dia tak menonton drama tv lagi. Beliau menjawab (lebih kurang)," Drama adalah sesuatu yang kita sayang, tetapi kalau yang kita sayang itu dibuat cincai, baik kita tak usah tengok!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan