Selasa, 28 Februari 2012

Alyah & Geng, tolong serius!


Saya membesar semasa Ahmad Jais sudah popular. Saya meniti usia dewasa ketika nama Sudirman melonjak. Jadi janganlah hairan jika lagu-lagu mereka berada elok di memori saya, walaupun bukan sampai ke tahap hafiz. Senikatanya saya ingat betul.

Jadi marahlah saya jika ada penyanyi yang menyanyikan semula lagu mereka, seperti tidak peduli tentang senikata. Seperti tidak ada kesungguhan dan menganggap asalkan nyanyi, cukuplah. Ketika diundang oleh mana-mana stesen tv, anggaplah diri anda bertuah dan gunakanlah peluang itu sebaiknya, sebab berduyun-duyun lagi yang menunggu peluang sebegitu.

Baru-baru ini RTM mengadakan konsert Budi Setahun Segunung Intan bagi mengenang Datuk Ahmad Jais. Alyah muncul menyanyikan lagu Seraut Wajah tanpa penghayatan lalu terbabas liriknya. Saya yang mulanya mengikut dalam hati, tersentak. Lagu ciptaan M Faris (1974) itu hilang indahnya di mulut Alyah.

Malam tadi, TV3 pula mengenang Datuk Sudirman di pentas fun fair bernama Konsert Jom Heboh. (RTM mengenang 20 tahun pemergian arwah 2 malam sebelumnya dengan konsert orkestranya)

Sekali lagi Alyah bertuah. Dipilih bersama beberapa artis yang tak berkesempatan melihat aksi live Sudirman. Antaranya beliau nyanyikan medley Milik Siapakah Gadis Ini dan Terasing. Siapakah yang memilih lagu pertama itu, saya tak tahu. Bila seorang wanita menyebut lama sudah kunantikan gadis sepertinya, saya rasa lain macam. Dalam lagu kedua, Alyah hilang di hujung korus - kau takkan kembali..............lupa atau tak mampu dengan nada tinggi...

Seorang lagi penyanyi lelaki pula terbabas ketika menyanyikan lagu Mat Disko. Isteri rasa tak sabar diganti untuk hero tak putus asa sebelum dibetulkan pada ulangan selepas korusnya.

Tertanya-tanya kenapa TV3 mengabaikan Kenny Lee yang digelar Sudirman Melaka kerana konsert itu diadakan di Melaka. Pada 22 Februari, MHI TV3 boleh pula memanggil penyanyi itu sempena 20 tahun kita kehilangan Sudir. Rasanya nyanyian Kenny lebih enak, baik untuk lagu-lagu arwah.

Teringat saya pada tahun 70-an, Che Shamsuddin Othman (Dinsman) penulis drama Bukan Bunuh Diri dan Ana ditanya kenapa dia tak menonton drama tv lagi. Beliau menjawab (lebih kurang)," Drama adalah sesuatu yang kita sayang, tetapi kalau yang kita sayang itu dibuat cincai, baik kita tak usah tengok!!

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 25 Februari 2012

Runika - Isteri Mohd Nor Shamsuddin


Saya mengagumi Rosyam Nor. Semangatnya hingga menjadi pelakon dan produser/ahli perniagaan berjaya, sepatutnya melayakkan beliau menjadi ikon atau motivator kepada ramai pak pacak dan mak tenggek dalam industri hiburan Malaysia. Bermula betul-betul dari bawah dan mempelajari selok-belok pengeluaran hasil seni dan perniagaan, Rosyam tidak pernah khayal dengan kejayaan. Tidak pernah terpalit dengan gosip nakal atau sengaja mencipta kontroversi.

Keharmonian rumahtangganya terjaga walaupun kita hanya mendengar dari jauh. Tiada cerita tentang keluarganya di media. Malah tidak pernah kenal wajah isterinya Runika Mohd Yusof. Yang kita tahu namanya bersama Rosyam muncul selaku penerbit dalam produksi Suhan Movies (syarikat yang asalnya milik Panshah(Berjaya Film), tempat Rosyam bertatih belajar).

Kelmarin, saya terjumpa imej Rosyam dan Runika dalam blog www.budiey.com. (Terima kasih Budiey Isma). Saya tunjukkan pada isteri dan seorang anak. Mereka tenung lama tapi sekadar kata "ooo" dan "cantik".

Sedangkan saya terimbau sesuatu. Terbaca atau terdengar cerita Rosyam. Katanya dia meminati kumpulan Search. Terpesona dengan lirik lagu Rozana yang ketika itu baru dihasilkan. Kerana buah hatinya , ditukarnya judul lagu itu menjadi Runika. Dia menulis semula dan menyerahkan kepada Runika, seperti kekasih lain menyerahkan sajak untuk pasangannya.

Rupanya Runika adalah cinta tunggal Rosyam. Semoga berbahagialah pasangan ini hingga ke alam yang abadi. Amin.

Kalaulah Rosyam menulis skrip tentang percintaan dan perkahwinannya, tentu laku filem atau telemovie itu. Kisah cinta mereka pun patut dicontohi.........


Rozana

Gadis idamanku
Hanya engkau yang satu
Hadir lah dalam mimpi mimpiku
Biar seribu biar ramai menganggu
Pada ku engkau lah Ratu

Sejak mula bertemu
Kau buat siangku sedingin salju
Dan malam jadi hangat
Sehangat cintamu...
Kasihku

( korus )
Rozana
Kau Gadis idamanku
Dua hati menjadi satu
Bila kita bertemu oh Rozana

Rozana
Gadis idamanku
Bila kan sampainya waktu
Kasih kita bertemu dalam cinta
Rozana


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 23 Februari 2012

Satu Dalam Sejuta


Genap 20 tahun kepergiannya hari ini. Banyak yang akan terus diperkatakan tentang Sudirman: lagunya, semangatnya, kecewa kasihnya serta bakatnya.

Banyak lagunya yang membekas di hati. Mengangkat dan sekaligus memotivasi penganggur, gembala , pengayuh basikal tua, orang kampung, anak sekolah, gadis kilang, mat disko, anak dagang adalah antaranya.

Namun saya sejak lama terkesan dengan lagu Teriring Doa, dari EP pertamanya yang turut mengandungi lagu Seruling Bambu , Ku Bersilat dan Suratku Yang Ini (terbitan WARNADA 1976). Menghayati lagu itu seperti terimbau zaman persekolahan dan memasuki alam tua sekali gus. Ketika muda, tertanya-tanya bagaimana keadaan masa depan manakala ketika menginjak separuh abad seakan mengiakan apa yang beliau lagukan.

Bersama salam ku kirim
Teriring doa dan restu
Sepenuh kasih nan syahdu
Terimalah kasih ku

Sungguh pun jauh terpisah
Dihati dekat selalu
Kekasih usah gelisah...
Tenangkan lah hatimu

( korus )
Biarkan masa beredar
Hari pun berganti minggu
Hadapilah dengan sabar... Oh sayang ku
Kuatkan tekadmu intan
Tempuhi segala rintangan
Pastikan kita bertemu kau dan aku

( ulang korus )

Namun lagu-lagu dalam album ini jarang disiarkan atau diperkatakan. Mungkin ia bukan dalam kelompok besar label EMI. Wajah di album itu dikatakan Kamariah (Kay) yang kemudiannya beliau nikahi namun akhirnya berpisah.
Perpisahan itulah akhirnya mempengaruhi penciptaan lagu dan lirik Merisik Khabar, Terasing, Salam Terakhir dan Nilai Cintamu (antara lainnya). Malah ketika mengalunkan Merisik Khabar dalam Juara Lagu '87, beliau muncul bersama prop yang paling mudah, pemetik api. Murah mungkin harganya namun mahalnya ialah itulah pemberian bekas isterinya. Di hujung lagu itu, beliau menghembus pada pemetik api itu, simbolik berakhirnya hubungan mereka, dan diangkat persembahan itu sebagai terbaik, walaupun lagu itu tewas kepada Menaruh Harapan (Zait0n Sameon) untuk Juara Lagu.. Kay adalah satu-satunya wanita yang pernah bertakhta di hatinya. Persembahan itu sentiasa basah di ingatan kebanyakan penggemar muziknya...

Dir, teriring doa agar kau dirahmati di sana. Dua puluh tahun yang kosong, tanpa pengganti.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 21 Februari 2012

Mengenang Dikau Kembali


1978. Setiap hujung bulan, kami yang berulang alik dengan menaiki bas ke beberapa sekolah sekitar Alor Setar akan pergi ke bahagian pentadbiran syarikat bas United Transport Company (UTC). Tujuannya tidak lain: menempah tiket bulanan bas. Pejabat terletak di bangunan bahagian belakang Stesen Bas Jalan Langgar.
Kami, pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Maktab Mahmud, SM Dato Syed Omar, SM Sultanah Bahiyah, SM Keat Hwa dan lainnya akan mendaftar nama dan destinasi perjalanan dari tempat kami ke Alor Setar. Ada dari Pendang, Simpang Empat, Gurun, Kota Sarang Semut dan Tokai serta sepanjang jalan dari pekan-pekan kecil itu.

Kemudian nama kami dipanggil. Bayaran dijelaskan dan diberikan sekeping sebesar tapak tangan. Seingat saya kalau dari Simpang Empat bayaran bulanannya adalah tujuh ringgit. Dapat saja kad, terus turun dari pejabat itu dengan lega. Lega, antaranya kami boleh keluar ke Alor Setar pada hari Jumaat/Sabtu tanpa perlu membayar tambang! (Tidak hairanlah Alor Setar dimeriahkan oleh pelajar setiap hari tersebut. Tak ada sesen pun, masih boleh ke pekan, lagi bagus kalau ada 25 sen. Cukup untuk menonton wayang di Panggung Royal [tapak bangunan Alor Ria kini]!)

Satu keistimewaan ketika membeli kad itu ialah kami boleh meletakkan sebarang nama, walaupun ada peraturan di belakang kad tertulis TIDAK BOLEH DITUKAR MILIK! Maka ketika kad akan dikeluarkan, nama yang kami pilih itulah bakal dilaungkan kerani UTC. Selalunya, kalau tidak gunakan nama sendiri, kami gunakan nama bintang sukan atau artis popular tetapi yang sebangsalah. Tak adalah nama mat saleh atau sebagainya.

Satu hujung bulan, kami terkejut. Kerani UTC pun pening agaknya. Mana tidak jika beberapa orang pelajar mempunyai idola yang sama. Namun si kerani cekap juga. Akhirnya dia buat keputusan memanggil nama dengan sedikit tambahan berdasarkan tempat tinggal pelajar. Maka dilaungkanlah,

"Latiff Ibrahim Gurun!!"

"Latiff Ibrahim Batu 16!!"

"Latiff Ibrahim Batu Lapan Tokai!!"

Demikian betapa terkenalnya Latiff ketika itu (berusia sekitar 27 tahun). Malam ini, sebaik terdengar berita kematiannya di tv, fikiran saya menerawang ke era itu.

Banyak juga yang melintas selain bab tiket bas bulanan.

Seingat saya Latiff lebih dulu dikenali sebagai pelakon kerana dalam filem Hapuslah Air Matamu, lagu melatari kekecewaan watak yang dibawanya dinyanyikan oleh Deddy M Borhan, sang produser. Kemudian baru dia muncul dengan suara jantannya (meminjam kata penerbit albumnya, Ahmad Nawab), menerusi EP Mengenang Dikau Kembali.

Masih segar di ingatan beliau muncul menjadi hos rancangan Hiburan Minggu Ini di RTM. Artis jemputan antaranya ialah seorang penyanyi Cina yang dikatakan mirip wajahnya (malangnya ingatan saya kering tentang namanya!), pelawak R Jaafar dan seorang artis baru. Ketika diumumkan nama artis baru itu, R Jaafar bersahaja berkata, " O, adik abang(Latiff) ya?" Latiff tersenyum. Artis itu adalah Khadijah Ibrahim!

Latiff meninggalkan kepada kita antaranya lagu Teraju Negara, Pilihlah Aku, Nora, Manis Kata Di Bibir Saja, Tak Tahu Apa Sebabnya, Dalam hati Tertanya-tanya dan Mengharap Kasihmu di samping lagu istimewa (bagi saya) hasil paduan suaranya bersama M Rizal (Juara Bintang RTM 1978) dan S Rohani menerusi Usah Kau Rayu Padanya serta hasil lakonan dalam filem Sumber Ilhamku, Hapuslah Air Matamu, Senja Merah, Bintang Pujaan, Dendang Perantau dan lainnya.

Latiff bersih dari gosip dan kontroversi walaupun ketika kemuncaknya dia masih sebaya idola anda sekarang. Mungkin rahmat dari perkahwinan ketika usia muda (isteri setianya Masria dinikahi ketika beliau belum terkenal dan sering dibawa ke mana-mana aktiviti seninya). Satu hal yang agaknya perlu dicontohi oleh artis dan bakal artis.

Beliau telah dijemput Allah. Semoga rohnya dirahmati.

Latiff Ibrahim Tokai, Latiff Ibrahim Pendang, Latiff Ibrahim Gurun dan lainnya, yang berpusu-pusu menaiki bas UTC dan bersama menduduki SPM 1978, di manakah anda kini? Satu hal yang perlu kita ingat: kini kita sudah pun melepasi 50 tahun usia......



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 18 Februari 2012

Di Manakah Adam Salleh Ghani?


Adam adalah anak Seniman Salleh Ghani (pengarah filem Sri Mersing yang tersohor itu). Bertugas di akhbar Harian Metro, pernah punya kolum sendiri mengupas isu hiburan dengan menggunakan nama Jarum Emas.Kini pangkat dinaikkan dan kolum itu terhenti.

Semasa dia mengetuai meja hiburan dulu, banyak juga saya tahu tentang keluarganya termasuk ibunya Seniwati Raja Hamidah Raja Saad. Setiap hari minggu, Jarum Emaslah yang saya cari dalam Metro Ahad. Banyak maklumat di situ. Karenah dunia seni hiburan.

Satu pagi, TV1 tersilap menyiarkan Menteri Pelancongan, Dr Ng Yen Yen sebagai Menteri Penerangan .... yang sepatutnya Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim. Saya juga kebetulan menonton kesilapan maklumat itu. Tetapi sebagai orang biasa, saya hanya buat pembetulan sendiri dan diam.

Sehari dua kemudian saya terbaca hal berkenaan ditulis di akhbar dan sumbernya adalah dari Adam, bersekali dengan gambar skrin tv tertera kesilapan fakta itu. Saya kagum. Walaupun beliau bukan lagi wartawan, masih juga peka mengesan dan seterusnya meminta petugas lain menulis beritanya. Sekali lagi, saya kagum. Semoga kesilapan sedemikian adalah yang terakhir.

Minggu lepas, tiba-tiba saya teringatkan Adam. Puncanya: Dalam rancangan Malaysia Hari Ini di TV3, ketika difokuskan tentang KANSER, telah berlaku satu kesilapan fakta. Disebutkanlah dalam intronya tentang beberapa tokoh yang menjadi mangsa kanser. Dari luar dan dalam negara. Cuma saya membuat pembetulan sendiri dan diam apabila dinyatakan bahawa Seniwati Dato Sarimah Ibrahim, antaranya mendapat barah otak. Sarimah Ibrahim? Setahu saya Sarimah Ahmad.

Di manakah Adam Salleh Ghani pagi itu? Sebab saya menyelak Harian Metro sepanjang minggu dan tak menemui berita kekhilafan fakta itu dibetulkan....





Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails