1978. Setiap hujung bulan, kami yang berulang alik dengan menaiki bas ke beberapa sekolah sekitar Alor Setar akan pergi ke bahagian pentadbiran syarikat bas United Transport Company (UTC). Tujuannya tidak lain: menempah tiket bulanan bas. Pejabat terletak di bangunan bahagian belakang Stesen Bas Jalan Langgar.
Kami, pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Maktab Mahmud, SM Dato Syed Omar, SM Sultanah Bahiyah, SM Keat Hwa dan lainnya akan mendaftar nama dan destinasi perjalanan dari tempat kami ke Alor Setar. Ada dari Pendang, Simpang Empat, Gurun, Kota Sarang Semut dan Tokai serta sepanjang jalan dari pekan-pekan kecil itu.
Kemudian nama kami dipanggil. Bayaran dijelaskan dan diberikan sekeping sebesar tapak tangan. Seingat saya kalau dari Simpang Empat bayaran bulanannya adalah tujuh ringgit. Dapat saja kad, terus turun dari pejabat itu dengan lega. Lega, antaranya kami boleh keluar ke Alor Setar pada hari Jumaat/Sabtu tanpa perlu membayar tambang! (Tidak hairanlah Alor Setar dimeriahkan oleh pelajar setiap hari tersebut. Tak ada sesen pun, masih boleh ke pekan, lagi bagus kalau ada 25 sen. Cukup untuk menonton wayang di Panggung Royal [tapak bangunan Alor Ria kini]!)
Satu keistimewaan ketika membeli kad itu ialah kami boleh meletakkan sebarang nama, walaupun ada peraturan di belakang kad tertulis TIDAK BOLEH DITUKAR MILIK! Maka ketika kad akan dikeluarkan, nama yang kami pilih itulah bakal dilaungkan kerani UTC. Selalunya, kalau tidak gunakan nama sendiri, kami gunakan nama bintang sukan atau artis popular tetapi yang sebangsalah. Tak adalah nama mat saleh atau sebagainya.
Satu hujung bulan, kami terkejut. Kerani UTC pun pening agaknya. Mana tidak jika beberapa orang pelajar mempunyai idola yang sama. Namun si kerani cekap juga. Akhirnya dia buat keputusan memanggil nama dengan sedikit tambahan berdasarkan tempat tinggal pelajar. Maka dilaungkanlah,
"Latiff Ibrahim Gurun!!"
"Latiff Ibrahim Batu 16!!"
"Latiff Ibrahim Batu Lapan Tokai!!"
Demikian betapa terkenalnya Latiff ketika itu (berusia sekitar 27 tahun). Malam ini, sebaik terdengar berita kematiannya di tv, fikiran saya menerawang ke era itu.
Banyak juga yang melintas selain bab tiket bas bulanan.
Seingat saya Latiff lebih dulu dikenali sebagai pelakon kerana dalam filem Hapuslah Air Matamu, lagu melatari kekecewaan watak yang dibawanya dinyanyikan oleh Deddy M Borhan, sang produser. Kemudian baru dia muncul dengan suara jantannya (meminjam kata penerbit albumnya, Ahmad Nawab), menerusi EP Mengenang Dikau Kembali.
Masih segar di ingatan beliau muncul menjadi hos rancangan Hiburan Minggu Ini di RTM. Artis jemputan antaranya ialah seorang penyanyi Cina yang dikatakan mirip wajahnya (malangnya ingatan saya kering tentang namanya!), pelawak R Jaafar dan seorang artis baru. Ketika diumumkan nama artis baru itu, R Jaafar bersahaja berkata, " O, adik abang(Latiff) ya?" Latiff tersenyum. Artis itu adalah Khadijah Ibrahim!
Latiff meninggalkan kepada kita antaranya lagu Teraju Negara, Pilihlah Aku, Nora, Manis Kata Di Bibir Saja, Tak Tahu Apa Sebabnya, Dalam hati Tertanya-tanya dan Mengharap Kasihmu di samping lagu istimewa (bagi saya) hasil paduan suaranya bersama M Rizal (Juara Bintang RTM 1978) dan S Rohani menerusi Usah Kau Rayu Padanya serta hasil lakonan dalam filem Sumber Ilhamku, Hapuslah Air Matamu, Senja Merah, Bintang Pujaan, Dendang Perantau dan lainnya.
Latiff bersih dari gosip dan kontroversi walaupun ketika kemuncaknya dia masih sebaya idola anda sekarang. Mungkin rahmat dari perkahwinan ketika usia muda (isteri setianya Masria dinikahi ketika beliau belum terkenal dan sering dibawa ke mana-mana aktiviti seninya). Satu hal yang agaknya perlu dicontohi oleh artis dan bakal artis.
Beliau telah dijemput Allah. Semoga rohnya dirahmati.
Latiff Ibrahim Tokai, Latiff Ibrahim Pendang, Latiff Ibrahim Gurun dan lainnya, yang berpusu-pusu menaiki bas UTC dan bersama menduduki SPM 1978, di manakah anda kini? Satu hal yang perlu kita ingat: kini kita sudah pun melepasi 50 tahun usia......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan